Pasangan

“Dulu Saya Hidup Solo, Tak Sangka Akan Kahwin Dengan Lelaki 18 Tahun Lebih Muda”.Dr Zahida Kongsi Detik Cinta Tak Disangka

Share

“Saya tak cari pasangan kerana rupa atau harta. Tapi kerana hatinya… dan keperibadiannya yang memeluk tenang hidup saya.” — Mohd Shahril Tuah (Aril)

Di sebalik tawa mesra dan gurau manja yang tular di TikTok Mingguan Wanita, siapa sangka cinta mereka pernah dipandang serong. Kata orang, Aril “gilakan harta” kerana memilih untuk bernikah dengan wanita 18 tahun lebih berusia, bergelar doktor dan anak orang berada.

Namun bagi Aril, 38, seorang usahawan tudung dan bekas wadar penjara, cinta yang dipilihnya bukan berasaskan kekayaan atau fizikal semata.

Sebaliknya, keperibadian Dr Zahida Datuk Mohamad Zahudi, 56, menjadi magnet yang melembutkan hatinya.

Permulaan Yang Sederhana, Tapi Sarat Makna

Takdir mempertemukan mereka di sebuah klinik, bukan sebagai dua kekasih, tetapi sebagai anak yang membawa ibunya mendapatkan rawatan. Itulah detik pertama Aril melihat sisi sebenar wanita bernama Zahida, saat beliau memberi nasihat penuh lembut kepada ibunya.

“Waktu itu, saya nampak cara dia bercakap dengan emak. Sopan, jelas, dan menyentuh hati. Dari situlah, saya tahu… saya ingin mengenalinya lebih dekat,” ujar Aril tenang.

Ketika itu, Zahida baru sahaja kehilangan suami, manakala Aril pula baru putus tunang. Dalam kesedihan masing-masing, mereka mula berkawan, saling mengenali hati budi. Tiga tahun kemudian, mereka disatukan dengan restu penuh daripada kedua-dua belah keluarga.

“Dia Lebih Muda, Tapi Saya Yang Kebudak-budakan”

Mendengar kisah dari sisi Dr Zahida pula, nyata wanita ini tidak melihat beza usia sebagai kekangan. Malah, dia sendiri tidak menyangka akan berkahwin semula selepas tiga tahun hidup solo.

“Waktu kahwin, saya 45, dia 27. Tapi cara dia bercakap… matang. Tak ada cakap kosong. Saya pula yang lebih kebudak-budakan,” selorohnya sambil ketawa kecil.

Dalam rumah tangga, Zahida tetap meletakkan hormat terhadap suami walau beza usia ketara.

“Walaupun dia muda, dia tetap imam saya. Saya tak fikir nak menang bila berbincang. Saya terima tegurannya. Dan dia pula banyak bimbing saya, terutama dalam soal agama.”

Cinta Yang Mendamaikan Jiwa

Kini selepas 11 tahun melayari bahtera rumah tangga, Aril bersyukur atas ketenangan yang diraihnya bersama wanita yang menjadi sandaran jiwanya itu.

“Dia hadir waktu saya jatuh, waktu orang luar tak terima saya, waktu saya mula bertatih sebagai pencipta kandungan. Dia tak pernah tinggalkan saya.”

Video-video mesra mereka yang tular bukan sekadar hiburan, tetapi menjadi inspirasi ramai — bahawa cinta sebenar tidak memandang usia, rupa atau status. Cinta sejati, katanya, berasaskan kejujuran, restu keluarga dan penerimaan tanpa syarat.

Dari Dua Dunia, Menjadi Satu

Aril dan Zahida, dua jiwa dari latar berbeza, usia berbeza, tetapi dipertemukan oleh Tuhan untuk saling melengkapi. Kisah mereka mengajar kita bahawa dalam dunia penuh penghakiman, masih wujud cinta yang murni, tulus dan suci.

“Apa orang kata, saya maafkan. Saya doakan semoga mereka belajar melihat dengan hati, bukan dengan syak wasangka,” kata Aril, sambil menggenggam tangan isterinya.

Semoga cinta pasangan ini terus mekar hingga ke syurga, menjadi inspirasi buat wanita-wanita yang sedang mencari harapan dalam cinta kedua  atau mungkin, cinta yang benar.

Follow kami di TELEGRAMINSTAGRAMTIKTOKFACEBOOKTWITTER dan YOUTUBE

Published by
Rosmah Idayu