Benarlah seperti yang dijanjikan hidup berumah tangga rezeki akan datang melimpah ruah. Yang penting susah senang bersama dan saling membantu. Begitu jugalah yang diberitahu oleh anak seni yang mempunyai bakat serba boleh Muhammad Alif Mohd Satar atau lebih glamor dengan nama pentasnya Alif Satar, 27.
Sejak berusia 16 tahun, dia sudah berjinak dalam dunia seni. Namun selepas berkahwin dengan isteri kesayangan Sha Dila Halid, 33 dan kini merupakan bapa kepada dua orang puteri yang bernama Alisha Anugerah, 2 tahun 6 bulan dan Ariana Mecca yang kini berusia 10 bulan nama Alif semakin melonjak naik dan rezeki dalam kerjaya juga begitu murah.
“Semua ini rezeki daripada Allah, saya mula terlibat dalam dunia seni sejak berusia 16 tahun. Rasanya ramai wartawan hiburan yang kenal saya dari awal penglibatan. Malah saya pernah datang ke Karangkraf dengan berpakaian sekolah. Sebabnya memang wartawan mahu saya mengenakan uniform sekolah untuk sesi fotografi.
“Alhamdulillah saya percaya rezeki yang datang selepas berkahwin dan rezeki anak-anak. Semua ini berkat doa daripada mama dan ayah yang banyak beri sokongan dalam kerjaya seni ini. Dulu masa saya tidak ada kenderaan mama dan ayah yang akan hantar ke lokasi persembahan. Selepas saya berkahwin dan dapat anak-anak yang comel, Alisha dan Ariana saya bersyukur Allah beri saya rezeki lebih.
“Sebelum ini, masa di awal-awal karier saya pernah terfikir kenapa orang lain senang saja nak popular. Nasib saya tidak seperti mereka sedangkan saya pun boleh berlakon dan menyanyi. Rupa-rupanya Allah nak beri rezeki lewat sedikit dan saya peroleh selepas sudah berkeluarga.
“Walaupun lambat sedikit berada di puncak namun saya tidak pernah menyerah kalah dan bersungguh-sungguh dalam memberi komitmen terhadap kerjaya seni. Syukur dengan kerja kuat dan doa selama ini Allah makbulkan dan berikan yang terbaik buat kami sekeluarga,” terang Alif yang begitu gembira setiap kali menyentuh tentang keluarga kecilnya.
Ads
Alif Satar Cipta Masa Bersama Keluarga
Memandangkan jadual kerjanya yang begitu padat Alif terpaksa mencuri masa untuk bersama keluarga.
“Saya cuba seimbangkan masa antara kerja dan keluarga. Hujung tahun biasanya saya peruntukan masa berehat dan bersantai. Bila ada masa luang biasanya saya lebih suka duduk di rumah. Saya hanya akan duduk di dalam bilik saja sambil melayan karenah anak-anak. Saya beri ruang kepada anak-anak menonton video di telefon pintar dan menonton TV.
“Biasanya saya kalau bekerja tidak akan berhenti selama sembilan bulan. Cuma rehat dalam seminggu sehari atau dua hari saja. Jadi masa sehari dua itulah saya gunakan sebaiknya dengan menonton wayang dan kadang-kadang bawa keluarga saya ke rumah mama dan ayah. Bagi anak-anak rasa lebih seronok, saya akan bawa mereka pergi berkelah ke Tasik Titiwangsa atau makan piza di kolam renang berdekatan rumah.
“Kalau bercuti pun paling jauh saya akan bawa keluarga ke Sabah dan tahun ni saya rancang nak bawa mereka ke Pulau Pinang. Sebenarnya selepas berkahwin, saya dan isteri tidak pernah pergi bulan madu berdua. Kalau ke luar negara sebelum ini Shad sarat mengandung dan dia tidak larat nak melancong.
Ads
“Apabila sudah ada anak memang susah sikit nak melancong ke luar negara. Mungkin tunggu anak-anak dah besar sikit barulah senang nak bawa mereka berjalan-jalan,” luah Alif yang berasakan dirinya cukup bertuah kerana dalam usia yang muda dia sudah mempunyai dua orang anak. Alif juga berkongsi semasa isterinya dalam pantang, dia yang menyediakan masakan untuk isteri tercinta.
