
Walaupun tidak menafikan pernah berlaku perselisihan dengan bekas isteri, penyanyi Adira Suhaimi, usahawan Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, 47, mengakui hubungan mereka kini kembali jernih demi masa depan empat cahaya mata.
Menurutnya, pertelingkahan yang tercetus sebelum ini tidak wajar dibiarkan berpanjangan hingga memberi kesan kepada emosi anak-anak yang sedang membesar.
“Kami sekarang sudah okey. Saya dengan Adira lebih kepada kawan, lebih kepada menjaga hubungan baik. Bila dah berpisah dan tak boleh rujuk kembali, kami tetap tak boleh bermusuh sampai bila-bila kerana kami ada anak,” jelasnya.
Datuk Red menegaskan bahawa mereka memilih untuk bersikap matang dan profesional, meletakkan kebajikan anak-anak sebagai keutamaan.
“Kami kena profesional. Tak ada masa nak turun naik mahkamah. Jadi kami ambil jalan paling baik untuk anak-anak. Takkan nak tunjuk contoh tak elok pada mereka.”
Walaupun begitu, beliau tidak menutup pintu terhadap ketentuan jodoh, namun enggan mengharapkan apa-apa.
“Tapi kita kena percaya juga, kalau dah jodoh, takkan ke mana. Buat masa sekarang saya tak fikir apa-apa. Fokus saya anak saja. Jadi kami berbaik untuk anak, tak lebih daripada itu.”
Kematangan Datuk Red dan Adira menangani perbezaan masing-masing membuka ruang harmoni buat keluarga kecil mereka, sekali gus menjadi contoh bahawa perceraian tidak semestinya berakhir dengan permusuhan, sebaliknya boleh berkembang menjadi kerjasama yang baik demi anak-anak.
Sebelum ini, penyanyi Adira mengesahkan wujud pertelingkahan antara mereka, namun memilih untuk tidak memperincikan punca. Pasangan itu berkahwin pada 3 Disember 2015 dan bercerai pada 24 April tahun lalu.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Anggrek, 7; Asan, 6; Anggun, 5; dan Ayob, 3. Kini, kedua-duanya memilih untuk berdamai dan menjaga hubungan baik demi masa depan anak-anak.
Baru sahaja kembali ke tanah air selepas menunaikan umrah, usahawan Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red menyifatkan kunjungan pertamanya ke Tanah Suci sebagai antara momen paling menyentuh hati dalam hidupnya.
“Alhamdulillah, umur 47 tahun baru pertama kali jejak kaki ke rumah Allah. Pengalaman tu beri tenaga luar biasa untuk saya.”
Mengakui dirinya jauh daripada sempurna, Datuk Red berkata perjalanan ini menjadi titik penting yang menyedarkannya tentang nilai keinsafan dan kesempatan kedua.
“Saya ni manusia pendosa, banyak buat silap. Bila sampai umur begini, Allah masih beri kesedaran dan kekuatan. Saya dah berjanji pada diri, balik nanti saya akan selesaikan apa yang sepatutnya saya selesaikan.
”
Sepanjang berada di Tanah Suci, beliau tidak putus-putus memanjatkan doa.
“Doa pertama saya adalah untuk selesaikan hutang. Lepas tu saya doa untuk kumpulkan semua anak di bawah satu bumbung. Insya-Allah.”
Beliau mengakui air matanya mengalir sendiri saat menjejakkan kaki di hadapan Kaabah, sesuatu yang disangka mustahil kerana status kewangannya.
“Saya tak sangka boleh jejak ke rumah Allah sebab status saya yang bankrap. Kalau guna duit sendiri, mungkin orang berhutang bising. Tapi Allah jemput bukan kerana saya ada duit atau tidak. Allah jemput sebab kasih. Syukur sangat.”
Datuk Red berkongsi pengalaman itu ketika hadir di Majlis Meet & Greet Jakel semalam, yang turut menampilkan Que Haidar sebagai Duta Jakel 2026. Kemunculan Datuk Red sebagai ‘lelaki misteri’ yang diperkatakan sebelum acara berlangsung ternyata menghangatkan suasana.
Aura dan personalitinya membuatkan namanya serta Que Haidar menjadi bualan hangat di media sosial, malah peminat melabel mereka sebagai “Duda Hot 2025”.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE