Datin Shahida pesan pada anak-anak. Sebagai ibu bapa, nasihat yang berkesan kepada anak merangkumi aspek agama dan duniawi seperti mendidik akhlak mulia, berbakti kepada ibu bapa, menjaga adab, mengajar tanggungjawab, menyokong minat dan bakat anak, memberi kepercayaan, serta menjadi contoh terbaik melalui perbuatan. Penting juga untuk membina bonding yang kuat, bersabar dalam proses mendidik, dan memilih masa serta cara yang tepat untuk memberi nasihat agar ia meresap ke dalam diri anak.
Begitu jugalah yang diamalkan pasangan pempengaruh dan juga ahli perniagaan berjaya Dato’ Seri Aliff Syukri dan isterinya Datin Seri Shahida. Sebagai ibu dan ayah banyak yang dipesan. Malah biasanya seusai solat mereka akan memberi tazkirah pada anak-anak.
Benarlah bukan mudah untuk mendidik anak-anak namun cara Datin Shaheda dan Dato’ Aliff boleh dijadikan contoh buat ibu bapa di luar sana. Sememangnya kebahagiaan sebenar bukanlah terletak pada harta semata-mata, tetapi pada kasih sayang yang kaya dalam keluarga.
Terbaru video Dato’ Aliff Syukri menyampaikan tazkirah penuh kasih sayang kepada anak-anak meraih perhatian warganet. Ramai terkejut kerana jarang melihat sisi lembut dan mendalam seorang bapa yang ada dalam dirinya.
Kata-kata nasihat yang lahir dari hati itu bukan sahaja menyentuh anak-anak, malah turut mengundang sebak dalam kalangan netizen.
Menerusi perkongsian di TikTok yang berjaya mencuri perhatian ramai hingga meraih lebih 2.1 juta tanda suka dan lebih 5 ribu komen itu, terserlah detik penuh keberkatan apabila Datuk Aliff bersama isteri menyampaikan nasihat dan amanat, ketika duduk berhimpun selepas solat Maghrib berjemaah.
Dalam suasana tenang itu, lahirlah tazkirah seorang ayah yang sarat dengan kasih sayang dan nasihat bernilai.
Tatkala itu juga isi hati seorang ayah yang mahu melihat anak-anaknya membesar dengan jiwa yang kuat, hati yang lembut, serta menjadikan agama sebagai pedoman hidup.
Ramai netizen mengakui tersentuh dengan pengakuan tersebut, rata-rata menyifatkan ia sebagai sisi berbeza Dato’ Aliff yang jarang ditonjolkan.
Ada yang mendoakan beliau terus istiqamah membimbing keluarga dengan nilai agama, malah tidak kurang juga yang berkongsi kerinduan terhadap arwah ayah dan ibu masing-masing setelah menonton momen tersebut.
“Mungkin, inilah watak sebenar Dato’ yang anak dia selalu cakap,”
“Kepada ibu bapa luar sana, kaya atau miskin.. ini satu contoh yang perlu ada pada setiap keluarga, kena ada sesi untuk deep talk, tazkirah dan lain-lain.. buatlah setiap bulan ke, 3 bulan sekali ke, 6 bulan sekali ke.
“Bagus Dato’ Aliff motivasikan anak-anaknya ke jalan Allah. Semoga dirahmati Allah selalu dan dimurahkan rezeki,”
Setiap ibu bapa pasti menyimpan harapan agar anak-anak bukan sekadar berjaya dalam pelajaran atau kerjaya, tetapi juga cemerlang di akhirat.
Anak yang mampu berdikari, berperibadi mulia, serta menjaga maruah keluarga adalah doa yang tak pernah putus daripada setiap ayah dan ibu.
Bagi Dato’ Aliff Syukri, ukuran kejayaan tidak hanya terletak pada wang ringgit atau kemewahan hidup. Sebaliknya, kejayaan sebenar ialah apabila beliau dapat membentuk zuriatnya menjadi anak-anak soleh dan solehah, berilmu, berdisiplin, serta tahu menjaga nama baik keluarga.
“Kekayaan mungkin boleh diwarisi, tetapi bukan iman, kerana itulah abah sentiasa ingatkan anak-anak abah untuk jadi anak yang beriman, soleh dan solehah,”katanya.
Menurut bapa asal Kuala Lipis, Pahang itu, beliau menegaskan, kejayaan dunia hanyalah pinjaman, tetapi kejayaan akhirat adalah bekalan yang kekal abadi.
“Solat jangan ditinggal, jangan tunggu disuruh baru nak buat. Ingat, bila abah dah tiada nanti, semua ini jadi kenangan. Keluarga itu satu amanah. Amayan sebagai anak sulung perlu belajar jadi pemimpin, bertanggungjawab, menjaga adik-adik dan perniagaan keluarga. Jadilah seorang yang tegas, bijak, berfikiran luas dan berjiwa besar,” pesan beliau.
Menurutnya lagi, beliau sanggup berkorban apa sahaja demi anak-anak — termasuk memberikan pendidikan terbaik dan keselesaan hidup.
Namun, hanya Allah yang mampu menjadikan seseorang itu anak soleh dan beriman.
“Sebab itu doa abah tak pernah putus, semoga kamu semua jadi insan yang hebat, beragama, dan mendengar kata. Satu hari nanti, bila abah sudah tiada, kamu jugalah yang akan solatkan dan uruskan jenazah abah,” katanya penuh sebak.
Beliau turut berpesan agar anak-anak menjauhi cinta remaja yang melalaikan, pergaulan bebas dan amalan yang boleh merosakkan masa depan.
“Abah tak kisah anak nak berkawan atau keluar ke mana, asalkan jangan tipu. Ingat, orang bahagia adalah orang yang hidup dengan kasih sayang, bukan dengan kebohongan.”
Tentang soal jodoh, beliau menegaskan pilihan pasangan bukan kerana harta atau pangkat, tetapi kerana budi pekerti dan keturunan yang baik.
“Abah dan mama pernah melalui zaman remaja, memang masa tu hati memberontak. Tapi bila dah meningkat usia, baru kita faham bahawa nasihat orang tua semuanya demi kebaikan,” katanya lagi.
Mahu Anak-Anak Jadi Insan Berguna
Inilah percaturan seorang ayah dan ibu, setiap nasihat, doa dan teguran yang diucapkan hanyalah untuk memastikan anak-anak menjadi insan yang baik, berakhlak mulia, berjaya di dunia serta mulia di sisi Allah di akhirat kelak.
Detik itu akan menjadi satu contoh bahawa kebahagiaan sebenar bukanlah terletak pada harta semata-mata, tetapi pada kasih sayang yang kaya dalam keluarga.
Baca Disini : “Doa Seorang Ibu Itu Sangat Mahal Nilainya” Wan Maimunah Buat Aliff Syukri Tersentuh Hati
Bagi Fattah, setiap pasangan perlu sekufu dalam hal agama dan tujuan hidup. Itulah yang menjadi pegangan utama dalam membina rumah tangga yang kukuh.
Macam mana nak meninggal dalam keadaan husnol khatimah jika tidak sentiasa berzikir, kata Datin Seri Umie Aida.