
Ciuman akhir seorang ibu, Amyza Aznan sekeluarga tidak dapat menahan sebak. Suasana pilu menyelubungi suasana saat Amyza Aznan memberikan ciuman terakhir buat anak sulungnya, Andre Mikhail yang diberitakan meninggal malam tadi.
Dilihat tidak mampu menahan air mata yang tidak henti-henti mengalir ketika memeluk arwah anaknya buat kali terakhir di perkarangan Masjid Al- Khairiah, AU3 Keramat, Amyza Aznan dan keluarganya diberikan ruang untuk menatap wajah anak sulungnya itu sebelum solat jenazah dilangsungkan.
Amyza Aznan yang diuji kehilangan anak sulungnya itu selepas setahun bertarung melawan kanser paru-paru tahap tiga, mengakui ujian ini amat berat buatnya. Berat kerana kehilangan anak sulung dan perlu berjuang untuk anak keduanya, Adrian Adam, 18, disahkan menghidap kanser tulang.
Dalam pada itu, suami Amyza iaitu Khairil Idzhar Md Nazir menyifatkan arwah anaknya itu seorang yang tidak pernah menyusahkan sesiapa biar pun sakit.
“Andre anak yang baik dan tidak pernah menyusahkan walaupun dalam keadaan sakit. Semalam kami sudah diberitahu keadaan anak sangat krtikal. Kami sentiasa ada di sisinya.
“Setiap masa saya ada dengan arwah anak. Alhamdulillah semua dipermudahkan. Perginya anak yang soleh ini terlalu mudah bagi saya kerana dia pergi ketika saya ada di sebelah,” katanya yang memaklumkan anaknya itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.15 malam di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Jenazah Allahyarham Andre dibawa ke Masjid Al-Khairiah AU3, Keramat untuk disolatkan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana sekitar jam 10.30 pagi ini.