
Siri Impiana: Karma yang ditayangkan menerusi slot DramaVaganza di Astro Ria setiap Rabu dan Khamis pukul 9 malam mula menjadi bualan selepas jalan ceritanya berkembang dengan penuh debaran.
Diadaptasi daripada novel tulis penulis berprolifik, Ain Maisarah, Impiana: Karma yang diproduksi Zeel Production Sdn Bhd memaparkan kecamuk emosi dari drama, komedi gelap, dendam dan thriller yang terbentuk daripada kesan buli menjadikan ia sebagai naskhah wajib tonton buat yang mencari kelainan dalam sebuah drama siri.
Buat Ain Maisarah yang mengaku tidak mudah melepaskan naskhah dari medium penulisan divisualkan ke kaca televisyen, melihat Impiana: Karma dalam versi drama bersiri adalah sebuah impian yang jadi kenyataan. Hal ini diperakui oleh Syaizul Amal selaku suami dan penulis bersama.
Hal ini lantaran kegusaran bagaimana versi adaptasi boleh menjadi sangat mirip dengan penulisan di buku.
“Ketakutan dan sensitiviti antara penulis-penulis novel ataupun pemain-pemain industri buku adalah mereka takut kalau pergi adaptasi, ia nanti jadi lain. Kalau pergi adaptasi ini sudah tidak sama, vibe berbeza dan lebih lagi sukar bila setiap pembaca mempunyai bayangan yang berbeza.
“Bila ada yang baca dibayangkan watak hero handsome-nya macam K-pop. Kalau tidak macam Melayu sawo matang yang macho. Jadi berbeza-bezalah semua bayangan bila baca satu novel.
“Sebab itu adaptasi novel kepada drama memang sesuatu yang sangat kompleks. Tapi mungkin kali ini risiko itu terkawal kerana yang nak merealisasikan ini pembaca juga,” ujar Ain Maisarah mengenai proses pembikinan adaptasi Impiana: Karma ke dalam siri drama 22 episod ini.
Namun setelah proses pembikinan berjalan, Ain Maisarah mengaku teruja melihat hasilnya.
“Saya sifatkan ini peluang istimewa apabila melihat buku direalisasikan (drama). Jadi ia macam ada satu syarikat impiana yang menunaikan impian kami pula.
“Apa yang mengujakan setiap babak yang ditonton atau dialog yang diucap rasa ‘eh ini macam saya pernah baca’ dan wataknya direalisasikan. Ini menjadi pengalaman yang sangat berbeza,” ujar Ain Maisarah.
Malah menurut novelis ini lagi, Impiana: Karma yang mengangkat kisah sekumpulan rakan dari zaman persekolahan terperangkap dengan ‘godaan’ Syarikat Impiana Sdn Bhd yang mampu merealisasikan setiap impian dalam masa tiga bulan adalah sebuah naskhah tidak klise sekaligus menukar pola pemikiran penonton.
“Satu yang pasti, drama Impiana: Karma ini tidak sama, tidak klise macam drama lain. Ia ‘laju’ dan simpan banyak plot yang berangkai-rangkai.
“Kalau mahu komen, nanti dulu. Tahan dulu tangan daripada komen-komen netizen.
“Impiana: Karma adalah satu percubaan untuk merubah pola, cara penonton-penonton di Malaysia untuk menyaksikan drama-drama seterusnya.
“Ini adalah satu percubaan yang berani, yang berbeza. Jadi kena sokong,” katanya lagi.
Lebih mengujakan, Impiana: Karma dibarisi oleh pemain handalan seperti dibintangi oleh Tiz Zaqyah, Juliana Evans, Ezzanie Jasny, Yuna Rahim, Adriana Adnan dan Sharifah Haneesya di bawah arahan pengarah berkaliber, Erya Rahman.
Gabungan tim produksi dan para pelakon telah menghidupkan ‘tulisan-tulisan’ dan impian di buku menjadi sebuah visual menarik sebagai satu tontonan.
apa yang paling dititik beratkan adalah mesej buli yang selama ini dibaca diterjemahkan dengan jelas lewat Impiana: Karma ini.
“Ia bukan hanya tentang buli fizikal tetapi buli mental. Buli menggunakan percakapan. Buli yang akan menhiris hati.
“Semua ini dikategorikan sebagai buli dan boleh memberi impak kesan negatif yang lama.
“Jadi daripada Impiana novel lagi kita letakkan sisi tersebut, 10 tahun pun masih orang berdendam. Jadi jangan pernah membuli di mana-mana fasa kehidupan pun,” katanya seperti dilaporkan Ain Maisarah.
Untuk menyaksikan kesudahan bagaimana kesan buli mental boleh merubah hidup kerana percayakan Impiana: Karma, maka jangan terlepas menonton drama ini setiap Rabu dan Khamis pukul 9 malam di saluran Astro Ria dan platform Sooka.