Pelakon dan pengacara Elfira Loy berasa terharu dan dihargai kerana dijemput oleh produk kecantikan dan kosmetik, Wardah Beauty untuk menyaksikan momen bersejarah di Doha, Qatar.
Menurut Elfira, tujuan dia ke sana bagi menyaksikan kerjasama global yang berimpak tinggi antara Paragon Wardah dan Al Mujadilah iaitu sebuah pusat pembelajaran perintis dan masjid pertama di rantau ini yang dibina khusus untuk wanita Muslim.
“Saya benar-benar merasa dihormati kerana berpeluang terbang ke Doha, Qatar, untuk menyaksikan kerjasama global yang berimpak tinggi antara Paragon Wardah dan Al Mujadilah iaitu sebuah pusat pembelajaran perintis dan masjid pertama di rantau ini yang dibina khusus untuk wanita Muslim, sekaligus menghubungkan iman dan kepimpinan global.
Kata Elfira, 31, dia sangat terinspirasi dengan kata-kata yang disampaikan oleh ahli panel hebat ketika perbincangan mengenai topik kepimpinan wanita.
“Mendengar panel-panel hebat berbincang tentang kepimpinan wanita benar-benar memberi inspirasi dan mencetuskan pemikiran. Pandangan mereka membuatkan saya meremang dan memberi saya visi baharu untuk masa depan.
Dalam masa sama, pemilik nama Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri turut tersentuh dengan hujah daripada Ibu Retno yang menekankan bahawa pendidikan kepada wanita memberi impak yang besar bukan sahaja kepada dirinya, tetapi juga kepada keluarga, komuniti, dan masyarakat.
“Ibu Retno mengingatkan bahawa “apabila kita mendidik seorang wanita, kita mendidik satu generasi.”
“Dr. Siddiqi memberi galakan untuk “pilih musimmu” iaitu mengingatkan kita bahawa kita tidak perlu lakukan semuanya sekaligus. “Pilih musimmu” untuk menjadi ibu terbaik? Kakak terbaik? Atau pemimpin terbaik? Ambil masa kamu sendiri.
“Dan yang paling saya suka, Dr. Sari berkata bahawa apa sahaja yang dia lakukan, keinginannya adalah supaya diberkati (barakah).
Ibu kepada dua cahayamata turut berkongsi keterujaannya itu melalui laman Instagram miliknya.
Sementara itu, EVP dan Ketua Pegawai Perniagaan Global ParagonCorp, Amalia Sarah Santi berkata, dalam surah Al Mujadilah, suara perempuan bukan hanya didengar, tetapi juga dimuliakan.
“Meninggikan suara bukanlah tanda kehilangan rasa malu, tetapi adalah perbuatan keimanan. Dalam usaha menyumbang kepada dunia, kita kembali kepada fitrah kita, berpandukan petunjuk-Nya, sebagai cerminan tulen siapa kita yang sebenar.
“Bersama Al Mujadilah, kolaborasi ini akan melahirkan program-program konkrit seperti membina ekosistem global untuk wanita berkembang dan memberi impak.
Kata Amalia, ada dua bentuk kerjasama yang bakal dilaksanakan iaitu pembangunan dan pelaksanaan program pembangunan kapasiti bagi wanita yang sejajar dengan visi dan misi bersama, khususnya dalam pembangunan kepimpinan.
Selain itu, pertukaran informasi, pengetahuan, jaringan, dan narasumber untuk penyelidikan, pembelajaran, pengajaran, dan pemerkasaan program.
Di samping itu, Dewi Sandra iaitu Duta Jenama Paragon Wardah menyifatkan setiap wanita ada ceritanya, dan setiap suara memiliki kuasa.
Dalam acara ini turut diadakan Dialog Kepimpinan Wanita Global bertemakan “Leading with Purpose: Women in Faith, Business, and Global Policy.” Forum ini menjadi platform yang signifikan untuk meneroka peranan wanita dalam usaha membangunkan masyarakat yang lebih inklusif dan lestari.
Dialog ini menampilkan penceramah ternama seperti Dr. Sohaira Siddiqui, H.E Retno Marsudi dan Dr. Sari Chairunnisa. Sesi ini dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh isteri Duta Besar Indonesia ke Qatar, Lita Kardatin Hassan dan dimoderatorkan oleh Dewi Sandra.
Dalam sesi sama juga diumumkan pelantikan Dr. Sohaira Siddiqui sebagai Ahli Lembaga Paragon Wardah Stewardship for Global Impact.
ParagonCorp iaitu syarikat kecantikan terbesar di Indonesia melalui jenama utamanya, Wardah, mengambil langkah besar untuk memperluas peranannya di peringkat global dengan menjalin kerjasama strategik bersama Al Mujadilah Women Center, ahli Qatar Foundation.
Kerjasama ini dimeterai melalui majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Dr. Sohaira Siddiqui, Pengarah Eksekutif Al Mujadilah Center, dan Amalia Sarah Santi, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Perniagaan Global ParagonCorp.
Majlis ini turut disaksikan oleh YBhg. H.E. Retno Marsudi, Menteri Luar Negeri Indonesia (2014–2024) merangkap Ahli Lembaga Paragon Wardah Stewardship of Global Impact, serta Dr. Sari Chairunnisa, Sp.KK,FINSDV, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif ParagonCorp di Al Mujadilah Women Center, Doha, Qatar, pada 18 Mei lalu.
MoU ini merupakan langkah strategik dalam usaha memperkukuh peranan wanita berimpak di seluruh dunia.
Paragon Wardah terus komited memperjuangkan kemajuan peranan wanita melalui pelbagai inisiatif seperti Women Space, House of W – Women, Wisdom, Wardah, dan program-program pembelajaran, kepimpinan serta sosial di Indonesia, Malaysia dan peringkat antarabangsa.
Salah satu program unggulannya ialah Ri’āya Young Adult Stewardship Programoleh Al Mujadilah Women Center.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.