
Eda Azrin dibebaskan dari Penjara Narathiwat, tiada bukti kukuh dikaitkan dengan pemilikan pil kuda. Selepas sembilan bulan menjalani tahanan di Penjara Daerah Narathiwat, Thailand, penyanyi dikir barat terkenal Kelantan, Eda Azrin dibebaskan hari ini.
Pembebasan Eda Azrin atau nama sebenarnya Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30 berikutan tiada bukti kukuh mengaitkannya dengan pemilikan dadah.
Memetik laporan The Star, Eda Azrin sebelum ini ditahan bersama lima individu termasuk suaminya dan menghadapi pertuduhan memiliki 6,059 pil methamphetamine yang ditemui di sebuah bilik hotel di Sungai Kolok pada November tahun lalu dan hari ini dibebaskan selepas Mahkamah Wilayah Narathiwat mendapati tiada bukti kukuh mengaitkannnya dengan najis dadah tersebut.
Turut dibebaskan lima individu ditahan bersamanya iaitu suami Eda Ezrin, Mohd Affendi Ahmad, 35, Eridieka Mohd Noor, 33, Mohamad Alif Deraman, 33, Nur Aida Mamat, 33 dan Zuhaira Nasrin, 26.
Kesemua mereka sebelum ini dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan pemilikan dadah namun dari rakaman CCTV menunjukkan dadah tersebut dibawa masuk oleh tiga individu lain yang tidak termasuk dalam kalangan tertuduh.
Pada 6 Mac lalu, Mahkamah Wilayah Narathiwat yang bersidang selama tiga hari bermula 11, 13 dan 14 Februari, membebaskan mereka daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk memperdagangkan 6,059 biji pil kuda.
Bagaimanapun, pembebasan mereka terhalang setelah pendakwa raya memaklumkan akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah, justeru mereka terus ditahan di Penjara Pusat Narathiwat sementara menunggu pendakwa raya memfailkan rayuan.
Dalam satu soal balas di mahkamah sebelum ini, Eda Azrin memaklumkan sebelum serbuan pihak berkuasa di hotel mereka, empat individu telah memasuki bilik hotelnya dikenali sebagai Nabila, Mek Jue, Mek Da dan Sirik.
Penyanyi lagu Bea Sobar Bea itu berkata, Nabila dan Mek Ju telah masuk ke biliknya kira-kira jam 3 pagi.

“Selepas berbual sekejap, Mek Ju masuk ke dalam bilik air selama lebih kurang 15 minit. Saya lihat Mek Ju ada bawa beg galas warna biru masuk ke dalam bilik air. Selepas 15 minit kemudian Nabila dan Mek Ju telah keluar dan meninggalkan bilik berkenaan,” katanya menjawab soalan peguam.
Dan selepas dibebaskan, Eda Azrin berharap peminat dapat menerimanya dalam dunia seni.
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
KLIK DI SEENI