
Ella selesa rahsiakan kerja amal. Ratu Rock Negara, Ella, mungkin terkenal dengan kemerduan suara dan persembahannya yang bertenaga. Tetapi di sebalik semua itu, Ella sebenarnya seorang wanita yang sangat penyayang dan suka membantu insan yang memerlukan.
Terbaru ketika menghadiri sidang media Konsert Majlis Tertinggi RockQueen di Stadium Bukit Jalil, suaminya, Kapten Azhar Ghazali, berkongsi bahawa banyak kerja kebajikan yang Ella lakukan tidak diketahui umum kerana dia lebih selesa melakukannya secara diam-diam.
Menurut Azhar, Ella pernah mengikuti misi kemanusiaan ke Lubnan untuk membantu pelarian Syria bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN). Di sana, Ella melawat keluarga yang tinggal di khemah pelarian dan cuba memberi sokongan kepada mereka.
Ella juga banyak membantu dalam dunia pendidikan seni. Dia selalu memberi idea dan menyumbang peralatan muzik kepada sekolah-sekolah seni untuk membantu pelajar yang berminat dalam muzik.
Selain itu, Ella juga turun padang menyantuni golongan gelandangan, terutamanya mereka yang perlukan makanan dan sokongan.
“Sebenarnya isteri saya, Ella pernah menyertai misi kemanusiaan ke Lubnan, menyantuni masyarakat yang menetap di khemah pelarian perang Syria bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN).
“Ella juga suka dan sering berkongsi idea untuk memperkasa sekolah-sekolah seni dalam usaha melahirkan generasi baharu pemuzik, termasuk melalui sumbangan pelbagai peralatan untuk tujuan pendidikan.
“Selain itu, Ella pun ada terbabit dengan aktiviti menyantuni gelandangan yang memerlukan bantuan makanan. Banyak perkara seperti ini yang dia buat sebenarnya tapi tidak dihebahkan secara meluas,” ungkapnya.

Menjaga Privasi Diri & Pihak Penerima Bantuan
Ella pula memberitahu, dirinya lebih selesa lakukan kerja amal secara senyap.
“Kalau tidak dihebahkan, saya rasa akan dapat lebih banyak pahala. Bahkan, mungkin juga mereka yang menerima bantuan itu akan berasa malu, jadi kita harus menjaga perasaan mereka juga.
“Kadang-kadang, kita pun rasanya tidak boleh berkongsi semua perkara yang dilalukan termasuk kerja kebajikan dibuat kepada pengetahuan umum kerana perlu menjaga privasi pihak lain itu,” jelas Ella.
Niat Baik Ella Diketahui Selepas Mendirikan Rumah Tangga
Suami Ella, Azhar juga memberitahu dirinya mengetahui kebaikan yang ada pada Ella selepas mendirikan rumah tangga.
“Saya tahu perkara ini (aktiviti kemanusiaan dilakukan Ella) selepas kami berkahwin. Naluri melakukan kebaikan itu sentiasa ada dalam dirinya. Manakala, saya pula menjadi orang yang memudahkan urusan.
“Saya turut membantu mengatur pertemuan, membuat panggilan dan sebagainya untuk sama-sama berbakti kepada golongan memerlukan dengan Ella. Namun, asasnya tetap datang daripada diri kita sendiri.
“Selain membantu individu sakit, pelajar dan orang kelainan upaya (OKU), Ella juga secara peribadi turut menolong rakan-rakan artis terutama mereka yang kesempitan hidup, termasuk senior yang pernah bersama dengannya sejak awal dalam dunia muzik,” luah Azhar.
Untuk pengetahui tidak lama lagi Ella akan mengadakan konsert yang berjudul Majlis Tertinggi RockQueen – Ella pada 14 Februari depan.
Konsert solo Ella mengetengahkan konsep berhibur sambil beramal itu turut menawarkan harga tiket serendah RM39.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!











