
Tular kisah seorang bayi 4 bulan meninggal di taska dalam keadaan tragis, bapa tidak maafkan individu yang bertanggungjawab jaga anaknya.
Bayi 4 Bulan Meninggal Di Taska Dalam Keadaan Tragis

“Saya ingatkan kematian biasa, rupanya anak saya meninggal dalam keadaan sangat tragis,” kata Mohd Syafaeez Mat Liki.
Mohd Syafaeez, 35, ialah bapa kepada Hayl Haarith bayi yang meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuh di sebuah Taska di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang, semalam.
Menurutnya, dia hanya mengetahui keadaan sebenar anak selepas melihat sendiri keadaan bayi berkenaan.
Dia yang berniaga santan segar di Kampung Kelulut, di sini, berkata kali terakhir bertemu anak sulungnya pada minggu lalu dan ketika itu bayi berkenaan berada dalam keadaan sihat.
”Saya tinggal di Marang, manakala isteri yang berasal dari Kuala Berang (Hulu Terengganu) bekerja sebagai jururawat di hospital itu sejak September tahun lalu.
“Bagaimanapun saya selalu membuat panggilan video dan semalam saya ada membuat panggilan video sebelum isteri meninggalkan dia (Hayl) kepada pengasuh kerana isteri bekerja syif malam.
”Bila terima berita pada awal pagi memberitahu anak meninggal, saya memang terkejut kerana ketika panggilan video, dia sihat dan ceria,” katanya.
Dimaklumkan Lemah Dan Sedang Tidur

Mohd Syafaeez berkata, isterinya, Ummu Habibah Wahab, 30, yang bekerja sebagai jururawat di hospital itu menerima panggilan memaklumkan keadaan bayi sebelum diberitahu anak mereka meninggal dunia.
Katanya, pada awalnya mereka dimaklumkan bayi lemah dan sedang tidur sebelum isterinya menerima panggilan jam 5.40 pagi memaklumkan anak mereka sudah meninggal dunia.
”Saya reda pada awalnya kerana ingatkan kematian biasa, tetapi tidak sangka anak saya meninggal dalam keadaan tragis dengan terdapat banyak kesan luka di badan dan kepala,” katanya.
Katanya, dia sepatutnya ke Pulau Pinang pada pagi ini bagi membeli kelengkapan Aidilfitri untuk isteri dan bayi.
Mohd Syafaeez berkata, terdapat beberapa kesan luka pada tubuh bayi itu termasuk di bahagian kepala selain kesan seperti hentakan objek tumpul.
”Selain luka pada badan, ada kesan di bahagian kepala seperti tisu terkoyak serta kesan di bahagian mata dan hidung,” katanya.
Bapa Tidak Maafkan Individu Yang Bertanggungjawab

Mohd Syafaeez Mat Liki, 35, seorang peniaga dari Terengganu, berkata kehilangan anak tunggalnya, Hayl Haarith Mohd Syafaeez, menyebabkan keluarganya amat terkesan dan masih mencari jawapan mengenai kejadian itu.
Beliau berkata, keluarganya tidak berniat untuk memaafkan individu yang bertanggungjawab.
“Tidak ada langsung kemaafan. Apa yang berlaku tidak boleh diterima. Ini bukan perbuatan manusia,” katanya lagi.
Siasatan awal membawa kepada penahanan dua wanita yang juga pekerja pusat jagaan kanak-kanak berkenaan.
Keluarga bayi berkenaan kini menuntut keadilan dan mendakwa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari pusat itu menunjukkan ada unsur penderaan.
Sumber: Berita Harian
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi,
MINGGUAN WANITA kini di
download sekarang!