Pendekatan Pendidikan Yang Berbeza
Menyentuh tentang pendidikan pada anak-anak yang diterapkan, Alif menjelaskan dia dan isteri memiliki cara yang berbeza.
“Macam Shad suka anak-anak bermain dengan toys. Kalau saya pula beri pendedahan anak-anak dengan menonton TV atau gajet tapi saya mengawasi apa yang anak saya tonton. Bila anak-anak menonton TV atau filem kartun, mereka akan menari, hafal skrip dan belajar bahasa Inggeris.
Ads
“Saya ajar anak-anak bercakap dalam bahasa Inggeris kemudian bila mereka sudah besar dan bersekolah nanti mereka akan bercakap bahasa Melayu pula. Tentang sekolah pula, saya fikir mereka masih kecil dan biarlah mereka membesar mengikut usia mereka. Saya sedang fikir nak bagi kelas menari pada anak sulung sebab nampak dia cenderung pada tarian.
“Saya tidak paksa anak ke sekolah, saya mementingkan sosial dulu, kemahiran itu penting. Sekarang ini keadaan jauh berbeza, remaja berusia 16 tahun pun sudah pandai berniaga di Instagram. Jika satu hari nanti anak saya pilih kerjaya seni saya tidak kisah. Sebab mama dan ayah saya juga tidak kisah saya pilih seni walaupun mereka golongan yang terpelajar.
“Mama dan ayah tidak paksa saya masuk kolej. Mereka sokong bakat yang dimiliki anak mereka. Jadi saya pun nak buat perkara yang sama dengan apa yang dididik oleh mama dan ayah saya. Apa yang anak nak jadi saya sentiasa sokong tapi perlu disiplin,” akur Alif.
Pada sesi fotografi tersebut penulis juga sempat menemu bual Shad. Jelasnya walaupun penat namun dia berasa cukup puas dapat menjaga sendiri anak-anaknya.
“Saya menjaga sepenuh masa anak-anak, bila tengok orang jaga anak macam senang. Sebenarnya sangat sukar. Susah jaga anak, namun saya bersyukur kerana ada pembantu.
“Walaupun penat tapi puas hati sebab jaga sendiri. Dulu masa bekerja saya berasa risau dan tidak senang hati memikirkan anak-anak. Ibu berkerjaya mahupun suri rumah, penat sama saja. Saya bersyukur sebab dapat jaga anak-anak sepenuh masa,”ujar Shad.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 32, tidak sabar menimang cahaya mata bersama suaminya, Syamsul Yusof, 33 tahun. Bulan April 2017 adalah bulan yang amat ditunggu-tunggu kerana bayi pertama mereka bakal dilahirkan pada bulan tersebut.
Ibu yang tidak sabar menerima kehadiran bayi pertama memang jelas nyata di wajah Puteri Sarah Liyana sepanjang perbualan ini. Kegembiraannya turut dikongsi bersama dengan ibu mentuanya Datin Fatimah Ismail.
INILAH CARA MUDAH NAK ‘JERAT’ HATI IBU MENTUA
Berbalik kepada perhubungan antara Puteri Sarah Liyana dan ibu mentuanya, Datin Fatimah. Bagaimanakah hubungan antara menantu dan mentua ini?
“Sebelum kahwin Sarah akui diri ini memang takut dengan Datin. Siapalah kita jika dibandingkan dengan keluarga ternama ini. Selepas itu, masa mereka datang merisik, Sarah berbual dengan Datin. Daripada perbualan tersebut Sarah dapati Datin seorang yang bai
“Selepas itu Sarah selalu berurusan dengan Datin berkaitan dengan persediaan perkahwinan Sarah dan Syamsul. Sewaktu itu Sarah bekerja di butik di Taman Melawati. Sarah tidak sangka Datin memberikan layanan yang amat baik. Kadang-kadang dia akan menghantar makanan kepada Sarah. Sarah rasa amat terharu. Segan pun ada.
“Kemudian selepas berkahwin dengan Sarah, seminggu Syamsul duduk di rumah keluarga Sarah. Selepas itu Sarah berpindah untuk tinggal bersama Syamsul di rumah keluarganya. Datin memang layan baik.
“Alhamdulillah Sarah tidak seperti orang lain yang takut-takut dan bermasalah dengan ibu mentua. Memang Datuk dan Datin sangat baik. Alhamdulillah Sarah mendapat mentua yang baik.”
Berkaitan dengan menyesuaikan diri dalam keluarga ternama ini, Sarah mengakui pada mulanya dia agak segan dalam menyesuaikan diri. Tetapi selepas tinggal bersama barulah dia dapat menyesuaikan diri. Segan perlu ditolak tepi.
“Tinggal bersama mentua, Sarah banyak belajar perkara baru mengenai suami. Datin banyak ajar makanan kegemaran Syamsul. Dia suka makanan eksotik seperti otak lembu.
RESEPI TINGGAL SEBUMBUNG DENGAN MENTUA
Walaupun semua anak-anak Datuk Yusof tinggal bersama di banglo miliknya, duduk bersama dalam satu rumah tidak menghalang kebebasan kami untuk melakukan perkara yang biasa dilakukan setiap hari. Lagipun rumah ini besar. Kami ada tingkat masing-masing. Cuma bila hendak makan, kami perlu makan di ruang makan sama.”
KELUARGA MENTUA JADI IDOLA
Melihatkan hubungan pasangan terkenal di Malaysia ini, Puteri Sarah mengakui dia banyak belajar daripada mereka.
“Datuk Yusof Haslam dan Datin Fatimah memang pasangan yang saling cinta-menyintai. Malah Datuk dan Datin selalu tegaskan pada Syamsul agar sayangkan isteri. Sarah banyak belajar mengenai kasih sayang dan hubungan suami-isteri.
“Kami keluarga seni. Datuk dan Datin selalu berpesan pada Sarah agar sabar dan faham dengan kerjaya Syamsul. Nasib baik Sarah dalam bidang yang sama dan faham dengan apa yang Syamsul lakukan. Bagi Sarah, sikap saling mempercayai itu amat penting.”
SOAL BISNES TETAP JALAN
Apabila ditanya mengenai bisnes butiknya, Puteri Sarah menjelaskan bahawa dia mungkin akan lebih fokus dalam membesarkan anak selepas melahirkan bayinya ini.
“Sarah tidak mahu kelam-kabut. Tetapi bisnes tetap diteruskan. Cuma Sarah akan tukarkan bisnes ini kepada berjual di dalam laman web. Buat masa sekarang, Shara Islamic Fashion House masih ada lagi di Bangsar. Setelah kontrak sewa kedai ini tamat, mungkin Sarah akan cari kedai kecil untuk meneruskan bisnes ini.”
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Ketika sesi fotografi muka hadapan ini diadakan, Serina Prof. Datuk Haji Redzuawan Ismail, atau mesra dipanggil Serina Redzuawan, sedang dalam proses mendapatkan hak jagaan anak-anak. Daripada percakapan dan tingkah lakunya, dapat diertikan bahawa dia seorang wanita tabah yang tidak mudah terbuai oleh masalah yang dihadapinya. Sesi fotografi bersama dua buah hatinya yang comel, Tristan Tareef, 6, dan Isabella Saffiya, 5, berlangsung lancar. Mereka berdualah penyejuk dan penguat semangat artis yang pernah bergelar isteri kepada Gavin Edward O’Luanaigh atau nama Islamnya, Salahudin Ghafar.
Wajahnya yang ceria tidak langsung menggambarkan kesedihan yang sedang bersarang di hatinya. Siapa menduga, di sebalik senyuman dan tawanya, wanita cantik itu sedang diuji dengan kisah rumah tangga yang musnah di tengah jalan.
Semua itu adalah rencah kehidupan bagi ibu muda yang sedang ligat membina empayar perniagaan makanan dan beberapa cabang perniagaan lain. Bagi Serina, dia tidak mahu hidup terus menerus dalam kesedihan. ‘Life must move on’. Dia tidak mahu perceraian itu titik noktah dalam kehidupan dirinya.
Haluan Masing-Masing
Ternyata, perkahwinan yang dibina pada 1 Januari 2010 tidak dapat diselamatkan lagi, dan akhirnya mereka membawa haluan masing-masing. Mereka bercerai secara baik dan bagi Serina, dia mahu masyarakat faham penceraian itu berlaku kerana perkahwinan mereka tidak ada persefahaman lagi.
“Takdir Allah SWT tidak boleh dibaca. Ia mungkin menjadi satu titik permulaan untuk sesuatu yang lebih baik kelak. Saya yakin apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Saya harus kuat demi anak-anak, saya tidak mahu tunjuk kesedihan. Saya akan lakukan sesuatu untuk lupakan kesedihan. Saya banyak mendapatkan nasihat daripada papa kerana nasihat papa memberikan kebaikan buat diri saya. Saya kehilangan suami tapi sekurang-kurangnya saya masih ada papa dan anak-anak sebagai sumber kekuatan.” Ujar Serina dengan tenang, memulakan bicara.
Menurut Serina lagi, bukan mudah ketika dia hendak berterus terang dengan papa tersayang.
Reaksi Chef Wan
“Semasa mula-mula hendak sampaikan kepada papa yang saya hendak bercerai, sebenarnya detik itu bukan mudah. Ini kerana saya tidak pernah berkongsi kisah rumah tangga kepadanya lebih-lebih lagi untuk tunjuk yang saya sedang ada masalah. Maklumlah, tiada siapa yang hendak mahligai yang dibina atas dasar cinta roboh. Begitu juga saya yang sudah mencuba untuk menyelamatkan rumah tangga namun menemui jalan buntu. Akhirnya saya terpaksa merujuk kepada papa untuk mendapatkan nasihat yang terbaik untuk diri saya.
“Ekspresi pertama papa, semestinya dia marah sebab saya tidak pernah memberitahunya perihal masalah yang saya hadapi selama ini. Tapi cukuplah saya katakan bahawa, perceraian saya dan bekas suami kerana tiada persefahaman lagi. Bukan kerana orang ketiga dan sebagainya. Ketika itu, papa kata, dia tak mahu masuk campur dan tak mahu hukum siapa salah, siapa betul. Ini masa depan saya dan paling penting kebahagiaan saya. Papa hendak lihat saya bahagia. Kalau tidak bahagia, tiada gunanya bertahan. Paling penting tanggungjawab terhadap anak-anak jangan diabaikan. Alhamdulillah saya kuat dan perlu segera move on.
“Apa pun sebagai anak, saya sangat terharu dan bangga dengan papa kerana berani mempertahankan maruah anaknya. Saya tidak pernah kesal dengan apa yang berlaku kerana yakin Allah SWT akan memberikan yang lebih baik buat saya,” ungkap Serina yang bergilir-gilir menjaga anaknya bersama bekas suami. Serina tidak mahu anak-anak menjadi mangsa hanya kerana dia dan bekas suami sudah bercerai. Dalam hal ini, Serina sangat tegas dalam ada pendapatnya yang tersendiri.
Keputusan sudah diambil dann dipersetujui oleh kedua pihak dan masing-masing tidak mahu perpisahan mereka mengganggu emosi anak-anak. Mereka sepakat mencari jalan damai dan bersama-sama membesarkan anak-anak sebagai memenuhi tanggungjawab dan amanah Allah SWT.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Personaliti yang menghiasi kulit muka depan kali ini, kedua-duanya mempunyai kredibiliti dalam bidang seni. Jika di awal kemunculan, Mizz Nina, 39, terkenal sebagai penyanyi lagu R&B dan ‘dance pop versatile’ manakala Diana Amir pula merupakan heroin filem dan drama yang punya identiti tersendiri. Namun, hidayah itu milik Allah, hamba yang terpilih akan memilikinya.
Kini, kedua-dua wanita ini melalui penghijrahan dan perubahan dalam kehidupan. Bukan sekadar berubah dengan penampilan berhijab dan berpakaian longgar menutup aurat, malah, dua selebriti cantik manis ini kini lebih dikenali dengan kerja-kerja amal yang mereka lakukan.
Mizz Nina Fokus Misi Kemanusiaan
Isteri kepada Noh Salleh ini, sememangnya dikagumi ramai wanita. Selepas sahaja melakukan perubahan besar dalam hidup pada tahun 2013, dia tidak berhasrat untuk kembali kepada bidang muzik. Malah wanita penuh elegen ini lebih cenderung berkongsi luahan perasaan menerusi penulisan di laman sosial, merancang untuk menerbitkan buku dan aktif dengan kerja amal.
“Saya sangat bersyukur kerana menerima hidayah Allah pada usia 33 tahun. Pada saya keputusan yang paling sukar dilakukan dalam hidup adalah mengenakan hijab. Selepas menunaikan fardu haji saya terus istiqamah untuk mengenakan tudung. Jika sebelum itu saya memang susah nak pakai tudung.
“Permulaan nak berhijrah saya tak peduli apa cakap orang. Saya buat semuanya dengan ikhlas. Malah untuk terus teguh dengan keputusan ini saya kena kuat semangat. Bantuan suami juga sangat penting. Saya bertuah kerana memiliki suami yang sangat menyokong perubahan saya ini,” luah Mizz Nina yang turut menyatakan walaupun sudah berhijab tiada halangan untuk dia terus berfesyen stailo ala Muslimah.
Rezeki Bergelar Hajah
Mizz Nina juga akui dia berasa sangat bersyukur dalam usia yang muda dia sudah bergelar hajah dan kemudian diberi petunjuk Allah untuk dia terus berubah;
“Alhamdulillah rezeki saya dapat mengerjakan haji pada 2013 bersama suami banyak membantu untuk saya berubah ke arah kebaikan.
“Jika anda berpeluang mengerjakan umrah dan haji pada usia muda pergilah. Ini kerana bukan semua orang terpilih dan mendapat peluang ini. Saya sendiri sentiasa merindui untuk dijemput ke Mekah setiap masa bagi mengerjakan umrah. Selain itu saya mengharapkan agar diberi peluang dan kesempatan melakukan haji buat kali kedua, jika ada rezeki,” ungkap Miss Nina yang sememangnya seorang yang cukup peramah.
Suami Beri Semangat
Diaju soalan tentang misi-misi amal yang sering dilakukan, Mizz Nina akui berasa sangat seronok apabila dapat menghulurkan bantuan kepada saudara Islam yang memerlukan. Malah peminat juga begitu memuji sikapnya yang prihatin pada misi kemanusiaan dengan kesanggupan menyertai penghantaran bantuan ke Jordan, Turki, Syria, Lubnan dan Palestin.
“Sebelum saya sertai misi tersebut sebenarnya Noh terlebih dahulu telah pergi ke negara-negara bergolak. Suami juga merupakan pemangkin untuk saya lebih bersemangat, berani dan cekal.
“Hati saya cukup tersentuh bila melihat penderitaan kanak-kanak serta remaja. Saya perlukan semangat yang kuat ketika itu. Malah pernah melawat hospital untuk misi penghantaran ubat-ubatan,” kata Mizz Nina yang ikhlas melakukan misi sebegini. Bukan itu saja malah Mizz Nina juga aktif melakukan misi amal di Malaysia dengan memberi bantuan kepada gelandangan.
Reda Dengan Ketentuan Allah
Berkongsi tentang kisah kehidupannya bersama suami Noh Salleh, Mizz Nina bersyukur kerana memiliki suami yang cukup memahami. Memandangkan dia dan suami mempunyai kerjaya tersendiri, sebagai isteri, Mizz Nina akan pastikan dia dan suami akan punya masa untuk solat bersama.
“Sesibuk manapun kami, paling penting saya akan pastikan solat berjemaah dan suami akan jadi imam. Selain itu dalam beberapa bulan sekali, kami akan pastikan ada masa luang untuk kami bercuti bersama,” kata Mizz Nina.
Menyentuh tentang zuriat Mizz Nina kini tidak lagi berkecil hati. Malah dia menerima dengan reda apa yang ditentukan oleh Yang Maha Esa.
“Saya dan suami reda dengan apa yang Allah tentukan untuk kami. Namun begitu kami tidak pernah putus asa dalam menimang cahaya mata.
“Sebelum ini saya pernah berkongsi di Instagram kisah saya pernah menjalani proses kaedah in-vitro (IVF). Saya faham pada masa ini ramai yang susah dapat zuriat dan perkongsian saya ini agar mereka yang mengalami masalah yang sama agar tidak mudah putus asa. Jangan putus doa dan teruslah berdoa yang terbaik kepada Allah.
“Saya pernah menjalani rawatan IVF namun belum ada rezeki kami. Pada saya kalau kita tidak punya anak, tidak berkahwin dan sebagainya tidak bermakna kita tidak bahagia. Kita harus bersyukur dengan apa yang kita ada dan boleh mencari bahagia dengan cara lain yang memfokus kepada akhirat. Apabila masih tidak ada anak, saya dapat memberi fokus kepada misi-misi amal dan majlis ilmu,” sambung Mizz Nina.
“Pengorbanan Terbesar Adalah Melawan Nafsu.” – Diana Amir
Sesungguhnya kita hanyalah manusia biasa dan sering kali melakukan kesilapan. Tetapi ia bukanlah alasan untuk kita terus-menerus melakukan dosa, sebaliknya sebagai hamba-Nya yang bertakwa, kita mencari solusi terbaik untuk kembali ke jalan yang diredainya.
Sesungguhnya bagi figura jelita ini, biar pun kini berpenampilan sopan, berpakaian longgar dan bertudung labuh, jujur Nurdiyana Amir Hashim atau Diana Amir katakan, hatinya kadang kala masih berbolak balik. Sememangnya bukan mudah untuk berada di tahap ini tanpa sokongan orang sekeliling terutamanya suami, keluarga dan teman rapat.
Baginya jika bertanya erti pengorbanan, ia adalah berkait dengan dirinya untuk melawan nafsu dan keseronokan. Bukan mudah, tetapi dia berusaha keras untuk melakukan perubahan yang lebih baik dan pasti ada hikmahnya kenapa dia memilih untuk berhijab.
“Setiap kali hati rasa tak tenteram atau berbolak-balik, saya akan kembali kepada Allah. Malahan di peringkat awal saya berhijab, ketika itu saya baru berusia 25 tahun. Jujur saya katakan ianya bukan sesuatu yang mudah seperti disangka. Tetapi setiap kali itu juga saya fikir inilah jalan terbaik iaitu mencari keredaan Allah, dari situlah saya terus kekal istiqamah hingga ke saat ini.
“Itulah pengorbanan terbesar yang telah saya lakukan. Pengorbanan sebagai seorang isteri dan ibu itu terlalu biasa dan orang lain juga laluinya. Tetapi melawan nafsu adalah perkara yang berat untuk setiap dari kita hadapinya,” ungkap Diana Amir memulakan bicara.
Tambah ibu kepada Khaulah Al Azwar, 4 tahun, Khadija Azzehra, 2 tahun dan Muhammad Khalid Al Habib, 8 bulan, sebenarnya mengenakan hijab bukanlah disebabkan dek hasutan atau pengaruh teman-teman, sebaliknya dia lakukan penghijrahan ini adalah kerana Allah SWT.
Jejak Kaki ke Tanah Suci
Wanita kelahiran Birmingham, England ini turut berkongsi keterujaannya ketika menunaikan umrah buat julung kalinya pada tahun 2012. Bayangkan hampir tujuh tahun berlalu, tetapi perasaan rindu untuk ke sana tetap sama dan makin bercambah setiap tahun.
Kala itu Diana masih baru berhijab dan secara tiba-tiba mendapat pelawaan daripada rakan artis, walaupun ketika itu tiada wang yang cukup kerana tiada tawaran berlakon tetapi Alhamdulillah, Allah memudahkan urusan Diana ke sana. Segalanya berlaku dengan bantuan dan izin Allah SWT.
Tambah Diana, setiap tahun dia berniat untuk ke sana lagi, namun ada sahaja aral yang menghalang dan akhirnya suaminya, Mohd Habibbullah A Rahman yang mendahuluinya ke sana. Setiap kali itu juga suaminya memujuk agar dia terus reda.
“Saya tunaikan umrah buat pertama kalinya pada tahun 2012. Kawan-kawan yang ajak untuk ke tanah suci. Tidak dinafikan pada awalnya saya memang gentar untuk ke sana apabila fikirkan siapalah saya suatu ketika dan hingga ke saat ini masih belum sempurna, tetapi hati melonjak sangat mahu ke tanah suci.
“Saya beranikan diri walaupun tiada wang yang mencukupi. Akhirnya setelah berikhtiar, saya selamat ke sana. Perasaan saya ketika itu sukar untuk diungkapkan kerana perasaan itu sangat luar biasa. Saya nampak banyak kebaikan di depan mata kerana semua orang ke sana untuk beribadah.
“Perasaan rasa bersalah dan berat hati jika Allah tidak maafkan dosa-dosa saya juga semakin pudar apabila saya menjejakkan kaki ke tanah suci. Saya berasa tenang dan semakin tekad untuk berubah serta berbuat kebaikan. Momen yang sudah tentu yang tidak akan saya lupakan adalah ketika saya dapat mencium Hajarul Aswad.
“Walaupun ketika melakukan tawaf saya tidak terdetik untuk menciumnya tetapi tiba masanya Allah gerakkan hati saya mencium Hajarul Aswad dan Allah mudahkan urusan saya. Ketika mencium Hajarul Aswad saya rasakan seolah-olah segala bebanan dosa di bahu saya telah dilepaskan. Terasa Allah telah ampunkan segala dosa-dosa yang saya lakukan selama ini,” ungkap Diana sebak mengenangkan detik pertama kali menunaikan umrah.
Biar pun niatnya untuk ke tanah suci lagi masih belum kesampaian, tetapi Diana tetap reda. Ibu beranak tiga ini percaya bahawa aturan Allah adalah yang terbaik, mungkin buat masa sekarang anak-anaknya yang masih kecil memerlukan perhatian yang lebih darinya. Barangkali jika ada rezeki, mungkin dia dapat menunaikan umrah bersama anak-anak, insya-Allah.
Penglibatan Dalam NGO
Biar pun agak sepi dari dunia lakonan, namun menurut selebriti ini dia masih rindukan bidang lakonan. Biar pun masa ini kehidupannya lebih terarah kepada membesarkan tiga permata hatinya namun dia masih berharap agar ada tawaran yang sesuai dengan penampilan dan statusnya sebagai seorang isteri dan ibu.
Dalam masa yang sama, tidak ketinggalan Diana turut aktif dalam aktiviti NGO dan dirinya turut dilantik sebagai ikon bagi beberapa pertubuhan antaranya Islamic Relief, Muslim Volunteer Malasyia dan Yayasan Islamiah Malaysia. Menerusi program di bawah anjuran Islamic Relief, Diana pernah mengikut misi ke Bosnia dan selebihnya program di dalam negara.
Ternyata pengalaman ke Bosnia banyak mengajar Diana erti bersyukur dan berkongsi suka-duka masyarakat di sana. Selain itu Diana turut berkongsi pengalaman apabila menyambut hari raya Aidiladha di tempat orang.
“Pengalaman ke Acheh ketika mengandungkan anak sulung adalah memori yang tidak pernah saya lupakan. Kami suami, isteri menyambut Aidiladha di perkampungan Rohingya di sana pada tahun tersebut.
“Rasa lega apabila dapat berkongsi kegembiraan dan melakukan ibadat korban di sana. Sambutan mereka juga tidak jauh bezanya, lebih kurang seperti di negara kita. Bezanya kita menyambutnya di negara orang,” ujarnya lagi.
Banyak lagi cerita menarik yang dikongsikan oleh Abby Abadi dan anaknya Marissa Dania, baca sambungannya didalam edisi terbaru Majalah Mingguan Wanita isu Ogos, volume 1 yang kini telah berada di pasaran.
Penyelaras & Teks: Norhayati Suboh & Nur Syazwani Mehat Foto: Tm Azman Jurusolek: Kelrina (Mizz Nina) & Bee Ramza (Diana Amir) Penata Rias Imej: Zura Ahmad (Mizz Nina) & Amir A. MrStailista Ent (Diana Amir)
Pakaian Mizz Nina: Jaket Oren & Vest Geometri(Syomirizwa), Hijab (Ameerazaini), Seluar & Kasut (Koleksi Peribadi Mizz Nina), Inner Cap Hitam (Blancheur), Jaket Flora Hitam & Kimono (Thread)
Pakaian Diana Amir: Hijab (Ameerazaini Official (@Ameerazainiofficial) & Ariani Luxe (@Arianiluxe), Kemeja Bercorak (Rohs Malaysia (@Rohsmalaysia) & Set Suit – Sfera Malaysia (@Sferamalaysia), Kemeja & Baju & Cardigan Dan Seluar (Blancheur (@Blancheur_Co) Dan Rohs Malaysia (@Rohsmalaysia)
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga jatuh asrama kritikal, ibu rayu doa orang ramai anak kembali pulih. Tiada yang lebih menyakitkan daripada melihat darah daging sendiri terbaring...