Ciapan lama Amira Othman kembali tular, ucap tahniah kepada Fattah Amin. Seakan membawa kenangan lama, ciapan penyanyi Amira Othman pada tahun 2017 kembali menjadi tular selepas beliau sah bergelar isteri kepada pelakon popular, Fattah Amin pada 14 September lalu.
Memetik Kosmo Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 31, ketika itu pernah menitipkan ucapan tahniah menerusi platform X (dahulu Twitter) kepada pasangan Fattah dan Fazura yang baru mendirikan rumah tangga.
“Tahniah Fattah & Fazura, jodoh itu rahsia Allah,” tulis Amira dalam hantaran yang kini kembali dikongsikan netizen selepas perkahwinannya bersama Fattah.
Selain itu, pengguna laman sosial turut menjumpai satu lagi ciapan Amira pada awal tahun sama yang menyebut tentang kemesraan Fattah dengan selebriti Neelofa.
Penemuan semula ciapan-ciapan tersebut membuatkan ramai peminat teruja kerana selepas lapan tahun berlalu, Fattah akhirnya menjadi milik Amira. Ramai yang menganggap apa yang pernah diucapkan Amira sebagai bukti bahawa jodoh sememangnya rahsia Allah.
Malah, tidak kurang juga yang menyifatkan perjalanan Amira daripada seorang peminat Fattah kepada isterinya kini sebagai sesuatu yang penuh hikmah.
“Lapan tahun kemudian jadi jodoh diri sendiri. Sebab itu kita kena doa baik-baik,” tulis seorang pemilik akaun Threads.
“Betullah kata Amira. Jodoh rahsia Allah. Sekarang dia pula berjodoh dengan Fattah,” kongsi seorang lagi pengikut.
“Member wish, member dapat,” ujar seorang pengguna Threads lain secara berseloroh.
Untuk rekod, pasangan Fattah dan Amira disatukan dalam sebuah majlis di sebuah pusat peranginan di Sepang, Selangor pada 14 September lalu, yang juga bertepatan dengan ulang tahun ke-35 aktor berkenaan.
Terdahulu, Fattah pernah bernikah dengan Fazura pada 27 November 2017 sebelum mereka bercerai pada 7 Oktober tahun lalu. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.
Sumber: Instagram Amira Othman
Baca artikel lain juga: Fattah Amin Panggil Amira Othman Isteri Syurga
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER danciao YOUTUBE