
Bayi berusia 6 bulan bergelar yatim piatu, ibu & ayah terkorban dalam kemalangan jalan raya. Pada usia yang belum sempat mengenal dunia, seorang bayi kecil kini memikul takdir paling pilu iaitu diuji dengan kehilangan kedua ibu bapanya dalam sekelip mata.
Ketika tangannya masih mencari pelukan ibu dan hatinya belum pun sempat mengenal suara ayah, takdir pula memilih untuk memisahkan mereka. Nur Laylaa Batrysha berusia 6 bulan akan menumpang kasih sayang ibu saudara dan orang sekelilingnya selepas kedua ibu bapanya, Muhamad Lokmanorhakim Mokhtar, 24, dan isteri, Nur Fatihah Othman, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala selepas kenderaan dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan tiga kenderaan di Kilometer (KM) 54.5 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, di sini, semalam.
Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman, berkata nahas kira-kira jam 1.30 tengah hari itu membabitkan Perodua Myvi dinaiki tiga beranak berkenaan, sebuah kereta jenis Toyota Vios dan lori.
“Kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi itu dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan berlanggar dengan sebuah lori kelapa sawit tanpa muatan.
Yusof berkata, nahas itu meragut nyawa pemandu serta penumpang hadapan Perodua Myvi terbabit.
Beliau berkata, penumpang belakang yang juga bayi perempuan duduk di kerusi keselamatan kanak-kanak dalam kereta itu pula cedera di kepala dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.
Bagaimanapun, pemandu lori berusia 47 tahun dilaporkan hanya cedera ringan, manakala lelaki berumur 46 tahun yang memandu Toyota Vios tidak cedera.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.