
Dua-Beradik
Cukup menyayat hati, hasrat dua-beradik untuk mencari rezeki dengan berniaga di Bandar Jengka tidak kesampaian apabila mereka maut dalam kemalangan tragis di Jalan Besar Jengka 19.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu, mangsa dikenali sebagai Dinie Hanis Noor Azlan Efenddy, 23, dan adiknya, Dinie Nasuha, 19. Difahamkan, kedua-dua beradik itu sedang dalam perjalanan ke Bandar Jengka untuk berniaga sebelum kenderaan Toyota Unser yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Axia.
Lebih menyayat hati, impak kemalangan menyebabkan Toyota Unser yang dinaiki mereka terbalik sebelum kedua-dua mangsa didapati tersepit di dalam kenderaan tersebut.
Pasukan bomba yang tiba di lokasi segera menjalankan operasi menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap.
Namun, takdir Allah mengatasi segalanya apabila kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pemergian serentak dua beradik ini pastinya meninggalkan kesedihan yang amat mendalam buat seluruh keluarga, apatah lagi mereka keluar rumah dengan niat mencari rezeki, namun tidak sempat pulang ke pangkuan insan tersayang.
Salam takziah buat seluruh ahli keluarga mangsa. Semoga roh Allahyarhamah Dinie Hanis dan Allahyarhamah Dinie Nasuha dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Al-Fatihah
Sumber: Info Kemalangan