
Hidup ini bukan selalunya indah. Kadang dalam senyum, tersembunyi duka yang hanya Allah tahu. Itulah yang sedang dilalui oleh pempengaruh, penulis dan usahawan, Farah Fakhira, apabila sekali lagi diuji dengan kehilangan insan tersayang. Suaminya, Zaidul Ariff, disahkan meninggal dunia secara mengejut malam semalam selepas rebah ketika bermain badminton.
Hanya empat tahun usia perkahwinan mereka, namun penuh dengan suka duka. Dalam tempoh yang singkat itu, pasangan ini bukan sahaja membina rumah tangga bahagia, malah baru sahaja pulang menunaikan umrah bersama. Lebih menyentuh hati, Farah kini sedang hamil dan baru beberapa jam sebelum kejadian, pasangan ini sempat menatap wajah zuriat yang dikandung.
“1.06 petang hari ini scan bayi… Ya Allah, bayi dah besar semua, bentuk badan dah jelas,” tulis Farah di media sosialnya. Siapa menduga, detik bahagia melihat bayi di skrin ultrasound itu menjadi kenangan terakhir bersama insan yang amat dicintai.
Pada petang sebelum insiden berlaku, Farah dan arwah sempat menghabiskan masa berdua. Malam itu, Zaidul keluar untuk bermain badminton seperti biasa. “Selepas sampai tempat badminton, suami sempat maklumkan menerusi mesej,” kongsi Farah. Namun tidak lama kemudian, dia menerima panggilan mengejutkan — suaminya rebah semasa bermain dan dibawa ke hospital.
Ketika tiba di hospital, segalanya sudah terlambat. Zaidul disahkan meninggal dunia. Pemergian itu bukan sahaja mengejutkan ramai rakan dan pengikut Farah, malah menambah satu lagi episod duka dalam perjalanan hidupnya yang penuh ujian.
Bagi yang mengikuti kisah hidupnya, pasti tahu bahawa Farah Fakhira bukan asing dengan dugaan berat. Pernah terlibat dalam kemalangan bersama adik, kehilangan ibu akibat kanser, melalui fasa perceraian, dan kini diuji dengan pemergian suami tercinta.
Seorang pengguna media sosial turut berkongsi rasa sebak melihat ketabahan Farah:
“Start dari video ni la dulu i selalu tengok IG Farah… Dari dia accident dengan adik dia, adik dia koma, lepastu mak Farah meninggal sebab kanser… Farah bercerai, tak ada anak dan dia berkahwin dengan kawan dia arwah Zaidul… then yang latest dia pregnant anak pertama… semalam suami dia meninggal 😭 ya Allah banyak ujian buat @farahfakhira_.”
Walau diuji bertubi-tubi, Farah Fakhira tetap tenang menerima takdir Tuhan. Dalam nada sebak, dia menulis, “Terima kasih izinkan kami ada zuriat bersama walaupun dia dah tak ada denganku.”
Kehilangan insan tersayang bukan mudah, apatah lagi ketika sedang mengandungkan zuriat pertama bersama. Namun Farah memilih untuk reda dan berserah kepada ketentuan Ilahi.
Kisah Farah Fakhira menjadi bukti bahawa kasih dan ketentuan Allah itu di luar jangkaan manusia. Di sebalik air mata, terselit kekuatan luar biasa seorang wanita yang tetap berdiri teguh meski jiwanya terluka.
Al-Fatihah buat arwah Zaidul Ariff. Semoga Allah memberi kekuatan dan ketenangan buat Farah serta kandungannya dalam menempuh perjalanan penuh ujian ini.
Sumber: Instagram Farah Fakhira
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE