
Nama Bonda Umirah bukan lagi asing dalam kalangan para isteri dan ibu bapa. Selama ini, beliau konsisten mengangkat martabat wanita bergelar isteri dan memperkukuh seni keibubapaan melalui media sosial serta penulisan yang dekat di hati, jujur, membumi dan sarat makna.

Selepas kejayaan buku sulung Ibu Penat Tapi Ibu Sayang yang mencatat lebih 20,000 naskhah terjual bagi cetakan pertama, Bonda Umirah sekali lagi mencuri perhatian.
Dalam kesibukan mengimbangi peranan sebagai ibu kepada tujuh cahaya mata, isteri kepada seorang usahawan, menyelesaikan pengajian ijazah sarjana di MSU serta dalam proses mendapatkan akreditasi sebagai Kaunselor Bertauliah di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia, beliau tampil dengan sebuah karya baharu berjudul Seratus Surat Cinta Buat Isteri.

Pelancaran buku ini berlangsung dalam sebuah majlis tertutup yang intim, seiring dengan tema cinta dan hubungan yang menjadi nadi utama karya tersebut. Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran tokoh-tokoh berpengaruh seperti Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, Tuan Nadir Al-Nuri, Tuan Ahmad Musa Al Nuwayri serta Saudara Firdaus Wong.
Ia menjadi simbol sokongan terhadap usaha berterusan Bonda Umirah dalam memperkasakan institusi perkahwinan. Buku ini diterbitkan di bawah Karya Bonda, sebuah platform yang mencerminkan idealisme dan perjuangan beliau.

Ikatan Rapuh Suami isteri
Seratus Surat Cinta Buat Isteri lahir daripada keresahan seorang wanita yang melihat ikatan suami isteri hari ini semakin rapuh, mudah retak, mudah goyah, apatah lagi apabila dipamer dan diuji di media sosial.

Statistik perceraian yang semakin membimbangkan menjadi latar realiti yang mendorong Bonda Umirah menulis, bukan untuk menyalahkan, tetapi untuk menyedarkan dan menguatkan. Buku ini menekankan pemerkasaan isteri sebagai tunjang kekuatan rumah tangga, agar bahtera perkahwinan kekal teguh meski dipukul badai ujian.

Hakikatnya, perjuangan ini bukan sesuatu yang baharu buat Bonda Umirah. Ia bermula hampir lapan tahun lalu apabila beliau membuat keputusan besar meninggalkan bidang perubatan, kerjaya yang pernah menjadi laluan hidupnya demi satu misi yang lebih dekat di hati, meneguhkan institusi kekeluargaan dalam masyarakat!
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




