Berita Sosial

Dikurung Dalam Stor & Diberi Makan Dua Kali Sehari, Derita Anak Perempuan 9 Tahun Terbongkar Di Seremban

Share

Dikurung dalam stor, nasib seorang kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun yang didakwa menjadi mangsa pengabaian dan penderaan akhirnya terbela selepas polis menyerbu sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar, Seremban.

Dikurung Dalam Stor & Diberi Makan Dua Kali Sehari

Lebih menyayat hati, mangsa yang merupakan anak angkat kepada sebuah keluarga sejak berusia setahun lapan bulan dipercayai dipaksa tinggal di dalam sebuah stor di belakang rumah sepanjang cuti sekolah Mei hingga Jun lalu.

Menurut siasatan awal, mangsa hanya diberikan makan dua kali sehari dan dibenarkan masuk ke dalam rumah semata-mata untuk menggunakan tandas sebelum diarahkan kembali ke stor tersebut.

 

Kanak-kanak itu juga dipercayai sering dimarahi serta dipukul oleh ibu angkatnya atas alasan-alasan remeh, termasuk didakwa mengambil makanan pada waktu malam kerana kelaparan.

Derita Anak Perempuan 9 Tahun Terbongkar Di Seremban

Kisah pilu itu terbongkar selepas polis menerima maklumat awam sebelum bertindak menyelamatkan mangsa pada Ahad.
Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Seorang wanita berusia 46 tahun yang dipercayai ibu angkat mangsa telah ditahan bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Polis turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini supaya tampil membantu siasatan.

Tiada seorang kanak-kanak pun wajar melalui kehidupan sebegini. Apa yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan bertukar menjadi lokasi penderitaan yang terpaksa ditanggung dalam diam.

Sumber Media Polis Seremban

 

Published by
Nadia Mohamad