Bukan Semua Lelaki Beriman Lagi Suci, Betulkan Niat Sebelum ‘Buka Cawangan’ Lain!

Share

Konon nak ‘buka cawangan’ lain, tetapi bab nafkah kelaut! Ya, realitinya tak semua lelaki berani memikul amanah beristeri dua, tiga atau empat sekali dalam satu masa.

Ramai yang dah mencuba rasa menyesal kerana tak mampu bersabar memenuhi tuntutan-tuntutan isteri yang bukan-bukan, cemburu buta yang melampau dan perebutan harta hingga merosakkan masa depan anak-anak.

Akhirnya Anak-anak Benci!

Rosak dunia rosak pula akhirat kerana hidup sentiasa menipu, menzalimi satu sama lain, membuang masa melayan kemahuan isteri sehingga habis peluang ibadah kepada Allah, hari-hari dengar perkara negatif yang merosakkan hati, sampai satu masa terpaksa lepaskan seorang atau bubarkan semua sekali. Kemudian hidup dijauhi anak-anak yang membenci, dibayangi rasa berdosa sehingga mati.

Bukan semua lelaki yang berpoligami gagal, bergantung berapa tahan iman dan ikhlasnya kepada Allah. Maka, itulah alat ukur lulus atau tidaknya berpoligami. Jika mahu berjaya harungi kesusahan demi kesusahan yang menemani sepanjang hayat sila saja jangan takut. J

Pendek kata, kalau solat pun tak lepas tak payahlah nak berangan bagai, jika duit belanja masih meminta isteri ‘top up’ jangan main-mainkan perasaan dengan cinta tak ada keberkatan.

Tetapi jika memang betul layak harta dan ilmu, iman dan takwanya serta bijaksananya mengurus iman isteri maka suami tiada halangan pun mengamalkan poligami.

Namun jangan sekali-kali lupa, kahwin itu bukan soal layak dari segi harta semata, kepakaran suami dalam mendidik iman dan ikhlas isteri itu yang susah di dapat. Kerana itu poligami hanya bagi mereka yang benar-benar mampu ilmunya, ia perlu kepada kezuhudan dan kewarakan suami dalam mendidik isteri. Semakin dekat kepada Allah semakin besar rasa takut seorang suami melakukan poligami, takut imannya yang nipis itu diterbangkan amukkan isteri. Akhirnya membatalkan niat dan fokus kepada membina cinta yang sedia ada.

Sebenarnya apa yang menjadi punca para suami membatalkan niatnya untuk berpoligami?

Belajar selok-belok ilmu poligami sebelum ‘buka cawangan’

Orang jahil biasanya memutuskan sesuatu tanpa berfikir panjang, walaupun ramai yang ada ilmu tak mahu menggunakan ilmunya kerana dikalahkan oleh hawa nafsu mahu kahwin cepat, memuaskan diri sendiri tanpa memikirkan impaknya di kemudian hari.

Tetapi jika seorang suami bersungguh-sungguh mahu mencari keselamatan dia perlu mempersiapkan diri, isteri dan calon madunya dengan kuasa ilmu yang boleh mengalahkan rasa cemburu.

Ilmu yang memadamkan api dengki, merebahkan jiwa di hadapan Allah bukan di mangsa oleh cinta, menyatukan isteri-isteri dengan air mata takut kepada Allah, dan ilmu yang memberi motivasi isteri-isteri untuk melupakan kesedihan serta membina masa depan.

Ilmu yang membimbing isteri melihat dunia ini sebagai sesuatu yang mudah hilang, mudah lenyap, mudah musnah dan akhirat sesuatu yang kekal, abadi dan datang bila-bila masa saja. Sehinggakan tak perlu memperebutkan dunia untuk mengorbankan akhirat. Jadi jika suami membatalkan niatnya berpoligami mungkin saja dia telah belajar betapa susahnya mengajarkan ilmu ini kepada dirinya sendiri apatah lagi kepada isteri.

Dicabut Kelayakannya Oleh Allah SWT Sekelip Mata

Dulu bukan main bersemangat mahu berpoligami tetapi semakin dikejar semakin banyak kelayakannya dicabut Allah untuk dia berpoligami. Tiba-tiba isteri derhaka, melawan dan nusyuz, mula meninggalkan solat, suami pula tak nasihat dengan lembut, tak bertolak ansur bahkan memaki hamun sampai cederakan isteri dan anak.

Cuba ugut dengan memutuskan wang belanja dan nafkah anak. Harta yang diusahakan tiba-tiba rugi disebabkan sikap suami yang kurang amanah di rumah dan di tempat kerja, Allah cabut keberkatannya kerana dosa-dosanya kepada keluarga. Apabila yang dikejar tak dapat yang dikendong keciciran maka akhirnya suami akur dan insaf bahawa poligami mengikut sunnah amat berat dilaksanakan, umpama satu kaki di syurga dan satu kaki lagi di neraka. Terbatallah niat disebabkan dia rasa tak layak dan tak mampu mendidik isterinya untuk redha.

Takut Mahkamah Akhirat

Ingat ya, kezaliman yang dilakukan suami kepada isteri akan dipersoalkan di mahkamah Allah SWT, dosa kepada isteri jarang diperkatakan seolah-olah boleh saja suami melakukan apa-apa saja kejahatan kepada isteri. Sedangkan Allah SWT telah berjanji akan menilai sehalus halusnya amalan kita, kejahatan atau kebaikan secara telus. Rasulullah s.a.w juga telah memberi amaran dalam hadisnya:

“Sesiapa yang memiliki dua orang isteri lalu dia cenderung kepada salah seorang di antara keduanya, maka pada hari kiamat dia datang dalam keadaan senget sebelah badannya.” (Hadis riwayat Abu Daud, al-Nasa’i disahihkan syaikh al-Albani)

Jadi, ramai para lelaki yang membatalkan niat meminang wanita kedua, kerana takutnya menjawab setiap soalan di mahkamah Allah nanti.

Soal poligami ikut sunnah atau tidak, perlu diselami sedalam-dalamnya tanpa prejudis, yang merasa layak sila amalkan dan jangan paksa orang lain yang tak layak untuk amalkan bahkan menyindir orang lain tidak ikut sunnah. Poligami adalah privasi, tak semua lelaki beriman lagi suci.

IKLAN