Berita Sosial

Dataran Merdeka Dipenuhi Sampah Sarap Selepas Aksi Final Piala Dunia 2026, Sedih Tengok Mentaliti Rakyat Malaysia

Share

Dataran Merdeka dipenuhi sampah sarap selepas ribuan penyokong bola sepak berhimpun menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Sepanyol dan Argentina awal pagi tadi.

Sebaik acara berakhir, kawasan bersejarah itu dilihat dipenuhi bekas makanan, botol minuman, cawan pakai buang, plastik dan pelbagai sisa yang ditinggalkan pengunjung sehingga mencetuskan rasa kecewa dalam kalangan masyarakat.

Menerusi satu kenyataan di Facebook rasmi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, ribuan orang hadir ke Dataran Merdeka untuk bersama-sama meraikan kemeriahan perlawanan akhir Piala Dunia 2026.

Dataran Merdeka Dipenuhi Sampah Sarap

Keadaan Dataran Merdeka dari pandangan udara selepas siaran langsung final Piala Dunia FIFA 2026 yang menunjukkan kawasan dipenuhi sampah sarap. Foto: DBKL.

“Awal pagi tadi, ribuan orang berhimpun untuk bersorak, meraikan bola sepak dan berkongsi kegembiraan. Namun apabila sorakan berakhir, padang bersejarah ini ditinggalkan dalam keadaan dipenuhi sampah sarap,” menurut kenyataan itu.

Menurut DBKL, cara masyarakat meninggalkan sesuatu ruang awam sebenarnya mencerminkan sejauh mana tempat tersebut dihargai.

“Kita boleh meraikan dengan meriah. Kita boleh bersorak sepuasnya, tetapi kebebasan untuk bergembira tidak pernah bermaksud kebebasan untuk mengotorkan ruang milik bersama.

“Kebersihan Kuala Lumpur bukan sekadar tugas petugas pembersihan. Ia adalah tanggungjawab setiap individu yang menggunakan ruang awam ini,” katanya.

Beginilah situasi selepas Piala Dunia 2026 berakhir, mentaliti menyedihkan segelintir rakyat Malaysia. Foto DBKL

Sedih Tengok Mentaliti Rakyat Malaysia

DBKL turut memaklumkan petugas pembersihan akan menjalankan kerja-kerja pembersihan sebaik acara selesai bagi memastikan kawasan Dataran Merdeka kembali bersih dan selesa digunakan orang ramai.

Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan itu mengingatkan bahawa Dataran Merdeka bukan sekadar lokasi penganjuran acara, sebaliknya merupakan salah satu mercu tanda bersejarah negara yang perlu dipelihara bersama.

Petugas-petugas DBKL membersihkan dataran merdeka pagi ini. Foto DBKL

Perkongsian DBKL itu turut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya melahirkan rasa kecewa melihat keadaan Dataran Merdeka selepas acara berakhir.

Ramai berpendapat sikap membuang sampah merata-rata masih menjadi antara cabaran utama dalam usaha memupuk budaya menjaga kebersihan ruang awam.

Beginilah keadaan di Dataran Merdeka selepas aksi final ditayangkan di lokasi bersejarah ini. Foto DBKL

Malah, tidak kurang yang beranggapan setiap individu seharusnya lebih bertanggungjawab dengan membawa pulang sampah sendiri atau membuangnya ke dalam tong yang disediakan, tanpa mengharapkan petugas kebersihan menguruskan semuanya.

Hakikatnya, kemeriahan sesebuah acara bukan sahaja diukur melalui jumlah kehadiran pengunjung atau sambutan yang diterima, malah turut dinilai menerusi disiplin dan tahap kesedaran sivik masyarakat.

Sebahagian padang Dataran Merdeka sedang dibersihkan dan kesemuanya akan dipastikan bersih kerana lokasi ini mercu tanda Kuala Lumpur. Foto DBKL

Sikap menghargai kemudahan awam, menjaga kebersihan serta meninggalkan lokasi dalam keadaan bersih merupakan amalan mudah yang mampu mencerminkan imej sesebuah negara di mata dunia.

Setiap kali Piala Dunia berlangsung, dunia sering mengagumi budaya penyokong Jepun yang sanggup mengutip sampah sendiri sebelum meninggalkan stadium. Walaupun pasukan mereka tewas, sikap itu tetap dipuji kerana mencerminkan rasa hormat terhadap ruang awam dan petugas kebersihan.

Mercu tanda Kuala Lumpur dicemari sampah, jelas mentaliti mengecewakan

Melihat keadaan Dataran Merdeka selepas sambutan final Piala Dunia 2026, sukar untuk tidak berasa sedih. Sorakan mungkin sudah berakhir, namun sampah yang ditinggalkan seolah-olah mengingatkan bahawa kesedaran sivik masih perlu diperkukuhkan.

Andai setiap pengunjung sanggup meluangkan beberapa saat untuk mengutip dan membuang sampah sendiri sebelum pulang, sudah pasti imej negara akan lebih dihormati.

Published by
Almaswa Haji Che Ros