
Di sebalik ujian kehilangan suami pada usia anak masih kecik, ibu tunggal buktikan mampu genggam PhD. Diuji kehilangan suami ketika anak baru berusia 10 bulan akibat kemalangan jalan raya, di sebalik ujian bergelar ibu tunggal yang perlu menempuh hidup tanpa dorongan suami di sisi namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat Norfazila Ghazali, 40 menggenggam Ijazah Doktor Falsafah (Pengurusan Pendidikan) dalam Istiadat Konvokesyen ke 17, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) baru ini.
Mengambil masa lapan tahun menyiapkan pengajian doktor falsafah dengan biaya sepenuhnya diri sendiri, ditambah tugas hakiki sebagai guru bahasa Inggeris selain guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah di Kelantan (SK Suria 2) selain perlu menguruskan anak tunggalnya yang baru memasuki alam menengah, hari ini Dr Norfazila harus berasa bangga apabila berjaya menamatkan pengajiannya sekaligus bergelar doktor.
Biar bukan doktor perubatan yang menjadi minatnya ketika kecil namun gelaran doktor dalam dunia akademik sudah cukup menjadi satu kebanggaan buat dirinya. Seperti katanya kepada Mingguan Wanita, jika ada lagi tahap pendidikan tertinggi, dia tidak teragak-agak menyambung pengajiannya menuntut ilmu.
“Saya belajar hingga ke peringkat tertinggi ini kerana cintakan ilmu selain ingin belajar benda baru. Ilmu yang diperoleh saya gunakan untuk mendidik anak bangsa. Masa yang sama mampu menyumbang pada masyarakat. Sesuai dengan cogan kata UnisZa “ilmu demi faedah insan”. Walau perlu melalui pelbagai suka dan suka sebelum menggenggam doktor falsafah ini ia memberikan saya satu kepuasan,” katanya memulakan perkongsian.
Perjalanannya bergelar doktor falsafah tidak mudah. Senyuman ditunjukkannya hari ini turut diuji dengan pelbagai kisah.
Mengambil masa lapan tahun. Selain perlu menanggung kos pengajian sendiri, menghadiri kelas secara dalam talian, mengimbangi tanggung jawab sebagai guru selain yang diakui bukan tugas mudah hari ini selain menjadi Jurulatih Utama CEFR Bahasa Inggeris 2018-2022 Peringkat Kebangsaan jelas Dr Norfazila kejayaan dicapainya bukan saja untuk dirinya sendiri, menjadi idola buat anaknya, Nur Aina Balqis Mohamad Razak, 14 tahun tetapi jelas guru ini ianya perjuangan buat semua ibu tunggal selain menjadi insprasi buat guru-guru yang mahu menyambung pengajian. Jelasnya di mana ada kemahuan, di situ ada jalannya.
Ketika orang lain mempunyai pasangan untuk berkongsi beban, Dr Norfazila belajar sendirian, bekerja sepenuh masa dan menyiapkan tesis di sela malam yang panjang.
Berkongsi perjuangannya menggengam segulung ijazah Doktor Falsafah, Dr Norfazila memaklumkan, selepas tragedi meragut nyawa suaminya yang terlibat kemalangan jalanraya, dengan anak yang masih kecil ketika itu, dia yang ketika itu tinggal di Ipoh, Perak kembali ke kampung halaman di Tanah Merah, Kelantan untuk berada dekat dengan ibu ayah serta adik beradik demi mencari kekuatan baharu.
Hari-hari awalnya tidak mudah. Antara tangisan anak kecil dan perasaan sunyi yang tak terungkap, Dr Norfazila berjuang untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai ibu tunggal.
Namun masa yang berlalu mengajar dirinya erti reda. Dari luka yang dalam, perlahan-lahan tumbuh ketabahan satu kekuatan yang kelak menjadi nadi kepada seluruh perjalanan akademiknya.
Setahun selepas banjir besar melanda negeri Pantai Timur pada 2014, Dr Norfazila nekad menyambung pengajian di peringkat Sarjana di Open Universiti Malaysia (OUM) pada 2015. Dua tahun pengajian dia akhirnya berjaya menggenggam Ijazah Sarjana dalam Pengurusan Pendidikan, semuanya dengan hasil biaya sendiri.
“Bila semuanya musnah, saya sedar satu perkara. Harta boleh hilang tapi ilmu akan kekal,” katanya tenang.
Selesai pengajian sarjana pada tahun 2016, semangat Norfazila untuk terus menuntut ilmu tidak pernah terhenti. Tahun berikutnya, 2017, beliau mengambil keputusan besar untuk menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), juga dengan pembiayaan sendiri.
“Walau hari ini saya tersenyum selepas memperoleh Doktor Falsafah tapi pernah sekali semangat saya luntur. Semasa Covid-19 melanda dunia, proses mengumpulkan data menjadi tergendala. Tapi saya fikir, alang-alang menyeluk perkasam, kenapa perlu berputus asa dengan ujian yang sedikit ini.
“Pernah juga di hujung pengajian saya bertukar penyelia kerana penyelia sedia ada berpencen di mana saya perlu bertukar penyelia. Tapi alhamdulillah, masih boleh meneruskan pembentangan viva dan lulus di saat akhir sebelum majlis konvokesyen ini.
“Proses pembetulan tesis ambil masa kurang dari sebulan dan alhamdulillah, saya berjaya mencapainya meluluskan untuk saya konvo tahun ini.
Pada 2 November 2025 lalu, Dr. Norfazila Ghazali berdiri megah di atas pentas konvokesyen UniSZA ke-17, menggenggam segulung ijazah yang menjadi saksi kepada ketekunan dan air mata seorang ibu tunggal.
“PhD ini buat semua yang menyokong usaha saya. Ia bukan milik saya seorang tapi ummah,” katanya yang kekal bersemangat mengajar anak bangsa.
Baginya, tiada yang terlewat untuk wanita mencapai impian. Kerana kekuatan sebenar bukan pada langkah yang tak pernah tersadung tetapi pada keberanian untuk bangkit.