Tiga tahun menyulam cinta dengan rakan sepejabat, akhirnya setelah mendapat persetujuan kedua belah pihak berserta restu kedua keluarga, Shafira Mohd Shaarin, 38, dan pasangan mengambil keputusan untuk menghalalkan hubungan yang ada. Kehidupan bahagia bersama pasangan tercinta nampaknya tidak sampai hujung nyawa, enam tahun hidup bersama rasa cinta kasih dan sayang seakan semakin berkurangan.

Tiada Lagi Persefahaman

Masih lagi menyimpan harapan agar hubungan perkahwinan dapat diselamatkan apalagi dengan dua cahaya mata lelaki yang masih kecil, pastinya mereka membutuhkan kasih yang lengkap daripada ibu dan ayah. Setahun wanita yang lebih mesra disapa Fira dan bekas suami cuba menjernihkan dan mengembalikan kehangatan hubungan yang terjalin, tapi nampaknya satu pun yang tiada berhasil. Benarlah jika tiada lagi persefahaman dalam hubungan, maka apa yang terjalin bagaikan retak menunggu belah.

“Saya bertemu bekas suami ketika bekerja di pejabat yang sama. Tiga tahun bercinta saya dan dia ambil keputusan untuk berkahwin.  Hasil perkongsian hidup kami dikurniakan dua orang anak lelaki. Saya ingatkan dia jodoh saya sampai syurga, tapi itu semua ketentuan Allah, jodoh kami memang tak panjang. Enam tahun hidup bersama, keserasian kian pudar. Saya pindah tinggal berasingan selama setahun bersama anak-anak sebelum berpisah secara rasmi dengan bekas suami,” imbas Fira tentang hubungannya dengan bekas suami suatu masa dahulu.

Anak-anak Tidak Tahu

Anak-anak yang masih kecil ketika itu dirahsiakan tentang hubungan yang retak menunggu belah. Hubungan baik antara mereka masih diteruskan cuma perasaan sayang sahaja yang pudar daripada diri masing-masing. Dua orang anak yang masih tidak mengerti apa-apa bagaikan dapat menduga apa yang bakal berlaku.

IKLAN
Buat Tiga Kerja Untuk Sara Hidup Selepas Berpisah, Fira Kuat Untuk Anak-anak
Anak-anak penguat semangat Fira

“Pada mulanya memang saya tak beritahu dengan anak-anak tentang perpisahan kami berdua. Ketika tinggal berasingan saya dan bekas suami masih lagi berhubung dan baik. Cuma perasaan sayang antara saya dan dia sahaja yang dah tak ada. Anak-anak selalu juga bertanya mama dengan papa tak bercerai kan? Seolah-olah mereka masih menyimpan harapan untuk melihat kami berdua berbaik semula. Maafkan mama sayang, itu semua tak dapat mama tunaikan!” ujarnya sayu.

Berkongsi bagaimana kehidupan dirinya setelah berpisah dengan bekas suami, menurut Fira setahun masa yang diambil ketika hidup berasingan cukup membuatkan dia bersedia fizikal dan mental.

“Setahun saya dan bekas suami tidak tinggal bersama, ketika itulah saya mempersiapkan diri secara fizikal dan mental untuk sebarang kemungkinan yang berlaku. Alhamdulillah, Allah berikan saya kekuatan untuk menghadapi semua itu. Lagipun hubungan bersama bekas suami juga masih baik.

“Anak-anak juga akhirnya tahu tentang kedudukan perhubungan kami. Syukur mereka juga dapat menerima perpisahan yang berlaku secara terbuka. Mungkin kerana hubungan yang baik sentiasa terjalin antara saya dan bekas suami. Sehingga sekarang saya masih lagi baik dengannya. Ada masanya kami keluar bersama dengan anak-anak untuk membeli keperluan mereka, makan bersama dan sebagainya,” kongsi Fira lagi.

IKLAN

Kawan-kawan Tempat Mengadu

Secara luaran Fira mungkin kelihatan kuat, tapi jauh di sudut hati, ada ketika perasaan sedih menjengah hati. Tatkala itu, teman-teman rapat menjadi tempat untuknya mengadu domba.

“Tipulah kalau saya kata tak sedih langsung. Awal-awal dahulu memang ada ketikanya datang rasa sedih. Apa yang saya buat saya sibukkan diri dengan kerja-kerja sampingan di samping kerja tetap yang sedia ada. Selain itu, kawan-kawan lah tempat saya curahkan rasa tentang apa yang melanda.

“Bukan tiada keluarga yang memberi sokongan, tapi peringkat awal dahulu ada yang tidak bersetuju dengan keputusan saya untuk berpisah dengan bekas suami. Alhamdulillah lama-kelamaan setelah mereka lihat saya dapat survive walaupun tanpa suami di sisi mereka mula memahami.

IKLAN

“Ketika awal berpisah dahulu juga memang saya tak nafikan turut mempunyai sedikit masalah kewangan. Maklum sahajalah kini semua kena tanggung sendiri, nak bayar rumah, nak bayar kereta dan sebagainya. Tapi memang dah jadi prinsip saya sejak dahulu saya akan usahakan sendiri dan selesaikan masalah yang saya hadapi kalau boleh tanpa bantuan keluarga atau orang lain. Syukur semuanya dipermudahkan, selain mempunyai pendapatan daripada kerja tetap yang ada saya turut membuat kerja sambilan. Berbekalkan sedikit kemahiran yang ada daripada kelas solekan yang dihadiri, saya kerja sebagai juru mekap sambilan di samping turut menjadi pelakon tambahan dalam beberapa drama tempatan. Itulah cara saya mencari rezeki untuk saya dan anak-anak setelah berpisah,” tambahnya lagi.

Buat Tiga Kerja Untuk Sara Hidup Selepas Berpisah, Fira Kuat Untuk Anak-anak
Fira bersama Normah Damanhuri dalam satu acara

Pandang Buruk

Stigma masyarakat sering kali sahaja negatif terhadap golongan ibu tunggal, namun itu semua bukan kayu pengukur untuk menjadikan seseorang wanita yang bergelar ibu tunggal terus bermurung dan mengenang nasib yang kurang baik berbanding wanita lain. Bagi Fira, mulut manusia memang tidak dapat ditutup, maka buktikan kepada mereka bahawa ibu tunggal juga boleh berjaya hidup walaupun tanpa suami di sisi.

“Mulut orang mana kita boleh tutup kan? Bagi saya senang sahaja, memang mula-mula berpisah dahulu banyak yang berikan respons negatif, malah ada yang salahkan saya kerana penceraian tersebut. Apa orang nak kata saya biarkan sahaja, lama-kelamaan diamlah mereka. Bila dah lihat saya boleh hidup tanpa suami barulah mereka tutup mata dan tak berkata-kata lagi.

“Menjadi ibu tunggal bukanlah satu kesalahan, itu semua sudah suratan untuk kita hambanya. Paling penting sebagai wanita, kita kena kuat, tambahan pula ada anak-anak yang perlu kita besarkan. Kalau bekas suami bertanggungjawab, syukurlah tapi kalau dapat yang lepas tangan, ibulah yang perlu menggalas semua tanggungjawab. Oleh itu penting bagi wanita untuk mempersiapkan diri dengan apa sahaja kemahiran yang ada. Bukan meminta untuk berpisah, tapi sekurang-kurangnya kita bersedia jika berlaku sebarang kemungkinan. Kita hanya merancang segalanya Tuhan yang menentukan,” akhiri Fira.

Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI