
Datin Seri Rosmah
Sebab mulut badan binasa, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman terhadap pelawak dan pelakon, Harith Iskander atas dakwaan menjadi mangsa penghinaan dan body shaming dalam satu persembahan komedi di sebuah hotel di Melaka.
Rosmah, 74, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Hafarizam & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini, pada 9 Jun dengan menamakan Harith Iskander atau nama sebenarnya Harith Iskander Musa, 60, sebagai defendan.
Berdasarkan penyataan tuntutan, Rosmah mendakwa defendan telah mengadakan satu persembahan komedi berdiri bertajuk Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour di hotel terbabit pada 17 Jan lepas, dengan memaparkan imej dan membuat kenyataan fitnah terhadap Rosmah di hadapan sejumlah besar penonton, bagi mendapatkan reaksi ketawa serta hiburan daripada orang awam.
Rosmah mendakwa Harith Iskander telah memaparkan imej berkaitan makhluk mitologi seram dalam kepercayaan masyarakat Malaysia, sebelum memaparkan imej beliau.
“Defendan kemudian telah mengeluarkan kenyataan yang membawa maksud bahawa seseorang yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap, akan melihat sesuatu yang menakutkan.
“Selepas itu defendan telah memaparkan imej saya kepada penonton yang secara jelas menggambarkan saya sebagai sesuatu yang menakutkan itu dan mengaitkan saya dengan makhluk seram tersebut,” dakwa Rosmah dalam pernyataan tuntutan.
Rosmah berkata kenyataan fitnah yang dibuat Harith Iskander antaranya membawa maksud Rosmah mempunyai paras rupa yang lebih menakutkan daripada makhluk seram, individu yang boleh menimbulkan ketakutan kepada orang awam serta seorang yang wajar dijadikan bahan ejekan dan penghinaan.
Selain itu, Rosmah berkata seorang pengguna TikTok dikenali sebagai @mayychan0303 telah memuat naik dua rakaman persembahan itu dengan video pertama meraih 219,700 tontonan dan 3,354 tanda suka, manakala video kedua memperoleh 12,500 tontonan dan 145 tanda suka.
Rosmah berkata kenyataan fitnah itu adalah berniat jahat untuk menjatuhkan dan merosakkan nama baiknya, selain menghinanya dengan mengeluarkan kenyataan berunsur kecaman badan.
“Kenyataan fitnah itu juga adalah untuk merosakkan reputasi, maruah dan nama baik saya memandangkan kedudukan saya sebagai seorang figura awam, isteri kepada Perdana Menteri Malaysia yang keenam, penaung kepada pelbagai badan amal dan persatuan, serta individu yang pernah menerima pelbagai anugerah dan pengiktirafan di dalam dan luar negara,”
katanya.Oleh itu, Rosmah memohon ganti rugi am, teruk dan teladan selain perintah injunksi menghalang defendan atau pembantunya daripada menerbitkan semula dan menyebarkan kenyataan fitnah itu, serta membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan fitnah secara bertulis yang dipersetujui plaintif dalam dua akhbar arus perdana, serta di akaun media sosial yang ditentukan oleh plaintif atau peguamnya.
Sementara itu, Harith Iskander dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 9 Julai menafikan paparan tersebut menggambarkan Rosmah adalah makhluk seram, sesuatu yang menakutkan, jahat, hodoh, menjijikkan, tidak berperikemanusiaan atau apa-apa maksud fitnah yang dinyatakan plaintif.
“Penerbitan kenyataan yang didakwa fitnah di dalam Tiktok itu telah dibuat tanpa pengetahuan atau persetujuan saya dan kenyataan tersebut tidak merangkumi konteks penuh persembahan komedi itu,” dakwanya.
Peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff bersama Nur-Diana (Nur-Diana) Ezlyn Hashim yang mewakili Rosmah ketika dihubungi pemberita hari ini mengesahkan mengenai kes saman itu dan memaklumkan pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 31 Julai ini secara dalam talian.
Dalam masa yang sama, peguam Sangeet Kaur Deo mewakili Harith Iskander ketika dihubungi juga mengesahkan perkara sama. Begitulah, sebaiknya jaga kata-kata dan tidak boleh semua hal dijadikan lawak. Beringat sebelum terkena.
Sumber: Sinar Harian