Depresi Yang Sampai Tahap ‘Disorder', Jangan Tuduh Kurang Iman & Minta Ingat Tuhan, Penyakit Ini Perlu Dirawat Pakar

Kata Assistant Psychologist, Aiman Amri (Aiman Psikologis) tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap kesihatan mental ini masih jauh. Mereka boleh faham kencing manis atau darah tinggi itu satu penyakit, tapi sukar nak memahamkan ada jenis ‘depresi’ itu sebagai satu penyakit.

Sebab itu apabila dengar kisah wanita meroyan atau alami postpartum depression atau kemurungan segelintir minta mereka beristighfar dan ingat tuhan. Tak kurang juga yang menyatakan disebabkan mereka lemah iman. Walhal ada jenis depresi yang tak boleh ditangani lagi dengan sokongan sebegini. Ia perlu dirawat oleh pakar!

Sebelum menilai, mak mak sendiri kena faham sejelas jelasnya apa itu penyakit kemurungan. Aiman Psikologis terangkan dengan lebih mendalam dengan cara yang mak-mak akan mudah faham.

Kemurungan Kerana Kurang Iman?

Isu perkaitan kesihatan mental dengan soal iman seseorang merupakan topik yang tak akan habis didebatkan.

Saya seringkali bertukar pendapat dan fikiran (dan juga selalu berbahas) dengan golongan yang menganggap YA, kecelaruan mental itu disebabkan oleh kurangnya iman.

Ramai orang yang saya jumpa.
1. Yang mentah-mentah menolak hujah psikologi dan psikiatri dan fokus pada kerohanian semata-mata
2. Yang mengambil jalan pertengahan iaitu kedua-duanya perlu datang selari
3. Yang mengambil pendekatan sains perubatan saja dan tidak percaya pada peranan agama

Beginilah,

Dalam setiap perkara yang berlaku di dunia ini, Allah menyuruh kita untuk memenuhi syariatullah (undang-undang Allah) dan sunnatullah (undang-undang dunia). Kedua-dua perlu dipenuhi, tanpa meninggalkan satu yang lain.

Contohnya, PERUT LAPAR.

1. Syariatullah – Percaya bahawa Allah yang memberi rezeki dan memberi kekenyangan kepada kita (tawakal)

2. Sunnatullah – Tindakan mengikut hukum alam, iaitu perlu makan sesuatu agar perut dapat mencerna makan, dapat zat vitamin dll (usaha)

Celakalah seseorang yang berdoa sepanjang malam di atas sejadah mengharapkan Allah memberinya rasa kenyang di perut tetapi tidak mahu masuk dapur untuk makan.

Rugilah seseorang yang berusaha mendapatkan makanan tetapi meletakkan semata-mata kekuatan kepada makanan itu yang memberi kenyang, bukan sebagai asbab.

Rasulullah pernah berpesan kepada seorang sahabat yang meninggalkan untanya untuk pergi selesaikan sesuatu urusan. Apabila ditanya kenapa biarkan unta tak diikat, sahabat itu menjawab,

Aku bertawakal kepada Allah yang Dia akan menjaga unta ini.

Rasulullah pun membalas, “Ikat dahulu tali unta itu, baru kamu bertawakal kepada Allah.”

Kisah ini memberi signifikan besar kepada kita yang pentingnya USAHA datang bersama dengan TAWAKAL.

Dapatkan Rawatan Perubatan Daripada Psikiatris

Dalam isu kesihatan mental dan perkaitan dengan iman,

Tidak dinafikan pentingnya peranan agama dalam memberi kekuatan kepada seseorang untuk terus bertahan, menerima qada’ dan qadar, percaya kepada hikmah disebalik ujian oleh Allah. TAWAKAL.

Namun ia juga mesti disertakan bersama USAHA untuk memberi penyembuhan kepada pejuang-pejuang kecelaruan mental ini dengan mendapatkan rawatan perubatan oleh Psikiatris, menjalani sesi psikoterapi dan sebagainya.

Faktor kekuatan rohani itu merupakan pelengkap kepada proses penyembuhan sesuatu penyakit, tetapi bukan sebagai semata-mata pengubat.

