Bayi Kembar Tiga: Al Khawla Kritikal, Bergantung Pada Ubat, Dipantau Rapi Di NICU, Mejar Mohd Fikry Amri Mohon Doa

Share

Selepas melalui kehilangan besar tahun lalu apabila anak sulung mereka, Muhammad Al Fateh Amri yang berusia lapan bulan meninggal dunia ketika berada di sebuah taska di Melaka, pasangan suami isteri ini sekali lagi diuji namun kali ini dengan rezeki yang amat bernilai, iaitu kelahiran bayi kembar tiga.

Bapa kepada bayi-bayi berkenaan, Mejar Ir. Ts. Mohd Fikry Amri Abdul Halim, 40, memaklumkan bahawa ketiga-tiga bayi perempuannya dilahirkan pada 24 Oktober lalu di Hospital Melaka, namun seorang daripadanya, Al Khawla, masih memerlukan rawatan rapi di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

Bayi Kembar Tiga Dirawat Di NICU Hospital Melaka

Menurut Mejar Mohd Fikry Amri, kelahiran bayi kembar tiga itu berlaku pada minggu ke-31 dan kesemuanya tergolong sebagai bayi pramatang. Ketiga-tiganya berkemungkinan menghadapi komplikasi dan memerlukan pemantauan rapi sehingga mencapai tempoh kematangan bayi normal.

Al Khawla Dipantau Rapi Di Unit NICU

Dua daripada bayi mereka kini berada dalam Wad Rawatan Khas Bayi (SCN) dan menunjukkan perkembangan positif. Namun, anak kedua mereka, Al Khawla, ditempatkan di NICU dan berada dalam keadaan kritikal serta memerlukan 24 jam pemantauan oleh doktor pakar.

“Saya dan isteri mohon kepada semua untuk mendoakan kesihatan serta kesejahteraan anak-anak triplet kami, khususnya Al Khawla, yang kini masih berada dalam wad NICU dan SCN di Hospital Melaka. Kami juga merayu agar pihak hospital melakukan prosedur yang sebaiknya dan elakkan sebarang kecuaian untuk memastikan mereka selamat,” katanya.

Mohd Fikry Amri (kiri sekali) dan isteri ketika menerima kunjungan Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan di kediaman pasangan itu di Taman Kelemak Utama, Alor Gajah. Foto FB Tentera Darat Malaysia

Pasrah dan Reda Dengan Ujian Allah

Mohd Fikry turut memaklumkan bahawa bayi-bayi pramatang tersebut dijangka akan terus dirawat sehingga usia kandungan mereka mencapai minggu ke-35. Beliau menegaskan bahawa mereka reda dan pasrah dengan segala ketentuan Ilahi.

“Walau apa pun yang berlaku kami pasrah dan reda dengan segala ujian. Segala perancangan ALLAH SWT adalah yang terbaik buat kami. Semoga triplet semuanya kembali sihat dan selamat dengan izin-Nya. Doakan kami terus kuat,” ujarnya penuh harapan.

Tragedi Kehilangan Anak Sulung Sebelum Ini

Terdahulu, kisah pasangan ini pernah mengundang simpati ramai apabila anak sulung mereka, Muhammad Al Fateh Amri, meninggal dunia dalam kejadian tragis pada 6 September 2024. Bayi itu didakwa dibedung, disumbat dengan botol susu, ditutup dengan kain dan mukanya ditekap menggunakan bantal oleh pengasuh wanita berusia 34 tahun.

Kejadian itu terbongkar selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan perbuatan pengasuh berkenaan sebelum dia ditahan polis dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Kisah bayi kembar tiga di Hospital Melaka ini bukan sahaja menyentuh hati masyarakat, tetapi juga menggambarkan ketabahan pasangan ini dalam menempuh kehilangan dan ujian berat dengan penuh keimanan dan kekuatan jiwa.

Sumber: Sinar Harian

Artikel berkaitan: Bayi Kembar Tiga, Mejar Mohd. Fikry Luah Kecewa Dakwa Berlaku Kecuaian Hospital, Anak Triplet Dimasukkan Semula Ke NICU

Mejar Mohd. Fikry & Isteri Mohon Doakan Tiga Puteri Kembar Doakan Kesihatan Anak-anak Triplet Kami Yang Masih Di NICU

 

Follow kami di TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK, TWITTER dan YOUTUBE

Published by
Has