Berita Sosial

Dua Remaja Perempuan Maut Dirempuh Kereta, Bapa Kecewa & Mahukan Keadilan

Share

Kisah dua remaja perempuan maut dirempuh sebuah kereta di Jalan Padang Tembak, Teluk Intan tular dan menjadi perhatian orang ramai, nak-nak bapa kepada mangsa yang terkorban itu tampil meluahkan perasaan pedih dan kecewa.

Dua Remaja Perempuan Maut Dirempuh Kereta

Mangsa dikenali sebagai Nur Dania Arissa, 17, dan Nur Atikah Abdullah, 16, yang masing-masing merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia dan SMK Raja Muda Musa. Kedua-dua sahabat itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas motosikal yang dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta.

Menerusi portal Sinar Harian, kejadian kira-kira jam 6.35 petang itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.

Kereta Dipandu Individu Positif Dadah

Kereta tersebut kemudian melanggar motosikal dinaiki mangsa sebelum turut merempuh sebuah lagi kereta serta seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.

Lebih memilukan, hasil saringan awal air kencing mendapati pemandu terbabit positif dadah jenis benzodiazepine dan disyaki memandu di bawah pengaruh bahan terlarang ketika kejadian berlaku.

Pemandu berkenaan kini ditahan bagi membantu siasatan. Selain disiasat di bawah Seksyen 44(1)(a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987, siasatan berkaitan dadah turut dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam tragedi itu, pemandu kereta dan seorang kanak-kanak lelaki yang turut cedera telah dikejarkan ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.

Pemergian Nur Dania Arissa dan Nur Atikah bukan sahaja meragut dua nyawa muda, malah meninggalkan kesedihan yang sukar digambarkan buat keluarga, rakan-rakan serta warga sekolah mereka.

Bapa Kecewa & Mahukan Keadilan

Dari sudut hati si ayah, kehilangan anak kesayangan itu adalah satu kehancuran yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.

“Biarlah yang melanggar dapat balasan setimpal. Saya tidak mahu dendam, tetapi saya mahu keadilan. Dua nyawa yang tidak berdosa melayang dalam sekelip mata, dan ia bukan perkara yang boleh dilupakan begitu sahaja.”

Anaknya masih muda, mempunyai banyak harapan dan masa depan yang cerah, namun semuanya tamat dalam sekelip mata akibat kecuaian atau tindakan pemandu yang tidak bertanggungjawab. Walaupun hati sedang hancur berkecai, beliau tidak memohon balas dendam, sebaliknya hanya memohon agar undang-undang ditegakkan dengan adil dan tegas.

Bapa itu turut berharap agar kes ini menjadi pengajaran kepada semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas, dan tidak memandang remeh keselamatan diri serta orang lain.

Tragedi ini sekali lagi menjadi peringatan bahawa tindakan memandu secara berbahaya atau di bawah pengaruh dadah bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mampu meragut nyawa insan yang tidak bersalah.

Semoga kedua-dua arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan keluarganya diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi ujian Allah.

Published by
Nadia Mohamad