‘Berebut Kasih Dengan Allah..’ Selepas 25 Tahun Berdua, Tuhan ‘Panggil’ Suaminya Pulang

Share

Luah isteri ini, “separuh jiwa saya dipanggil pulang kepada PenciptaNya.” Meninggalkan luluh hati yang amat dalam.

Tiada kudrat untuk Puan Ezatul Marini pertahankan, apabila dia, suami dan anak perempuannya terlibat dalam satu kemalangan bas yang mereka naiki.

Dan akhirnya, beliau terpaksa menerima hakikat, suaminya meninggal dalam kemalangan itu. Beliau turut tercedera dan dirawat di hospital. Takdir menghalangnya melihat, bertemu jenazah suami untuk saat terakhir sebelum dikebumikan.

Wahai isteri, biar apa pun kekurangan suami, dialah jodoh terbaik yang tuhan kirimkan untuk kita. Selagi, dia masih setia, selagi dia masih kasih, selagi dia masih ada, sayangilah dirinya kerana Allah.

Semoga catatan isteri ini dapat menyuntik rasa untuk kita jadi isteri yang bersyukur.

Berebut Kasih Dengan Allah

Kami berkenalan 25 tahun yang lepas, malah kronologi yang akhirnya membawa kami ke alam rumahtangga saya perincikan dengan jelas dalam naskah “Diva Yang Rebah” dalam antologi CLEAR.

Deraf naskah itu disemak sendiri oleh beliau. Tersenyum simpul dia kala membaca keseluruhan kisah. Bangga sungguh dia kerana saya tuliskan kisahnya. Tambah teruja bila saya maklumkan 7 “storytelling” yang saya hantar untuk projek Mrs. Papa semuanya adalah kisah tentang beliau.

Kami sangat akrab. Kami bukan hanya suami isteri, malah sudah seperti rakan karib yang sentiasa bersama. Bayangkan, kala di pejabat, beliau kerap menelefon kononnya semata- mata hendak mendengar suara saya. Begitulah akrabnya kami dalam menjalani kehidupan dari awal perhubungan hingga ke satu titik yang saya bayangkan mungkin bukan sekarang.

Bermacam perkara kami angankan, tidak terkira banyaknya perancangan yang kebanyakannya tentang anak- anak.

Dia saya kategorikan sebagai “homely type”. Dunianya hanya tempat kerja dan keluarga. Apa sahaja yang beliau rancang dan laksana semuanya berlatarbelakang saya dan anak- anak.

Beliau lah pendorong, pemberi semangat, sahabat baik, abang, pendengar setia dan penyelesai masalah dan kekusutan. Tiap kali kita tanyakan pendapatnya, jawapannya pasti,

Kita ada Allah. Tak percaya dengan Allah ke?”

 

Tiada Masalah Tanpa Penyelesaian

Itu pegangannya. Kerana Allah ada pada setiap masa. Dalam banyak ketika saya selalu cemburukan sikapnya yang sentiasa positif. Sedangkan saya sebaliknya, selalu risau dan banyak fikir tidak ketahuan hala.

Allah Maha Berkuasa, tanpa tanda, tanpa pesan, tanggal 23.11.2018, separuh jiwa saya dipanggil pulang kepada PenciptaNya. Luluh hati saya dipaksa menerima ketentuan perpisahan abadi yang bukan kemahuan saya dan anak- anak.

Kemalangan bas yang kami naiki untuk ke Kudat meragut nyawa suami, 3 rakan serta seorang anak rakan. Luluh hati mengenangkan saat saya hanya mampu memandang sekujur tubuh suami yang sudah tidak bernyawa.

Tambah pedih, bila mana saya terpaksa lepaskan jenazahnya dibawa pulang ke kampung halaman tanpa mampu saya temani.

Saya menangis semahu- mahunya menanda setiap detik perjalanan “pulang” jenazah hingga akhirnya selamat disemadikan.

Ramai tanyakan, kenapa saya kuat? Bagaimana saya boleh secekal itu menghadapi ujian getir yang tidak pernah saya bayangkan ini?

Saya bisikkan pada diri, “Apalah kudrat saya bilamana saya perlu berebut dengan Allah? Saya sayangkan beliau. Allah juga teramat sayang padanya. Maka, pastilah Allah lebih berhak mendapatkan kembali hambaNya yang disayangNya.”

 

Buang Jauh Emosi Negatif Kerana Ini Jalan Cerita Aturan Allah

Semoga itu juga mampu menjadi penguat semangat buat anak- anak yang ditinggalkan buat menemani saya hinggalah masa saya juga tiba untuk menyusul kepulangannya.

Sehingga tarikh ini, saya dan anak perempuan kami, Syahirah Nafeesa masih dirawat di Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu.

Saya telah selamat menjalani pembedahan memasukkan implan bagi menggantikan femur yang berkecai. Anak pula sedang melalui tahap prosedur terakhir rawatan iaitu prosedur “skin grafting” – menampal kulit baru di kawasan luka.

Sesekali timbul juga fikiran- fikiran jahat. Menerawang juga persoalan jahat seperti mengapa kami diuji sebegini? Kenapa seteruk ini kecederaan kami? Apa akan jadi pada masa depan kami? Namun, cepat saya sedarkan diri. Ini bukan jalan cerita ciptaan manusia. Ini jalan cerita aturan Allah. Allah letakkan kami dalam keadaan ini maka pastilah Allah juga sediakan penyelesaiannya.

Tugas saya hanya terus menanamkan rasa kuat dan redha pada diri saya sendiri dan anak- anak. Dan tugas saya juga untuk terus mempercayai Allah sebaik- baik perancang.

Ingatan Untuk Kita Yang Bergelar Insan

Dalam pada meneruskan rawatan di hospital, Puan Ezatul sebenarnya masih menulis di ruang facebooknya. Dan catatan ini turut dikongsikan untuk jadi pedoman pembaca Mingguan Wanita.

Semoga, beliau terus kuat dan bersemangat untuk menjalani kehidupan selepas ini.

Pasti dalam dunia pekerjaan, kita punya ramai kawan. Kawan lelaki, kawan perempuan, yang lebih berusia mahu pun pangkat adik- adik kita. Pasti juga ada yang kita mesra dan ada yang kawan begitu- begitu sahaja.

Seperkara yang perlu diingat dan dipasakkan dalam hati, dalam membina persahabatan dan memupuk “chemistry” di tempat kerja, jangan cuba- cuba bermain dengan api.

Pasti, di antara ramai- ramai yang baik dengan kita, ada yang mungkin nampak molek di mata, maka layanan kita kepadanya mungkin lebih mesra namun, ingat, jangan cuba- cuba menukar istilah teman tapi mesra itu menjadi kekasih gelap pula.

Andai kita seorang isteri, jujurlah dalam membina persahabatan dengan kawan- kawan. Jaga diri kita sendiri. Jangan nanti kita digelar lebih sudu dari kuah. Jangan cipta kontroversi lebih- lebih lagi yang berkait dengan hubungan lain jantina di tempat kerja. Jadilah pekerja yang memberi contoh baik kepada kawan- kawan bukan yang membawa budaya tidak sihat.

Andai kita seorang suami, hati dan kepercayaan isteri janganlah kita zalimi. Sampaikah hati kita mengkhianati tulusnya rasa percaya keluarga dan mencemarkannya dengan palitan perbuatan tidak jujur di belakang mereka.

Ingat, api semasa kecil memanglah kawan. Bila besar takut awak hangus terbakar nanti.

Sumber/Foto : Ezatul Marini Mohd Ghazali, 26 Disember 2018

IKLAN