
Pengerusi MARA, Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Haji Dusuki mempertahankan kemampuan pelajar tahfiz untuk menjadi juruterbang selepas cadangan memberi keutamaan kepada pelajar Tahfiz STEM dalam program kadet pilot MARA dipertikai segelintir netizen di media sosial.
Beliau meluahkan rasa kecewa terhadap komen-komen negatif yang memperlekeh usaha MARA mengangkat martabat pelajar tahfiz sebagai golongan profesional termasuk dalam bidang penerbangan.
“Sakit hati melihat komen-komen negatif di ruangan Facebook berita Malay Mail cuba memperlekeh dan mempertikai usaha MARA mengangkat martabat pelajar-pelajar tahfiz sebagai golongan profesional termasuk juruterbang.
“Apa mereka ingat pelajar-pelajar tahfiz ini cikai-cikai ke?” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Menurut Datuk Dr Asyraf Wajdi, tanggapan bahawa pelajar tahfiz tidak mampu cemerlang dalam bidang akademik dan profesional adalah tidak berasas sama sekali.
Katanya, keputusan SPM 2025 membuktikan kemampuan luar biasa pelajar MRSM Ulul Albab apabila lapan MRSM Ulul Albab yang kesemua pelajarnya menghafaz 30 juzuk Al-Quran berjaya berada dalam kelompok 20 sekolah terbaik Malaysia dalam SPM diumumkan.
Lebih membanggakan, seramai 221 pelajar Huffaz MRSM memperoleh semua A termasuk dalam subjek kritikal seperti Fizik, Kimia, Biologi dan Matematik Tambahan.
Jelas beliau, pencapaian itu membuktikan pelajar tahfiz bukan sahaja mampu menguasai ilmu agama, malah turut cemerlang dalam bidang STEM dan profesional.
“Cakaplah apa sahaja, selagi saya sebagai Pengerusi MARA, usaha memartabatkan agenda memprofesionalkan golongan huffaz akan terus diperkasakan,” katanya.
Tambah beliau, negara memerlukan generasi masa depan yang bukan sahaja bijak dalam bidang profesional, malah memiliki pegangan agama yang kuat serta sahsiah yang baik.
Pernah Tanggung Hutang RM500k, Dr Raihana Kongsi Kisah Gadai Barang Kemas & Hampir Muflis
Menurutnya, agenda melahirkan lebih ramai huffaz profesional bukan sekadar usaha pendidikan semata-mata sebaliknya satu pelaburan besar dalam membentuk generasi pemimpin masa depan yang seimbang antara kecemerlangan duniawi dan ukhrawi.
Hakikatnya, kejayaan pelajar MRSM Ulul Albab hari ini membuktikan hafazan al-Quran bukan penghalang untuk mencipta kecemerlangan dalam bidang profesional termasuk penerbangan, malah menjadi kekuatan dalam melahirkan generasi berilmu, berintegriti dan berdaya saing tinggi.