Sudah bersedia untuk pesta makanan paling hangat tahun ini? Fantastic Food Festival (FFF) 11.0 kembali dengan lebih hebat dan penuh kejutan pada 8 hingga 11 Mei 2025.
Kali ini diadakan di Bertam, Kepala Batas, Pulau Pinang. Edisi kali ini bukan calang-calang—ia menyaksikan kolaborasi dinamik antara pengasas FFF, Nabilah Baharin atau mesra dikenali sebagai Kak Nab, dan Yaya Empire Sdn. Bhd., jenama terkenal dalam dunia wangian.
Gabungan dua figura wanita hebat ini dijangka memberi sinergi luar biasa, membuka lebih banyak ruang kepada para usahawan—terutama dari kalangan industri kecil dan sederhana (IKS)—untuk mengetengahkan produk mereka serta menjana pendapatan lumayan.
“Kami pernah catat kehadiran tertinggi seramai 500 ribu pengunjung di Alor Setar. Harap kali ini lebih ramai dapat merasai pengalaman berbeza yang kami sediakan,” ujar Kak Nab penuh semangat.
Lebih 130 vendor bakal menghiasi festival ini, termasuklah nama-nama besar dan vendor selebriti seperti Azza Elite, Cat Farish, Dato’ Nash dan mungkin Abby Abadi! Setiap edisi FFF membawa tema unik—daripada konsep tradisional hinggalah karakter filem, lengkap dengan vendor berpakaian mengikut tema. Pendek kata, bukan sekadar menjamu selera, tetapi juga satu pengalaman visual yang memukau.
Kak Nab yang memulakan perjalanan bisnesnya sejak 2015 melalui Nabila Butik, kini aktif dalam penganjuran acara besar, hasil dari minat mendalam dalam dunia makanan dan interaksi bersama vendor. Katanya, 40-60% vendor kali ini adalah usahawan yang pernah direview secara peribadi olehnya.
Mengulas cabaran lalu seperti isu kesesakan, Kak Nab tidak menafikan kesukaran itu. Namun katanya, “Saya sentiasa ambil kira lokasi yang mudah diakses. Kami juga ada team media untuk bantu vendor yang perlukan boost jualan.”
Bagi Pengasas Yaya Empire Perfume, Nadia Mat Isa atau Kak Yaya, penyertaan dalam FFF adalah peluang emas untuk bantu usahawan tempatan, terutama dalam memperkukuhkan jenama dan menaikkan jualan. Menariknya, kolaborasi ini turut membawa masuk selebriti seperti Ara Johari dan Afieq Shazwan untuk meriahkan suasana.
Bermula dengan modal hanya RM80, kini empayar wangian yang diasaskan Kak Yaya mencecah pulangan 7 angka sebulan. Dengan semangat yang sama, beliau ingin membantu lebih ramai suri rumah dan bekas penjawat awam menjadikan bisnes sebagai platform menjana pendapatan.
“Buat bisnes kena struggle, jangan malas. Repetition jual minyak wangi tinggi—RM10 pun orang sanggup beli sebab hari-hari pakai,” jelasnya sambil tersenyum.
FFF bukan sekadar festival makanan—ianya satu platform pemerkasaan keusahawanan yang penuh semangat, peluang dan kreativiti. Kedua-dua usahawan wanita ini berkongsi misi untuk terus mengadakan lebih banyak acara bukan sahaja dalam bidang makanan, tetapi juga fesyen dan sambutan perayaan seperti Raya Fest.
Selepas kejayaan 5 kolaborasi terdahulu, kali ke-6 ini diharap memberi impak besar kepada para vendor dan pengunjung, serta mengukuhkan branding produk tempatan ke tahap lebih tinggi.
Jadi, tandakan tarikh anda—8 hingga 11 Mei 2025. Jumpa di Bertam, Kepala Batas! Jangan lepaskan peluang untuk rasai festival makanan paling happening tahun ini!