Fesyen

Elly Mazlein Tolak RM500,000 Demi Hijab,“Prinsip Hidup Tidak Pernah Boleh Dijual”

Share

Elly Mazlein Tolak Tawaran RM500,000 Demi Prinsip Hidup

Menolak tawaran bernilai setengah juta ringgit bukan keputusan yang mudah, apatah lagi dalam industri seni yang penuh persaingan. Namun bagi penyanyi dan pengacara popular, Elly Mazlein, prinsip hidup bukan sesuatu yang boleh dikompromi walau dengan jumlah wang yang besar.

Elly atau lebih mesra disapa Kak Lina percaya, setiap rezeki sudah ditentukan oleh Allah. Keberanian untuk berkata tidak demi mempertahankan nilai diri akhirnya membuka pintu rezeki lain yang lebih bermakna dan memberi ketenangan jiwa. Prinsip hidup yang dipegang teguh menjadi tunjang kepada setiap keputusan besar dalam hidupnya.

Ditawarkan Ketika Baru Berhijab

Menurut Elly Mazlein, tawaran tersebut hadir ketika dirinya baharu berhijab dan disertakan syarat yang mengharuskannya membuka tudung. Situasi itu nyata menguji pendirian serta keyakinannya sebagai wanita yang sedang berhijrah.

“Tawaran datang ketika diri baharu berhijab dan ia bersyarat yang mana saya perlu membuka tudung. Setengah juta ringgit satu amaun yang besar. Takkanlah kita tak nak, tapi kena ingat ada banyak lagi rezeki untuk Kak Lina,” kongsinya jujur.

Bagi Elly Mazlein, keputusan untuk berhijab bukan sekadar perubahan luaran, sebaliknya satu komitmen besar terhadap prinsip hidup dan kepercayaan diri yang tidak boleh dipermainkan.

Prinsip Hidup Tidak Pernah Boleh Dijual

“Takkanlah kita nak gadaikan prinsip hidup kita demi wang. Apabila membuat keputusan untuk berhijab, kalau tawaran lumayan sekalipun, pada saya tidak mengapa untuk ditolak kerana insya-ALLAH akan ada rezeki yang lain,” katanya tenang.

Tambahnya lagi, Elly Mazlein turut ingin menyampaikan mesej bahawa pemilihan duta berhijab bukanlah sesuatu yang salah atau merugikan mana-mana pihak.

“Tidak salah rasanya jika duta memakai tudung. Apa pun, Alhamdulillah sentiasa ada rezeki untuk saya. Saya kekal dengan prinsip saya untuk kekal berhijab,” luahnya.

Rezeki Dipermudahkan Selepas Berani Berkata Tidak

Ujar Elly Mazlein, selepas menolak tawaran tersebut, urusan rezekinya dipermudahkan. Ditemui di pertunjukan fesyen Ariani Lebaran 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pemilik nama Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi itu meluahkan rasa syukur apabila dilantik sebagai duta jenama berkenaan.

“Tahun lepas saya bersama Jakel, tetapi tahun ini, 2026, saya menerima tawaran daripada Jakel dan Ariani. Rezeki sentiasa ada. Alhamdulillah, saya sangat berterima kasih,” katanya.

Elly Mazlein turut berkongsi bahawa selepas itu, beberapa tawaran lain daripada jenama yang menghormati prinsip hidupnya sebagai wanita berhijab turut hadir tanpa sebarang syarat yang bertentangan dengan kepercayaannya.

“Insya-ALLAH saya akan melakukan yang terbaik,” katanya optimis.

Kekal Relevan Hampir Tiga Dekad Dalam Industri Seni

Dalam pada itu, Kak Lina mengakui perjalanan seninya tahun ini semakin padat. Bakal muncul dalam program Sembang Sahur di TV3, selebriti berusia 46 tahun itu menyifatkan kemunculan tersebut sebagai satu ‘comeback’ yang bermakna buat dirinya.

Mengulas tentang rahsia untuk kekal relevan hampir tiga dekad dalam industri seni, Elly Mazlein menegaskan sikap terlalu selesa dan berkira dalam bekerja antara perkara yang harus dielakkan.

“Untuk kekal dalam satu pekerjaan, apabila mendapat tawaran, buat sehabis baik. Contohnya untuk buat kandungan, saya akan menekankan produktiviti dan sediakan semuanya,” jelasnya.

Katanya lagi, kesungguhan dan komitmen dalam bekerja akan membuatkan orang sekeliling lebih menghargai usaha yang ditunjukkan.

“Pada saya, tip pertama kena kerja betul-betul dan jangan separuh jalan. Usaha buat yang terbaik,” katanya mengakhiri perbualan.

Keberanian Elly Mazlein mempertahankan prinsip hidup ini wajar menjadi inspirasi buat wanita. Dalam dunia yang sering mengukur kejayaan melalui wang dan populariti, kisah Elly Mazlein membuktikan bahawa menjaga nilai diri tidak pernah menutup pintu rezeki, malah membuka jalan kepada kehidupan yang lebih tenang, bermakna dan diberkati.

BACA LAGI : Hilang kontrak selepas berhijab,rezeki Elly Mazlein dilantik jadi duta jenama syarikat tekstil terkemuka

Published by
Nana