Seperti mana apabila ada kawan jatuh longkang dan patah kaki, kita membawa dia ke hospital untuk dapatkan rawatan, bukan ke masjid untuk solat hajat baginya. Tetapi bukan pula menafikan peranan redha, bersabar dan zikir sebagai sumber kekuatan dia untuk menempuh kesakitannya.

Begitu juga pesakit kanser contohnya, pentingnya untuk mengingati Allah, berselawat ketika kesakitan dan mendampingi Al-Quran untuk dapatkan kekuatan untuk terus bertahan. Namun, pesakit ini tetap perlu menjalani rawatan chemotherapy, radiotherapy dll. Bukan semata-mata mendekati Tuhan.

Sepanjang kesakitan dan kesengsaraan para pejuang kecelaruan mental dalam proses rawatan dan terapi itu, perlunya mereka mempunyai kekuatan spiritual dan mental untuk bertahan sakit, percaya ini ujian daripada Tuhan, ada hikmah tersembunyi dan lain lain.

And whoever turns away from My remembrance – indeed, he will have a depressed life…” – Surah Taha, ayat 124

Hanya dengan mengingati Allah sahaja hati-hati menjadi tenang tenteram.” – Surah Ar’Ra’d, ayat 28

Ayat-ayat ini yang sering dikaitkan dengan ‘ubat’ kepada kemurungan. Benar, memang dengan ayat-ayat Allah itu menenangkan hati yang sedang gelisah.

Bezakan Depresi Perasaan & Depresi Mental Disorder

Tetapi kita perlu bezakan dahulu antara depression (perasaan/emosi) dan depression (mental disorder). Ia tidak sama dan nyata sekali berbeza. Ayat Al-Quran ini banyak menyentuh mengenai depression perasaan tertekan, dan bukan kepada penyakit/kecelaruan mental.

Jika tertekan kepada perasaan, ya. Memang dengan mengingati Tuhan, membawa kepada ketenangan dan tenteram.

Tetapi depression yang merujuk depressive disorder, ia sebuah penyakit yang nyata, dan bukan lagi sekadar “hati gelisah”. Maka, ayat-ayat zikrullah ini berfungsi sebagai pelega sementara, untuk menghadapi kesakitan ini.

Analoginya, depression pada perasaan ini seperti batuk-batuk tekak gatal. Maka ayat zikir-zikir Allah ini seperti air asam jawa. Melegakan tekak, menenangkan kerongkong yang gatal-gatal.

Tetapi depression pada disorder pula, ia sudah tahap penyakit kanser paru-paru. Maka, batuk-batuk gatal tekak itu hanya simptom dan kesan, bukan punca penyakit sebenar. Jadi, air asam jawa tadi hanya pelega sementara untuk hilangkan perit di tekak, dan tetap perlu berjumpa doktor untuk tahu kanser sudah tahap berapa, saiz besar mana dan jalani rawatan untuk pulihkan.

Sebab istilah “depressed life” digunakan (terjemahan ini tak tepat pun sebenarnya daripada perkataan Arab), maka seringkali orang tertukar ayat-ayat Allah sebagai ubat kepada depression.

Maka, jadilah hujah-hujah seperti “orang depressed lemah iman” dan “pengubat depresi ialah ingat Tuhan.”

Pendek kata, isu rohani bukan PENYEBAB atau PENYEMBUH, tetapi PELENGKAP yang menepati apa yang jasad dan roh seseorang itu perlukan, saat perjuangan dalam rawatan tersebut.

Jangan Takut Untuk Dapatkan Rawatan

Pendidikan mengenai kesihatan mental ini masih panjang di Malaysia. Isu stigma, salahfaham dan salah diagnosis merupakan cabaran utama kepada para pejuang dan keluarga, yang menyebabkan kes-kes kecelaruan mental semakin kronik dan melarat, tetapi takut untuk mendapatkan rawatan kerana faktor stigma dan dipandang pelik oleh orang lain.

Bak kata Dr Brock Chisholm, iaitu Director-General pertama World Health Organisation pada 1953 dahulu,

Without mental health, there can be no true physical health.”

Semoga satu hari nanti rakyat Malaysia akan lebih terbuka dan menganggap kepentingan menjaga kesihatan mental sama pentingnya seperti kesihatan fizikal seharian kita, amin…

Jika kita boleh bimbang dan peduli dengan penyakit diabetes, kenapa tidak depresi?

Sumber/Foto : Aiman Psikologis