
Pengalaman puasa di New York bukan sesuatu yang mudah, namun bagi Azura, wanita Malaysia berasal dari Kedah, ia menjadi perjalanan penuh makna yang mengajar erti kesabaran dan penghargaan terhadap keluarga.
Menetap di Queens, New York sejak 2022, Azura yang kini berusia 46 tahun mengikuti suami yang bekerja dalam sektor perbankan. Sebagai suri rumah, kehidupannya banyak tertumpu kepada keluarga dan membesarkan anak-anak dalam suasana budaya yang jauh berbeza dari Malaysia.
Menurut Azura, pengalaman puasa di New York sangat berbeza berbanding di tanah air. Tiada bazar Ramadan seperti di Malaysia, menjadikan semua persiapan makanan perlu dilakukan sendiri di rumah. Walaupun makanan halal mudah didapati, kebanyakannya adalah dari restoran Pakistan, India atau Thailand, dan bukan masakan Malaysia yang dirindui.
Baca juga: Ramai Tak Tahu Algeria Guna Bahasa Perancis, Pelajar Malaysia Ini Kongsi Cabaran Sambut Raya Di Sana
Baca ini sekali: Wanita Malaysia di Dubai Kongsi Detik Cemas, Terpaksa Pulang Awal Demi Keselamatan
“Kalau teringin nak makan char kuey teow atau kuih tradisional, memang kena usaha lebih. Kadang-kadang kami beli dari acara komuniti atau konsulat Malaysia,” kongsinya.
Cabaran puasa di New York juga turut melibatkan tempoh berpuasa yang lebih panjang, terutamanya ketika musim tertentu. Waktu berbuka boleh mencecah hampir jam 9 malam, manakala waktu imsak seawal 3:30 pagi. Perubahan waktu ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada rutin harian, terutama bagi wanita Malaysia di luar negara yang perlu mengurus keluarga.
Namun begitu, Azura tetap memastikan suasana Ramadan dihidupkan dalam keluarga. Anak-anak diajar tentang budaya Malaysia, termasuk mengaji, memahami kepentingan puasa dan menghargai tradisi.
Apabila menjelang Syawal, suasana raya di New York juga jauh berbeza. Tiada kemeriahan seperti di Malaysia, dan kebanyakan persiapan bergantung kepada kreativiti sendiri. Kadang-kadang keluarga di Malaysia akan menghantar kuih raya atau pakaian melalui pos untuk mengubat rindu.
Walaupun sederhana, Azura tetap berusaha menyediakan juadah seperti ketupat dan rendang.
“Kalau tak ada daun, kita improvise saja. Yang penting rasa dan suasana,” katanya.
Komuniti Melayu di New York menjadi penyelamat kepada rasa rindu. Aktiviti bersama seperti solat raya di pejabat konsulat atau majlis kecil-kecilan membantu mengeratkan hubungan sesama rakyat Malaysia. Malah, ada juga yang menggunakan video azan dari YouTube sebagai penanda waktu berbuka kerana tiada azan di tempat awam.
Di sebalik cabaran kehidupan di bandar besar seperti New York, termasuk isu kebersihan pengangkutan awam dan persekitaran sosial yang berbeza, Azura mengakui pengalaman ini mematangkan dirinya sebagai seorang wanita.
“Dulu memang rasa sedih, especially tahun pertama. Tapi lama-lama kita belajar hargai setiap momen, terutama bila jauh dari keluarga,” luahnya.
Bagi Azura, pengalaman puasa di New York dan menyambut raya di New York sebenarnya memberi perspektif baru tentang kehidupan. Ia bukan sekadar tentang kekurangan, tetapi tentang bagaimana seseorang wanita Malaysia di luar negara membina kekuatan dalaman.
Sebagai nasihat kepada wanita yang ingin berhijrah, Azura menekankan kepentingan kekuatan mental dan hubungan dengan keluarga.
“Sentiasa keep in touch dengan keluarga. Dan kalau pandai memasak, memang sangat membantu untuk hidupkan suasana Malaysia di sini,” katanya.
Jelas Azura, kehidupan di perantauan bukan mudah, tetapi dengan sokongan komuniti dan usaha sendiri, setiap cabaran mampu ditukar menjadi kenangan yang bermakna.
Artikel lain: Puasa di Norway: Pelajar Malaysia Luah Rasa Sunyi 2 Tahun Ramadan & Syawal Tanpa Keluarga
Baca artikel ini pula: Ramadan Di New Zealand: Kisah Menyentuh Hati Kak Tad Rindu Bazar Ramadan Di Perantauan
Temubual ini adalah eksklusif untuk Mingguan Wanita. Sebarang penggunaan semula kandungan tanpa kebenaran adalah melanggar hak cipta dan tindakan sewajarnya boleh diambil.