Dalam dunia penuh spekulasi dan tumpuan media, pelakon dan penyanyi Bella Astillah memilih untuk kekal tenang. Meskipun timbul dakwaan yang mengatakan dirinya telah bertunang dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Bella enggan mengulas lanjut.
Menurut Bella atau nama sebenarnya, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, tiada apa yang boleh dikongsikan kerana ketika ini fokusnya adalah untuk membesarkan anak-anak.
“Astagfirullahalazim. Ketika ini fokus saya pada anak-anak dahulu. Kalau ada apa-apa, saya akan bagitahu nanti,” ujarnya ringkas namun tegas.
Bagi Bella, keutamaan kini bukanlah untuk menjawab spekulasi, tetapi memastikan anak-anaknya membesar dalam suasana yang stabil dan penuh kasih sayang. Pendiriannya mencerminkan kekuatan seorang wanita berdikari tidak mudah goyah dengan pandangan luar, dan sentiasa mendahulukan keluarga.
Senada dengan Bella, Syed Saddiq turut menyatakan mereka memilih untuk menjaga hal peribadi secara tertutup demi menjaga fokus dan tanggungjawab masing-masing.
“Perkara peribadi biar kekal begitu. Kita juga ada tanggungjawab masing-masing,”
katanya ketika ditemui di program Road Tour Skor A+ SPM 2025 anjuran PTTI di Shah Alam baru-baru ini.
Nama mereka berdua sebelum ini sering menjadi perhatian netizen kerana kerap berkongsi momen mesra di media sosial. Namun, sejauh mana hubungan itu kekal menjadi persoalan kerana tiada kenyataan rasmi yang dibuat.
Apa yang jelas, Bella hari ini tampil sebagai seorang ibu yang tabah dan matang. Dia tahu apa yang lebih penting dalam fasa hidupnya kini, membesarkan anak-anak dengan penuh kasih, menjaga kesejahteraan diri, dan meneruskan kerjaya seni dengan penuh komitmen.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE