Fattah Amin panggil Amira Othman ‘isteri syurga.’ Pelakon terkenal, Fattah Amin, tidak segan berkongsi panggilan mesra yang digunakan untuk isterinya, Amira Othman, selepas selamat disatukan dalam ikatan perkahwinan.
Menurut Fattah atau nama penuhnya Abdul Fattah Mohd Amin, 35, sejak sebelum bergelar suami lagi, dia sudah terbiasa memanggil Amira dengan gelaran “bakal isteri syurga”. Katanya, setiap panggilan yang dilafazkan itu diyakini sebagai doa yang baik untuk wanita yang kini sah menjadi suri hatinya.
“Sebelum ini, saya suka panggil dia bakal isteri syurga. Sekarang, isteri syurga pula.
“Kita jadikan itu satu doa,” katanya sambil tersenyum ketika ditemu bual pengacara majlis, Sissy Imann dan Awal Ashaari, sejurus selesai upacara ijab kabul pada Ahad lalu.
Amira turut meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang tidak putus mendoakan kebahagiaan mereka berdua.
“Terima kasih kepada semua yang meraikan saya dan Fattah serta doa baik-baik untuk kami. Semoga doa itu akan berbalik juga kepada anda,” ujar penyanyi Hati-Hati itu penuh sopan.
Majlis pernikahan pasangan selebriti ini berlangsung indah di Golden Palm Tree Resort, Sepang, dengan hanya sekali lafaz Fattah sah bergelar suami Amira.
Upacara akad nikah itu disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, di hadapan kira-kira 200 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat.
Dengan mengetengahkan tema Islamik al-Zauj yang membawa maksud “dua jiwa dipertemukan oleh Allah”, majlis senja itu dipenuhi suasana sederhana namun penuh keberkatan, selari dengan harapan pasangan untuk menjadikan detik bersejarah itu sebagai lambang penyatuan yang dirahmati.
Menariknya lagi, hari bahagia mereka bertepatan dengan ulang tahun kelahiran Fattah yang jatuh pada 14 September. Tarikh itu dipilih sendiri oleh Amira sebagai hadiah paling berharga buat suaminya.
Dalam majlis berkenaan, Fattah turut menyerahkan mas kahwin berupa seutas gelang emas tunai, diiringi lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak pengantin perempuan.
Kredit foto: Unifi dan Sinar Harian
Artikel lain: Live TikTok Fattah, Amira Raih Lebih 50 Juta ‘Likes’
Fattah Amin Kongsi Momen Fatima Tak Mahu Berenggang Ketika Majlis Nikah Mungkin Dia Terlalu Rindu..
Pengurus Fattah Amin Akui Amira Othman Akan Jadi Ibu Tiri Fatima Yang Sangat Baik
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE