“Sampai masa tutup buku bab ini…”
Selepas lebih 10 tahun mencurahkan jiwa dan tenaga dalam dunia pencipta kandungan digital, nama yang tidak asing lagi dalam dunia masakan Malaysia, Che Nom atau nama sebenarnya Normah Bakar, 43 mengumumkan pengunduran dirinya dari dunia influencer marketing.
Pengumuman yang dibuat menerusi hantaran jujur di Facebook itu mengundang pelbagai reaksi – daripada ucapan terima kasih, sehinggalah ke luahan simpati. Kerana di sebalik resepi yang menggamit selera, terselit kisah perit yang selama ini dipendam dalam diam.
“Ramai ingat jadi influencer ni senang… tapi realitinya makin lama makin perit.”
Luahan Che Nom membongkar sisi gelap dunia yang sering dilihat indah—dunia pempengaruh digital. Dengan kemunculan berbondong-bondong wajah baharu, persaingan menjadi semakin sengit, bukan sahaja dari segi kreativiti, tetapi juga harga.
“Semua turunkan harga sebab nak dapat job. Tapi bila harga makin rendah, kualiti pun terjejas.”
Katanya lagi, klien dari syarikat besar biasanya menuntut video yang bukan sahaja memenuhi spesifikasi tertentu, tetapi juga datang dari jenama yang kadang-kadang bertentangan dengan prinsip dan hati nurani.
“Harapan klien tinggi, tapi views bergantung pada algoritma. Kita tak boleh janji virality. Usaha boleh, tapi hasil belum tentu,” ujarnya jujur.
Sebagai figura digital yang berpengalaman dan profesional, Che Nom menekankan bahawa menghasilkan video bukan semudah ambil kamera dan mula merakam. Ada proses. Ada pengurusan masa. Ada tanggungjawab terhadap hasil akhir.
“Kena ikut brief, edit banyak kali, ikut deadline. Semua ini perlukan disiplin, bukan semata-mata minat.”
Inilah hakikat yang sering luput daripada perhatian generasi muda yang melihat kerjaya sebagai influencer sebagai jalan pintas untuk jadi kaya atau dikenali.
“Belajar rajin-rajin dulu. Dunia influencer bukan jalan pintas cari duit. Tanpa asas kukuh, boleh terbeban dengan tekanan.”
Begitulah pesan Che Nom, yang tetap mengambil pendekatan keibuan dalam setiap kata-katanya. Tegas namun penuh kasih. Realistik namun tidak pernah sinis.
Walaupun menutup lembaran sebagai pempengaruh yang berurusan dengan klien dan pemasaran jenama, Che Nom tetap berbesar hati berkongsi bahawa video terakhirnya, sebuah kolaborasi bersama jenama Anchor akan menjadi penutup yang indah buat kerjaya ini.
“Terima kasih Che Nom atas ilmu, inspirasi dan kejujuran. Ramai wanita belajar masak, berdikari dan menjana pendapatan dari dapur sendiri kerana video-video Che Nom.”
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.