“Saya tak sempat tunaikan permintaan terakhir arwah untuk makan nasi di rumah…Maznah Ismail, ibu.
Dalam sebak dan suara yang bergetar, Maznah Ismail, 64, masih belum percaya anaknya, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, telah pergi buat selama-lamanya dalam keadaan tragis, ketika menjalankan tugas sebagai anggota polis.
Dilanggar penyamun yang cuba melarikan diri selepas aktiviti pecah rumah di Taman Golf, Alor Setar, pemergian Hafizul meragut bukan sahaja nyawa, tapi harapan dan kasih keluarga yang ditinggalkan. Mohd Hafizul maut dirempuh kenderaan dinaiki penjenayah yang cuba melarikan diri selepas dipercayai melakukan pecah rumah, berhampiran Taman Golf di Alor Setar, Kedah, semalam.
Ahad lalu, Hafizul menelefon ibunya dalam perjalanan pulang dari Kuala Terengganu ke Kedah atas urusan kerja. Katanya, dia ingin singgah makan nasi di rumah. Nasi minyak, menu kegemarannya. Tapi permintaan itu tidak sempat ditunaikan.
“Saya beritahu tak sempat cari barang nak masak… dia dah hampir sampai ke kawasan rumah…” ujar Maznah dalam linangan air mata.
Permintaan yang kedengaran biasa, tapi kini menjadi luka yang akan terus terpahat di hati seorang ibu. Betapa rindu itu kini datang bersama sesalan kecil yang takkan pernah padam.
Malam sabtu lalu merupakan kali terakhir Hafizul pulang ke rumah orang tuanya di Kampung Pak Kancil. Dia singgah sebentar bersama rakan sekerja dalam perjalanan ke Kuala Terengganu. Waktu itu, dia tak banyak bicara. Tapi sempat membuat luahan rasa.
“Letih sangat sekarang ni… kerja padat… susah nak luang masa dengan keluarga…”
Kata-kata itu mungkin dulu tidak diberi makna mendalam, kini menjadi bisikan akhir yang mendalam kesannya.
Hafizul merancang untuk bercuti bersama isteri dan tiga anaknya pada 16 Ogos sempena kenduri keluarga. Namun takdir berkata lain. Dia pulang buat selama-lamanya.
Sejak kecil, Hafizul sudah memasang impian untuk menjadi anggota polis mengikut jejak langkah ayahnya, Mazlan Umar, 64, seorang pesara polis. Daripada tujuh beradik, hanya dia dan seorang adik lelaki yang memilih jalan beruniform biru.
“Dia anak yang baik… walaupun bertugas jauh di Kedah selama 15 tahun, tapi tak pernah lupa kami… setiap hari dia akan telefon,” ujar ibunya sayu.
Bapanya pula, walaupun memahami risiko tugas, tetap tidak dapat menahan sedih dengan pemergian itu.
“Kami tahu risikonya… tapi tak sangka anak sendiri pergi dalam keadaan begini,”
Bagi Nur Azhanis Mohd Yusoff, 36, pemergian suami bukan sekadar kehilangan pasangan, tetapi bapa kepada tiga anak mereka.
“Arwah suami sangat baik… dia suka tolong semua orang… keluarga, mentua, sesiapa saja. Dia suami yang bertanggungjawab… ayah yang penyayang,”ujar Nur Azhanis sayu.
Walau tugas menuntut komitmen luar biasa, Koperal Mohd Hafizul Izham Mazlan, 35, tidak pernah lalai menunaikan satu amanah paling suci, kasih pada keluarga. Anak ketiga daripada tujuh beradik ini, yang telah berkhidmat lebih 15 tahun sebagai anggota polis di Kedah, baru saja menyuarakan rasa letih dan rindu dalam kunjungan terakhirnya ke rumah keluarga di Kampung Pak Kancil.
“Ketika jumpa arwah, tak banyak cakap. Tapi dia sempat luahkan isi hati… katanya penat sangat dengan kerja sekarang. Jadual padat, dan jarang dapat bersama keluarga…”
– Ibu arwah, Maznah Ismail
Hafizul merancang untuk pulang bercuti bersama isteri dan tiga anaknya pada 16 Ogos ini, bagi menghadiri kenduri keluarga. Namun, percutian yang dirancang penuh harapan itu bertukar menjadi tangisan yang panjang.
Al Fatihah.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE