
Bekas suami kepada pengacara dan personaliti popular, Raja Azura, iaitu Adzmin Osman, kini berdepan kemungkinan waran tangkap sekiranya terus gagal hadir ke mahkamah berhubung kes tuntutan tunggakan nafkah tiga anak mereka.
Menurut peguam syarie yang mewakili Raja Azura, Mohammad Amirul Hanizan, usaha menjejaki Adzmin sudah pun dipergiatkan termasuk menerbitkan iklan pencarian di sebuah akhbar pada 26 November lalu. Namun sehingga kini, defendan masih tidak memberikan sebarang respons.
“Hari ini saya sudah berjumpa Pendaftar Mahkamah dan menghantar laporan mengenai notis pencarian yang diterbitkan. Mahkamah berpuas hati dengan iklan tersebut.
Tarikh seterusnya ditetapkan pada 19 Januari depan untuk berjumpa hakim sebelum kebenaran melaksanakan saman penghutang penghakiman diberikan,” jelasnya.
Beliau menambah, prosiding tetap boleh diteruskan walaupun defendan tidak hadir.
“Jika defendan hadir, hakim akan meneliti dan menyiasat terlebih dahulu sebelum mengeluarkan perintah. Namun jika tidak hadir, mahkamah masih boleh membenarkan permohonan pemohon.”
Usaha menjejaki Adzmin diteruskan
Mengulas lanjut, Amirul berkata usaha mencari dan menjejaki Adzmin perlu diteruskan mengikut nasihat pengamal undang-undang dan arahan mahkamah.
“Sekiranya defendan gagal ditemui, langkah seterusnya mungkin termasuk permohonan waran tangkap. Namun proses pencarian tetap perlu dilaksanakan.”
Pada 10 September lalu, Raja Azura memfailkan permohonan pelaksanaan penghakiman bagi menuntut nafkah tiga anaknya yang didakwa tidak dibayar mengikut perintah mahkamah sejak 15 tahun mereka bercerai.
Raja Azura dan Adzmin yang juga merupakan anak kepada bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Osman Aroff mendirikan rumah tangga pada 2001 dan bercerai pada 28 September 2010. Pasangan ini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq Adzmin, 23, Megat Luqman Hakim Adzmin, 22 dan Puteri Mia Maizura Adzmin, 20.
Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE Mingguan Wanita untuk dapatkan info dan artikel-artikel terkini serta menarik.