Berita Sosial

Bilal Masjid Hilang Ditemui Lemas, Kakak Terkejut Dapat Panggilan Nampak Adik Ada Di Sungai

Share

Sampai ajalnya, bilal masjid yang dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika berenang menyeberangi Sungai Pahang di Kampung Peragap semalam akhirnya ditemui lemas pagi tadi.

Bilal Masjid Hilang Ditemui Lemas

Mayat Samsul Azmi Ishury, 41, ditemui pada jam 9.35 pagi di Sungai Pahang berhampiran Kampung Loyang, kira-kira 2.2 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata mangsa ditemui pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung semula jam 7.43 pagi selepas ditangguhkan 6.50 petang semalam.

Kakak Terkejut Dapat Panggilan Nampak Adik Ada Di Sungai

Kakak mangsa, Normarzita Ishury, 42, berkata keluarganya dikejutkan dengan panggilan telefon pada 6.50 petang memaklumkan adiknya, Samsul Azmi Ishury, 41, dilihat berada di sungai berkenaan sebelum dipercayai hanyut.

Menerusi sumber portal Berita Harian, sebaik tiba di lokasi, mereka menemui motosikal serta barangan peribadi adiknya ditinggalkan berhampiran tebing sungai.

“Kami terkejut apabila dimaklumkan ada saksi melihat adik berada di sungai. Apabila sampai di sini, motosikal dan barang peribadinya memang ada,” katanya.

Normarzita berkata, mangsa adalah anak kedua daripada empat beradik dan tinggal bersama ibu mereka di Kampung Lipat Kajang.

Adiknya yang belum berkahwin itu bertugas sebagai bilal di masjid di kampung berkenaan manakala mereka sekeluarga tinggal berdekatan antara satu sama lain.

Published by
Nadia Mohamad