Engku Emran Bangga Aleesya Cemerlang IGCSE -“Tahniah 7A Anak Ayah, 11 Tahun Teman Ulang Kaji & Kelas Tambahan”

Share

Engku Emran bangga Aleesya cemerlang IGCSE -“Tahniah 7A anak ayah, 11 tahun teman ulang kaji dan kelas tambahan.” Bekas suami kepada pelakon terkenal Erra Fazira, Engku Emran Engku Zainal Abidin, meluahkan rasa syukur atas pencapaian cemerlang anak tunggal mereka, Engku Aleesya.

Engku Emran Bangga Aleesya Cemerlang IGCSE -“Tahniah 7A Anak Ayah, 11 Tahun Teman Ulang Kaji & Kelas Tambahan”

 

Menerusi perkongsian di Instagram, ahli korporat itu menyifatkan keputusan peperiksaan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) puterinya sebagai hadiah paling indah dalam hidup seorang bapa.

Aleesya berjaya memperoleh gred A+ dalam subjek First English Language, Matematik dan Fizik, manakala subjek Biologi, Sosiologi, Bahasa Malaysia serta Psikologi masing-masing mendapat gred A.

Walaupun rumah tangga Emran dan Erra berakhir pada 2014, komitmen terhadap pendidikan anak perempuan mereka tidak pernah terabai. Malah, sejak 11 tahun persekolahan Aleesya, Emran tidak pernah terlepas menyaksikan setiap perkembangan dan momen penting dalam hidupnya.

“Ini adalah hantaran penghargaan buat satu-satunya anak ayah, Aleesya. Terima kasih kerana membuatkan hati ayah dipenuhi dengan rasa bangga dan bahagia yang tak terucap.

“Selama 11 tahun tempoh persekolahanmu, ayah telah mencurahkan sebahagian besar daripada hidup ini demi memastikan kamu cemerlang dalam pelajaran.

“Ayah tidak pernah terlepas satu pun acara sekolah yang kamu sertai. Ayah hadir di setiap sesi pertemuan ibu bapa dan guru, bersorak memberi semangat dalam setiap larian yang kamu sertai. Semuanya atas nama kasih sayang dan tanggungjawab seorang ayah,” kongsinya.

Selain sokongan material, Emran turut meluangkan banyak masa bersama Aleesya, termasuk menemani anaknya mengulang kaji pelajaran serta menghantar ke kelas tambahan.

“Malam-malam panjang yang kita luangkan bersama mengulang kaji pelajaran, jam-jam yang terasa tak berpenghujung terperangkap dalam kesesakan jalan raya untuk ke kelas tambahanmu. Ya, semua itu juga kerana kasih sayang dan tanggungjawab seorang ayah.

“Hari ini, kamu telah membalas semuanya. Kamu telah membuktikan bahawa segala pengorbanan selama ini tidak sia-sia. Terima kasih, Aleesya. Terima kasih kerana menjadikan hari ini sebagai hari paling indah dalam hidup ayah.

“Apabila kamu punya anak sendiri kelak, ayah berharap kamu juga akan sanggup berkorban demi pendidikan mereka seperti mana ayah telah lakukan untukmu.

“Tahniah atas 7A, anak ayah! Alhamdulillah. Kekal merendah diri, dan sentiasa berpijak di bumi yang nyata,” titip Emran.

Untuk rekod, Erra Fazira dan Engku Emran mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007 sebelum berpisah pada Februari 2014.

Sumber: Instagram Engku Emran

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

 

Published by
Has