Isu Sosial

Buli Di Asrama: Anak Diam Bukan Bermakna Okey, Pakar Dedah Tanda Pelajar Trauma

Share

Isu buli di asrama bukan lagi perkara kecil yang boleh dianggap sekadar tradisi senioriti atau pengalaman biasa kehidupan di sekolah berasrama penuh (SBP).

Sebaliknya, ramai pakar melihat budaya tersebut sebagai sesuatu yang boleh memberi kesan besar terhadap emosi, mental dan perkembangan remaja jika tidak ditangani dengan betul.

Perkara itu dibincangkan menerusi forum bertajuk Respect vs Fear: Shaping Positive Traditions in SBPs Without Crossing Into Bullying anjuran Gabungan Persatuan Alumni Sekolah Berasrama Penuh Malaysia (GPASBP) yang berlangsung di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam.

Antara panel yang terlibat ialah Ketua Nazir Sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia, Nahrudeen Othman

, Pengerusi Pusat Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan UKM, Prof Madya Dr. Hasnah Toran, peguam M K Thas serta Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja, Dr. Zasmani Binti Shafiee.

Program itu dikendalikan moderator, Dr. Malar Santhi A/P Santherasegapan.

Ramai Mangsa Pilih Mendiamkan Diri

Dr. Zasmani Binti Shafiee, Pakar Psikiatri Kanak-kanak dan Remaja.

Menurut Dr. Zasmani, ramai ibu bapa sebenarnya tidak menyedari perubahan emosi anak-anak boleh menjadi petanda mereka sedang berdepan tekanan akibat buli di asrama.

Katanya, ada pelajar memilih untuk berdiam diri kerana takut dipersalahkan, malu dianggap lemah atau bimbang keadaan menjadi lebih buruk jika mereka bersuara.

“Mereka mungkin berubah menjadi lebih pendiam, mudah marah, hilang selera makan atau tidak lagi bersemangat untuk kembali ke sekolah. Namun ramai ibu bapa menganggap ia hanya fasa biasa remaja,” katanya.

Tambah beliau, mangsa buli di asrama juga sering cuba menyembunyikan emosi sebenar kerana takut dipulaukan rakan atau dikenakan tindakan lebih teruk oleh pelajar senior.

Trauma Boleh Berlarutan Hingga Dewasa

Dalam forum tersebut, panel turut membincangkan kesan jangka panjang terhadap mangsa buli terutama dari sudut kesihatan mental.

Menurut Dr. Zasmani, trauma yang dialami ketika remaja boleh memberi kesan sehingga dewasa termasuk hilang keyakinan diri, kebimbangan melampau, masalah komunikasi dan kesukaran mempercayai orang lain.

Malah, ada mangsa yang mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih daripada pengalaman silam mereka.

Disebabkan itu, beliau berpandangan isu buli di asrama tidak boleh lagi dianggap sebagai perkara normal atau sebahagian daripada proses membentuk disiplin pelajar.

“Rasa hormat tidak sepatutnya lahir daripada ketakutan,” katanya.

Budaya Senioriti Perlu Ada Sempadan

Selain itu, panel forum turut menyentuh bagaimana sesetengah budaya senioriti masih dinormalisasikan atas alasan tradisi sekolah.

Mentaliti “aku dulu kena, kau pun kena” disifatkan sebagai budaya lama yang perlu dihentikan kerana ia boleh membuka ruang kepada penderaan emosi dan psikologi terhadap pelajar junior.

Menurut panel, hubungan senior dan junior sepatutnya dibina melalui kepimpinan, empati serta komunikasi sihat dan bukannya ugutan atau penghinaan.

Dalam masa sama, ibu bapa juga disaran lebih peka terhadap perubahan tingkah laku anak terutama jika mereka mula menunjukkan tanda tekanan, ketakutan atau enggan kembali ke asrama.

Forum tersebut dilihat sebagai langkah positif dalam membuka perbincangan lebih matang mengenai isu buli di asrama, selain membantu masyarakat memahami bahawa trauma emosi remaja tidak boleh dipandang ringan.

Published by
Farhana Syahirah