Tidak semua orang mampu menggalas amanah menjaga ahli keluarga orang kurang upaya (OKU). Ada yang hanya melihat dari luar, sekadar berkata “sabar” atau “kuatkan semangat”. Namun, hanya insan yang benar-benar berada di dalam situasi itu yang mengerti betapa besar cabarannya, baik dari segi emosi mahupun fizikal.
Bagi kebanyakan wanita, peranan ini datang tanpa pilihan. Isteri, anak, kakak, malah menantu sering kali mereka inilah yang menjadi tonggak utama dalam merawat, memandikan, memberi makan, mengurus emosi dan menenangkan keresahan insan istimewa yang mereka sayangi.
Menjaga ahli keluarga OKU bukan sekadar memberi ubat mengikut waktu. Ia melibatkan tenaga berpanjangan termasuklah mengangkat, mengurus kebersihan, berjaga malam, bahkan menahan sakit badan sendiri. Namun, yang lebih berat ialah cabaran emosinya.
Rasa penat yang berlarutan mudah bertukar menjadi murung. Ada masanya, penjaga berasa terasing kerana dunia luar seakan tidak memahami kesukaran mereka. Ramai wanita mengaku, mereka kehilangan ruang untuk diri sendiri . Hobi, karier, malah kadang kala hubungan rumah tangga turut tergugat kerana terlalu banyak fokus terarah kepada insan yang dijaga.
Seorang ibu yang menjaga anak lelaki berkerusi roda pernah berkongsi, “Kadang-kadang orang hanya nampak senyuman anak saya, tapi tidak nampak air mata saya selepas semua orang pulang.”
Situasi ini juga digambarkan dengan begitu halus dalam drama Rumah Tanpa Luka. Watak utama yang terpaksa menjaga ahli keluarga istimewa memperlihatkan betapa beratnya tanggungjawab itu.
Ada saat-saat di mana kasih sayang bercampur dengan rasa penat, marah dan kecewa. Drama ini membuka mata masyarakat bahawa di sebalik senyuman seorang penjaga, tersimpan luka yang jarang dipertontonkan.
Watak utama lakonan Erysha Emyra bukan sekadar melakonkan watak seorang ibu atau penjaga, tetapi mencerminkan realiti sebenar ribuan wanita di luar sana yang berjuang tanpa henti demi memastikan anak istimewa mereka mendapat kehidupan penuh kasih sayang walau berdepan seribu cabaran. Dalam drama Rumah Tanpa Luka ini, watak Kalsom menggambarkan kepayahannya demi membesarkan Rose, yang dilahirkan dengan sindrom Down.
Seperti yang diserlahkan dalam Rumah Tanpa Luka, tanpa sokongan sekeliling, seorang wanita mudah terjerumus dalam rasa tertekan. Sokongan pasangan, ahli keluarga, malah jiran sekalipun boleh menjadi penyelamat kepada jiwa seorang penjaga.
Sebagai penjaga, kesihatan diri harus diutamakan. Tidur, pemakanan seimbang dan pemeriksaan kesihatan tidak boleh diabaikan. Jangan segan untuk meminta pertolongan daripada pasangan, adik-beradik atau jiran, kerana penjagaan ialah tanggungjawab bersama.
Luangkan sedikit masa untuk diri sendiri walau hanya beberapa minit dan lakukan perkara-perkara santai seperti membaca, bersenam atau sekadar menikmati secawan kopi.
Berkongsilah kisah dengan rakan senasib atau sertai kumpulan sokongan, kerana mendengar kata “saya faham” mampu mengubat rasa sepi.
Dalam masa yang sama, didik masyarakat sekeliling supaya lebih peka terhadap kehidupan penjaga OKU, kerana semakin ramai yang memahami, semakin ringanlah tanggungjawab ini.
Di sebalik segala ujian, ramai wanita mengakui bahawa mereka menemui makna hidup dalam menjaga insan istimewa. Walaupun tubuh letih, jiwa mereka kuat kerana cinta. Senyuman seorang anak OKU, genggaman tangan seorang suami yang sakit, atau sekadar kata “terima kasih” daripada ahli keluarga sudah cukup untuk membayar segala jerih perih.
Inilah inti pati Rumah Tanpa Luka. Rumah tangga atau keluarga yang diuji dengan dugaan tidak semestinya musnah. Dengan kasih sayang, doa dan sokongan, luka itu boleh dirawat hingga akhirnya rumah yang rapuh kembali berdiri, mungkin tidak sempurna, tetapi penuh makna dan pengharapan.
Menjaga ahli keluarga berkeperluan khas adalah ujian besar yang hanya mampu ditanggung dengan kasih sayang dan kesabaran. Seperti yang ditonjolkan dalam drama Rumah Tanpa Luka, walau luka itu tidak kelihatan, cinta seorang penjaga menjadi penawar dan harapan. Masyarakat perlu lebih berempati, kerana dengan sokongan bersama, rumah yang rapuh mampu kembali berdiri penuh makna.
Saksikan Rumah Tanpa Luka, setiap Isnin hingga Khamis, 10 malam di Astro Ria atau strim secara eksklusif di sooka.
Suka rancangan dan drama terbaharu? Nikmati hiburan tempatan dan antarabangsa tanpa henti dengan Astro One — kini dengan bundle eksklusif Disney+ Hotstar dan HBO Max, dari RM69.99/sebulan.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE