Konflik antara pelakon terkenal Datuk Aaron Aziz dan pempengaruh media sosial Sharina Richie kembali menjadi perhatian selepas isu berkaitan Gaza, Palestin mencetuskan salah faham besar dalam kalangan netizen.
Segalanya bermula apabila tular sebuah video yang mendakwa Datuk Aaron Aziz berkongsi pendapat tentang isu Palestin dalam kalangan selebriti. Video tersebut kemudiannya disalah tafsir, menyebabkan Sharina mengecam pelakon itu tanpa mengetahui bahawa video tersebut hanyalah potongan daripada rakaman lain.
Susulan kecaman yang diterimanya, Sharina Richie tampil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Datuk Aaron Aziz dan mendakwa dirinya turut menjadi mangsa kecaman warganet meskipun sudah memadam video berkenaan. Dalam masa sama, dia turut membuat laporan polis selepas menerima pelbagai bentuk ancaman serta mempertimbangkan tindakan undang-undang.
Terbaru, pelakon itu mendedahkan dirinya terkejut apabila menerima surat tuntutan (LOD) daripada pihak Sharina Richie yang didakwa bakal memfailkan saman berjumlah RM2 juta terhadap anak perempuannya, Dwi Ariana.
Menurut laporan media, Datuk Aaron Aziz meluahkan rasa kecewa kerana mendakwa anaknya tidak sepatutnya terlibat secara langsung dalam pertikaian tersebut.
“Semalam saya terima satu LOD yang mengejutkan iaitu pihak Sharina mahu menyaman anak saya sebanyak RM2 juta.
“Apa salah anak saya? Sebelum ini dia hanya minta penjelasan mengapa video dimuat naik pihak sana tentang saya masih belum dipadam. Itu sahaja dan bukan satu jenayah, bahkan anak saya tidak maki atau kutuk sesiapa,” jelasnya.
Datuk Aaron Aziz turut menjelaskan bahawa beliau dan isterinya, Datin Diyana Halik, pada awalnya tidak mahu memaklumkan perkara tersebut kepada anak mereka kerana bimbang akan mengganggu emosinya yang kini sedang menghadapi musim peperiksaan.
“Namun apabila pihak sana memuat naik video dan menyebut nama anak saya secara terbuka, kami tiada pilihan selain tampil mempertahankan dia,” ujarnya lagi.
Tambahnya, peluang untuk berdamai kini sudah tertutup selepas tindakan saman tersebut. “Kalau Sharina tak failkan saman pada anak saya, mungkin boleh maafkan tetapi sekarang dia pilih jalan ini dan ruang untuk berbaik itu sudah tiada,” katanya.
Menurut Datuk Aaron Aziz, isu berkenaan bukan sahaja menjejaskan kerjaya seninya tetapi turut memberi tekanan kepada dua lagi anaknya yang sedang menuntut di luar negara. “Jika berlaku sesuatu pada mereka, siapa yang akan bertanggungjawab?” luahnya dengan nada kecewa.
Di media sosial, ramai peminat tampil memberikan sokongan kepada Datuk Aaron Aziz dan keluarganya. Ada yang menggesa agar isu ini diselesaikan secara baik tanpa perlu ke mahkamah, manakala ada juga yang menasihatkan supaya kedua-dua pihak mengambil jalan damai demi menjaga reputasi masing-masing.
Walau apa pun, kes ini menjadi perbualan hangat dalam kalangan netizen yang terus mengikuti perkembangan antara Datuk Aaron Aziz dan Sharina Richie dari semasa ke semasa.
Baca Di Sini : “Jika Ada Masalah, Tenangkan Diri. Jangan Amal Keluar Rumah Takut Nanti Tak Kembali” Aaron Aziz Kongsi Tip Kebahagiaan Rumah Tangga
Bagi Fattah, setiap pasangan perlu sekufu dalam hal agama dan tujuan hidup. Itulah yang menjadi pegangan utama dalam membina rumah tangga yang kukuh.
Macam mana nak meninggal dalam keadaan husnol khatimah jika tidak sentiasa berzikir, kata Datin Seri Umie Aida.