
Cristina Suzanne
Ramai yang selesa untuk berkongsi apa sahaja di media sosial, namun berbeza dengan Cristina Suzanne yang mana dia lebih suka ada privasi.
Memegang prinsip, “cukup kita tahu”, pelakon wanita ini mempunyai pendirian berbeza kerana merasakan tidak perlu untuk memuat naik foto secara terbuka.
Menjaga ruang privasi diri dan keluarga demi kesejahteraan hidup, pendekatan tersebut sudah dipraktikkan aktres berusia 41 tahun itu sejak mula-mua bergelar anak seni.
Bagi pemilik nama penuh Cristina Suzanne Stockstill itu, selain perihal kerja, dia memberitahu tidak mempunyai keperluan lain untuk menjemput khalayak masuk ke dalam kehidupan peribadinya.
“Saya memang agak keberatan untuk memuat naik foto dalam akaun media sosial sebab rasa tidak perlu pun.
“Sejak dahulu lagi saya memang berpegang kepada prinsip tidak menunjuk-nunjuk kehidupan peribadi atau perkara lain.
“Termasuk juga tak kongsi berkaitan harta, kebahagiaan atau kesedihan, cukup simpan sendiri dan kongsi dengan Tuhan sahaja,” katanya lagi.
Namun, jauh di sudut hati, dia mengakui media sosial amat penting dalam memastikan peminat dan khalayak mengetahui perkembangan semasa atau projek terkini selebriti kegemaran mereka.
“Saya tak nafikan memang penting untuk selalu kemas kini media sosial dengan berkongsi tentang kerja dan sebagainya tetapi adakalanya saya keliru dan tidak tahu untuk menulis kapsyen.
“Kalau tentang kerjaya, masih okey tetapi setakat nak tunjuk kebahagiaan, rasa-rasanya semua orang melalui fasa sama.
“Saya juga berpegang kepada apa yang agama sendiri didik iaitu jangan terlalu menunjuk, negatif atau positif macam mana sekali pun hidup, jangan kongsi dan beritahu kepada Tuhan saja,” tutur bintang filem KIL itu.
Ujarnya, terlalu banyak berkongsi tentang kehidupan dalam media sosial juga mampu mengundang pelbagai perkara negatif .
“Kalau kongsi terlalu banyak, mungkin akan cipta lebih banyak spekulasi, saya memang tak mahu jadi begitu.
“Sebenarnya kalau tak mahu orang mula (cipta spekulasi), kita jangan bagi ruang kecuali memang kehendak sendiri,” jelas Cristina Suzanne.
Menyentuh hal berkait kerjaya, dia sempat memberitahu lakonannya masih rancak waima timbul dakwaan kononnya sudah ‘pencen’ sebagai seorang pelakon.
Tuturnya, tanggapan sebegitu mungkin wujud disebabkan tidak aktif berkongsi perkembangan kerjaya seni dalam media sosial.
“Syukur tawaran lakonan sentiasa ada tetapi saya tak nafikan ada pihak produksi dan segelintir individu anggap saya tidak berlakon lagi sebab jarang muat naik foto dalam media sosial.
“Selain dakwaan berhenti berlakon, ramai juga tertanya-tanya mengenai penampilan terkini saya, kurus atau sebaliknya sedangkan semua sama sahaja, tiada perubahan sejak dahulu,” katanya.
Sumber: Kosmo