Berita Sosial

Bayi Ditemui Dalam Tong Sanitari Di LTAPP, Wanita Tempatan & Lelaki Warga Asing Ditahan

Share

Bayi ditemui dalam tong sanitari di sebuah tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dalam keadaan masih bernyawa dan dipercayai baru dilahirkan.

Bayi lelaki itu masih mempunyai tali pusat dan uri ketika ditemukan oleh seorang pekerja pembersihan pada 31 Ogos lalu.

Baca artikel: Unik! 7 Lapisan Bersalin C-Section Diterjemah Dalam Gaun Couture Miss World Uganda

Bayi Ditemui Dalam Tong Sanitari Di Tandas LTAPP

Kes bayi ditemui dalam tong sanitari itu terbongkar selepas seorang pekerja pembersihan terdengar bunyi tangisan dari dalam bekas sanitari di tandas orang kurang upaya (OKU).

Bayi berkenaan kemudian dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

CCTV Bantu Polis Kesan Dua Individu

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Anuwal Ab Wahab berkata, hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membantu pihak polis mengenal pasti individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.

Seorang wanita tempatan berusia 22 tahun telah ditahan di Kompleks Bukit Jambul bagi membantu siasatan.

Siasatan lanjut turut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Myanmar berusia 23 tahun yang dipercayai bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Siasatan Kes Bayi Ditemui Dalam Tong Sanitari Masih Diteruskan

Lelaki terbabit turut didapati gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.

Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian dan beberapa sampel diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis.

Kes bayi ditemui dalam tong sanitari itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenal pasti pembabitan individu yang ditahan dan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi.

Raih Perhatian Netizen

Rakaman visual di lokasi kejadian mula tular di media sosial. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa sebak terhadap nasib bayi berkenaan, selain mengecam tindakan individu yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.

Ramai turut mempersoalkan bagaimana bayi yang masih bertali pusat itu boleh ditemui dalam keadaan sedemikian. Pada masa sama, orang ramai meluahkan rasa syukur kerana bayi ditemui dalam tong sanitari itu masih sempat diselamatkan dan kini menerima rawatan.

Namun begitu, pihak berkuasa masih menjalankan siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.

Baca juga artikel: 41 Tahun Jaga Anak OKU Seperti Bayi, Ibu Ini Tetap Cekal Meski Usia Semakin Lanjut

Sumber: Harian Metro

Published by
Farhana Syahirah