
Norish Karman
Cukup bagus amalan mendidik anak-anaknya, pelakon Norish Karman mewajibkan kelapan-lapan anaknya membaca al-Quran setiap malam.
Menerusi podcast Legasi: Sembang Sambung, Norish atau nama sebenarnya, Nor’Ashikin Karman, 52, berkata, amalan yang sudah menjadi rutin harian itu turut disertai solat sunat dua rakaat sebelum tidur.
“Saya jadikan al-Quran sebagai asas untuk anak-anak selain wajib menunaikan solat sunat.
“Saya akan marah sekiranya mereka tidak melakukannya. Apabila bangun tidur pula, mereka wajib mandi, solat sunat dua rakaat dan kami akan berjemaah bersama-sama,” katanya ketika tampil dalam sebuah program audio siar.
Ibu tunggal itu berkongsi amalan lain yang dilaksanakan mereka sekeluarga termasuk membaca surah Yasin dan Al-Kahfi.
“Selepas itu (solat) kami akan membaca Yasin dan Surah Al-Kahfi. Kami juga akan meletakkan botol air di tengah-tengah ketika membaca Al-Quran,” ujarnya
Pada masa sama, pelakon filem Sayang Salmah itu turut menekankan kepentingan memilih pasangan hidup berlandaskan agama.
“Saya didik anak lelaki supaya mencari bakal isteri yang setanding ilmu agama. Kalau lebih tinggi, itu lebih baik.
“Jangan risau jika isteri lebih tinggi ilmu agama kerana mereka yang akan mendidik anak-anak di rumah,”
jelasnya.Norish juga tidak ketinggalan mengulas peranan wanita berstatus isteri dalam membentuk keperibadian anak.
“Isteri adalah madrasah anak-anak. Jadi bakal suami perlu mencari isteri yang berteraskan agama kerana di situlah terletaknya kejayaan atau kegagalan seorang suami.
“Kalau suami keluar bekerja dan isteri tidak mampu membimbing anak-anak, bagaimana mereka hendak dibesarkan dengan baik,”
katanya.Sejak minggu lalu Norish menjadi tumpuan ramai selepas anak sulungnya mendedahkan keadaannya yang sakit hingga tidak dapat bekerja.
Namun baru-baru ini, ramai usahawan yang sudi membantu pelakon wanita ini dengan anak-anaknya. Ini sedikit sebanyak membuka rezeki Norish Karman sekeluarga untuk selesaikan apa yang patut.
Sumber: Legasi Sembang Sambung