Berita Sosial

7 Hari Bertarung Nyawa Di ICU, Bapa Dua Anak Meninggal Terlibat Kemalangan Kereta Dipandu Remaja Rohingya Tiada Lesen

Share

7 hari bertarung nyawa di ICU, bapa dua anak meninggal terlibat kemalangan kereta dipandu remaja Rohingya tiada lesen.

“Macam mana remaja Rohingya umur 15 tahun boleh bawa kereta sampai menyebabkan anak saudara saya bertarung antara hidup dan mati. Berapa ramai lagi yang perlu jadi mangsa sebelum tindakan diambil?”

Itu luahan penuh kecewa seorang wanita, Nurul Hidayatul Abdullah yang kehilangan anak saudaranya, Saifullah Isyraf Suriana semalam selepas tujuh hari bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kemalangan yang berlaku pada hari pertama Aidiladha, 27 Mei lalu.

7 Hari Bertarung Nyawa Di ICU

Bapa dua anak meninggal motor  terlibat kemalangan dengan kereta dipandu remaja Rohingya tiada lesen

Dalam kemalangan melibatkan motorsikal dan sebuah kereta dipandu remaja 15 tahun berbangsa Rohingya yang tidak memiliki lesen kenderaan di Rusila, Terengganu, Nurul berkongsi emosi sedih malah katanya dia menahan sabar sejak dari hari pertama anak saudaranya dilanggar remaja terlibat.

Ibu saudara arwah mempersoalkan remaja Rohingya yang tiada lesen memandu bebas memandu kereta di jalan raya di Marang, Terengganu

Melihat penderitaan yang dilalui Allahyarham sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia akhirnya meluahkan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku.

Dalam kemalangan itu, Saifullah mengalami kecederaan yang sangat serius termasuk retakan panjang pada tempurung kepala, pendarahan teruk di beberapa bahagian otak, pendarahan dalam mata, kecederaan parah pada muka serta beberapa bahagian tulang rusuk dan kaki yang patah.

Lebih membimbangkan, sebahagian otak bahagian depan mangsa dilaporkan mengalami kerosakan serius akibat hentakan kuat.

Sepanjang menerima rawatan, Allahyarham bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan berada dalam keadaan kritikal.

7 hari bertarung nyawa, akhirnya Saifullah pergi jua

Doktor juga tidak dapat memberikan jaminan sama ada beliau mampu meneruskan hidup atau sebaliknya berikutan kecederaan otak yang dialami.

Persoal Penguatkuasaan

Menurut Kak Nur, kemalangan tersebut didakwa melibatkan seorang remaja Rohingya berusia 15 tahun yang memandu tanpa lesen.

Perkara itu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan keluarga mangsa, terutama mengenai aspek penguatkuasaan dan keselamatan awam.

“Mana pihak bertanggungjawab? PDRM buat apa? Macam mana budak umur 15 tahun boleh memandu kereta?

“Kalau rakyat tempatan memandu tanpa lesen, cepat sahaja tindakan diambil. Jadi macam mana perkara seperti ini boleh berlaku sampai menyebabkan orang lain kehilangan nyawa?” katanya.

Beginilah keadaan kereta yang bertembung dengan motor dipandu Saifullah pada raya pertama

Beliau turut mendakwa kejadian membabitkan warga Rohingya bukan pertama kali berlaku di kawasan berkenaan dan berharap tindakan lebih tegas dapat diambil bagi mengelakkan lebih ramai menjadi mangsa.

“Kami cuma nak tahu, adakah anak saudara saya akan mendapat pembelaan yang sewajarnya?

“Nak tunggu berapa banyak kes lagi baru tindakan diambil? Berapa ramai lagi yang perlu jadi mangsa?” luahnya.

Menghembuskan Nafas Terakhir Selepas 7 Hari

Selepas tujuh hari bertarung nyawa di ICU, Saifullah akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.59 pagi.

Pemergian Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua orang anak yang masih kecil.

Namun apa yang lebih meruntun hati keluarga adalah keadaan anak sulung Allahyarham yang masih belum memahami bahawa bapanya sudah tiada.

Menurut ahli keluarga, kanak-kanak itu sangat rapat dengan Allahyarham dan hampir sepanjang masa bersama bapanya.

Malah pada hari kejadian, Allahyarham dikatakan sedang dalam perjalanan untuk mengambil anak sulungnya sebelum terlibat dalam kemalangan yang meragut nyawanya.

Selepas urusan pengebumian selesai, anak kecil itu dikatakan tertidur di atas riba sepupunya di hadapan kubur bapanya.

Apabila terjaga, soalan pertama yang ditanya adalah:

“Mama, papa mana?”

Menurut ahli keluarga, sehingga kini kanak-kanak itu masih mencari bapanya.

Ketika melalui rumah sewa yang pernah didiami Allahyarham, dia dikatakan berulang kali memanggil nama bapanya sambil melihat ke arah rumah tersebut.

“Papa… papa… mana papa?”

Lebih menyayat hati, ketika dibawa melihat jenazah buat kali terakhir, anak kecil itu dipercayai tidak mengenali bapanya kerana kecederaan serius yang dialami Allahyarham menyebabkan sebahagian wajahnya berubah.

Arwah meninggalkan dua anak yang masih kecil

Kini, di sebalik kesedihan kehilangan seorang suami, ayah dan anak, keluarga berharap siasatan menyeluruh dapat dijalankan dan keadilan dapat ditegakkan agar tragedi yang meragut nyawa Saifullah tidak berulang kepada keluarga lain. Al-Fatihah.

Published by
Almaswa Haji Che Ros