Masih ramai yang takut-takut nak bersedekah, bukan sebab duit tak ada tetapi risau sangat tak cukup! Akhirnya langsung tak menghulur walau seringgit.

Untuk renungan bersama, jemput baca perkongsian saudara Abd Ghani Haron dalam soal bersedekah.

Bersedekahlah Sampai Jadi Kaya

Saya ingin mengajak anda untuk merenung antara pesanan terakhir Allahyarham Dato Harun Din. Katanya orang mukmin yang hebat ialah mereka yang meninggalkan dunia, sebelum dia meninggal dunia, mereka yang bersedekah sampai kaya. Bukan dah kaya baru bersedekah, mereka yang berdakwah sampai jadi alim, bukan dah alim baru berdakwah. Mereka yang datang ke [email protected] sampai ke tua, bukan dah tua baru nak ke masjid atau surau. Dan mereka yang beramal sampai ikhlas, bukan dah ikhlas baru nak beramal.

Apa yang dipesankan ini begitu kontra dengan pegangan sebahagian besar dari kita kerana kita seringkali memikir mati hanya setelah sakit dan tua yang hampir mati. Nak bersedekah tunggu bila berada, nak berdakwah tunggu banyak ilmu, nak ke masjid bila dah tua, dah pencen dan menunggu keikhlasan baru nak beramal.

Dengan yang demikian kita tidak mengingati mati, tidak bersedekah, tidak menyeru yang baik, menegah yang mungkar, tidak berulang solat berjamaah kecuali telah pencen dan tidak beramal kerana kurang ikhlas. Hakikatnya kita kena beramal sedikit demi sedikit untuk mencapai semua itu, bukan menunggu ketika tertentu, bukan tiba tiba terjadi demikian.

Ingatlah mati, sebagai kekuatan untuk bersedia menghadapinya, tidak terlalu terkejar dunia ini hingga melupakan mati. Bersedekahlah dengan apa yang mampu, walaupun kita sendiri memerlukan kerana sedekah itu meluaskan rezeki, yang menyebabkan kita terasa sentiasa cukup keperluan. Ini bukan omongan kerana disebut nabi dan pada saya, saya begitu merasainya. Dalam berdakwah, jangan merasa aku tak ada ilmu yg cukup untuk berdakwah kerana pesan nabi’ Sampaikan dari aku walau satu ayat’ yang bermaksud jika kita tahu satu perkara, sampaikanlah, jangan tunggu tahu banyak perkara baru nak menyampaikan.

Pegangan bahawa bila pencen baru nak berulang ke masjid, tak mau buat kerja lain dah, nak ibadat sahaja, adalah pegangan yang salah kerana meyakini umur kita boleh melebihi 60 tahun. Banyak orang tak sempat pencen atau pencen sehari dua, dah dijemput kembali. Tak kurang yang bila pencen terlantar dirumah kerana sakit. Bila masa lagi nak ke masjid, ke surau? Jangan menunggu terasa ikhlas baru nak berbuat baik, lebih teruk mengutuk orang yang berbuat baik sebagai tidak ikhlas, riak. Ikhlas itu perlu dilatih, diulang-ulang berbuat kebaikan, akhirnya akan terzahirlah keikhlasan.

Saya mengajak anda menghayati apa yang dipesan oleh Dato Harun ini dan jadikan pedoman untuk hidup kita, praktikkanlah mulai hari ini. Selagi kita tidak mengamal perkara mengingat mati, dakwah, bersedekah, bersolat jamaah dan berbuat kebaikan tanpa menunggu ikhlas, ia akan menjadi teori sahaja. Malah menjadi slogan untuk dijaja, dipesan tetapi tidak dilakukan.

Banyak orang suka tulis pesan yang baik di fb, petik hadis, kata ulamak, ingatlah pesan Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya!  Amat besar kebenciannya di sisi ALLAH – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya.”

(Surah as-Saf, 61:2-3) Maka jomlah kita amalkan apa yang dipesan sebelum kita memanjangkan pesanan tersebut kepada orang lain.

Wallahu’alam.

Jangan Lupa Komen