
Dalam suasana penuh keinsafan, selebriti serba boleh Elly Mazlein sekali lagi membuktikan bahawa kemasyhuran bukan hanya diukur dengan glamor, tetapi juga dengan keikhlasan hati untuk membantu.
Turun padang bersama pasukan MYDIN Malaysia ke Kemunting, Taiping, Elly menyertai misi bantuan banjir di bawah inisiatif #MYDINPrihatin, yang kali ini menggandakan sumbangan demi meringankan beban mangsa terjejas.
Menurut Pengarah Urusan MYDIN Mohamed Holdings Bhd, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin, pihaknya amat menghargai keprihatinan Elly yang tanpa ragu turun ke lapangan untuk bersama rakyat.
“Melihat keikhlasan beliau, pihak MYDIN mengambil keputusan untuk menggandakan jumlah sumbangan
agar lebih banyak keluarga di Pusat Penempatan Sementara (PPS) SK Simpang mendapat manfaat,” ujar beliau.Program CSR #MYDINPrihatin merupakan usaha berterusan MYDIN bagi menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan sepanjang tahun, termasuk ketika musim perayaan dan bencana alam.
Bagi Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 45, pengalaman menyertai misi bantuan kali ini meninggalkan kesan mendalam di hati.
“Saya terpanggil untuk membantu selepas melihat video kanak-kanak terjejas akibat banjir. Alhamdulillah, dengan kerjasama MYDIN dan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kami dapat menyalurkan bantuan dengan segera,” katanya ketika ditemui selepas misi tersebut.
Elly turut berkongsi rasa sebak apabila melihat keadaan mangsa di PPS, termasuk kanak-kanak dan bayi yang baru berusia lima hari.
“Ada yang tidak berhenti-henti mengucapkan terima kasih. Itu buat saya tersentuh. Kami bawa pelbagai barangan keperluan — selimut, telekung, sejadah, makanan dan air mineral. Anak-anak juga diraikan supaya mereka tetap ceria walaupun dalam kesusahan,” ujarnya penuh haru.
Tambahnya lagi, sebahagian mangsa sudah mula pulang ke rumah untuk membersihkan kediaman masing-masing, namun masih terdapat sekitar 100 orang yang kekal di PPS sementara keadaan kembali pulih.
“Saya berdoa agar Allah SWT memberikan kekuatan dan kesabaran kepada mereka dalam menghadapi dugaan ini. Semoga setiap bantuan yang disalurkan menjadi sumber semangat untuk mereka bangkit semula,” katanya.
Banjir yang melanda beberapa kawasan di Perak termasuk Taiping, Manjung dan Larut, Matang serta Selama turut menyebabkan ratusan penduduk dipindahkan.
Langkah pantas Elly dan MYDIN ini bukan sahaja membantu meringankan beban mangsa, tetapi menjadi simbol bahawa selebriti dan korporat mampu berganding bahu dalam semangat kemanusiaan. Menjadikan setiap bantuan lebih bermakna dan penuh kasih.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE