Walau sudah lebih dua dekad mewarnai dunia seni, nama Fasha Sandha masih kukuh berdiri. Namun bagi aktres ini, populariti bukanlah sesuatu yang wajib diraikan setiap masa.
Malah, Fasha akui tidak kisah langsung jika ada yang tidak mengenalinya walaupun beliau sudah 22 tahun menjadi wajah kesayangan di kaca televisyen.
“Bukan semua orang kenal saya. Dan saya pun tak kisah.”
Begitulah tenangnya pengakuan Nur Fasha Sandha Hassan, 41, yang kini tampil lebih bersahaja dan tertutup dengan penampilan berhijab.
Menurut Fasha, penampilan terkininya yang bertudung dan tidak bersolek tebal membuatkan ramai tidak ‘cam’ siapa dirinya apabila terserempak di luar.
“Saya memang tak bersolek kalau bukan waktu bekerja. Jadi, tak pelik pun kalau orang tak kenal saya. Kita tak boleh anggap semua rakyat Malaysia tonton drama. Ada yang lebih suka program agama atau dokumentari, jadi kalau tak dikenali tu, bukan satu isu.”
Pelakon drama popular Rampas Cintaku ini juga berkongsi bahawa sejak dari dahulu, dirinya tidak pernah mengangkat status sebagai selebriti ke mana-mana.
“Saya tetap pandu kereta sendiri, saya ke pasar macam biasa. Kalau tak kerja, saya memang jadi diri sendiri.”
Sikap down to earth ini nyata menjadi kunci kepada kesederhanaan hidup Fasha, walau namanya pernah menjulang tinggi di puncak glamor.
Baru-baru ini, satu momen mencuit hati telah tular di media sosial apabila seorang wanita warga emas tidak mengenali Fasha, malah dengan selamba cuba menjodohkannya dengan anak lelakinya!
“Waktu tu saya tengah buat content untuk kedai sepupu saya. Tiba-tiba mak cik tu datang dan kata dia nak kenalkan saya dengan anak dia! Saya pun tergelak je lah.”
Lucunya, insiden itu membuat anak lelaki wanita tersebut menghubungi Fasha melalui DM Instagram untuk memohon maaf kerana ibunya tidak mengenalinya.
“Saya anggap ia momen kelakar dan spontan. Tak ambil hati pun. Saya suka tengok orang happy.”
Dalam perkembangan terkini, Fasha dan suami tersayang, pelakon Aidil Aziz, kini mula melebarkan sayap dalam dunia perniagaan F&B dengan membuka cawangan ke-208 Kopi Saigon di pusat beli-belah MyTown Cheras.
“Kami laburkan sekitar RM200,000 dari wang simpanan sendiri. Ia satu langkah besar untuk masa depan kami sekeluarga.”
Kata Fasha lagi, perniagaan ini adalah satu bentuk perancangan jangka panjang yang mereka usahakan bersama, demi kestabilan dan kelangsungan hidup selepas zaman glamor berlalu pergi.
Di sebalik nama gah dan pencapaian besar, Fasha kekal tenang melayari kehidupannya dengan penuh kesederhanaan. Tiada keluh-kesah jika tidak dikenali di khalayak. Tiada rasa tergugat bila tidak dihujani pujian.
Kerana bagi Fasha, menjadi manusia yang baik itu jauh lebih penting dari menjadi selebriti yang dikenali.
“Saya bukan kejar populariti. Saya cuma nak hidup tenang, bahagia dan beri manfaat pada orang.”
Dan itulah yang menjadikan Fasha Sandha, seorang wanita, ibu, isteri dan usahawan yang bukan sekadar dikenali, tetapi dihormati.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE