
Azza Elite
Elak dari awal daripada berlaku sebaliknya, pelakon dan penyanyi, Azza Elite, membuat keputusan untuk tidak hadir ke rumah terbuka sebagai langkah menjaga keselesaan serta kesejahteraan anak istimewanya, Muhammad Adam, 8, yang menghidap Aatisme.
Azza yang berusia 49 tahun tahun ini berkata, bukan kerana tidak mahu bergaul, sebaliknya bimbang kehadirannya bersama anak boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada tuan rumah atau tetamu lain.
“Jika jemputan rumah terbuka dibuat di dalam rumah, saya mohon maaf kerana tidak dapat hadir. Saya risau kehadiran saya dan Adam akan menimbulkan suasana tidak selesa.
“Adam autisme, mungkin dia akan usik barang atau permainan. Jadi saya ambil keputusan untuk tidak hadir,” tulisnya di Threads.
Namun pemilik nama Noor Azzarima Zawari itu tidak menolak untuk menghadiri majlis yang diadakan di kawasan terbuka atau menggunakan khemah.
“Kalau ada khemah, tidak mengapa sebab saya tahu Adam boleh berkelakuan baik. Tapi dia tetap kanak-kanak, tambahan pula autisme.
“Kalau nampak permainan, dia mungkin akan ambil. Jadi lebih baik saya elakkan hadir,” katanya.
Menurut Azza lagi, dia sentiasa memberi perhatian penuh terhadap anaknya walau di mana berada kerana tidak mahu sebarang perkara tidak diingini berlaku.
“Saya memang sangat berjaga-jaga. Kalau dengan anak, perhatian saya hanya pada dia sahaja walaupun saya berada di tempat ramai,” katanya.
Azza turut berkongsi pengalaman menyedihkan apabila anaknya pernah dipinggirkan serta berdepan situasi kurang menyenangkan.
“Saya pernah lihat ada orang merampas mainan daripada anak saya. Ada juga kanak-kanak yang tidak mahu berkawan dengannya kerana dia autisme.
“Sebagai ibu, saya sedih melihat keadaan itu,” katanya.
Tambah Azza, dia tidak sanggup jika ada pihak yang bercakap perkara tidak baik mengenai anaknya, justeru memilih untuk lebih berhati-hati dalam setiap keadaan.
“Mainan kereta jangan cakaplah, di rumah memang banyak. Tapi itu bukan soal utama.
“Sebagai ibu, saya hanya mahu melindungi anak saya sebaik mungkin,”
katanya.Bagi mak ayah yang mempunyai anak autisme akan faham situasi ini, kenapa mak-mak memilih untuk tidak sertai rumah terbuka. Bukan tidak sudi tetapi lebih baik mengelakkan dari awal sebelum berlaku perkara yang tidak diingini.
Apa pun, jika ada rakan terdekat mempunyai anak autisme, anda boleh hormati dan tidak memaksa ibu bapa untuk sertai sama.
Gambar: Azza Elite