Baik dewasa mahupun kanak-kanak mereka tetap perlu mengunyah semasa makan. Tetapi ada di kalangan anak-anak malah orang dewasa yang tidak mengunyah dengan betul. Apakah risiko yang akan dialami oleh kanak-kanak yang tidak mengunyah dengan betul? Adakah ia akan mempengaruhi pertuturan mahupun sistem penghadamannya?
Hakikatnya, umur dan peningkatan dalam saiz badan adalah antara faktor-faktor berkaitan dengan keupayaan mengunyah yang utama untuk kanak-kanak. Ia juga bergantung kepada kematangan gigi. Berdasarkan penyelidikan yang dijalankan, menunjukkan orang biasa mengunyah setiap gigitan makanan mereka antara 14 hingga 20 kali sebelum menelan.
Yang mana, mengunyah merangsang pengeluaran air liur yang mengandungi enzim alfa-amilase dan membantu penghadaman seluruh makanan yang diambil. Tindakan enzim amylase berakhir apabila makanan dicerna memasuki usus kecil.
Semasa seseorang mengambil makanan, usus kecil mempunyai keupayaan mengeluarkan hormon (neurotransmitter) yang akan dibawa melalui darah kepada pusat mengesan “rasa kenyang dan penuh” di otak. Ini mengambil masa lebih kurang 20 minit untuk berlaku. Sebab itulah, mengunyah makanan secara perlahan membantu mengelak makan berlebihan.
Kebanyakan kanak-kanak yang telah melepasi peringkat umur di mana makanan yang disediakan selembut dan sehancur yang boleh. Mereka juga mempunyai gigi yang baik, berkeupayaan untuk mengunyah dengan baik. Yang penting ialah mereka diberi makanan yang seimbang.
Dr. Aishah Tul Radziah L Hussin
RISIKO TIDAK MENGUNYAH DENGAN BETUL
Mengunyah makanan waktu makan dengan betul dan tidak tergesa-gesa adalah amalan yang sihat. Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan:
1. Penghazaman makanan tidak berlaku dengan sempurna.
Ads
2. Mereka (remaja dan dewasa) yang makan secara gelojoh dan tidak mengunyah makanan dengan sempurna mempunyai risiko mendapat penyakit kencing manis jenis II. Kanak-kanak yang terbiasa dengan tabiat ini akan mendapati sukar untuk berubah dan berpotensi mendapat penyakit kencing manis jenis II (semasa dewasa).
3. Makan dengan cepat atau tidak mengunyah menggalakkan pertambahan berat badan (berat berlebihan atau obes) yang boleh mencetuskan penyakit ini.
4. Orang yang makan cepat juga makan lebih banyak, dan akibatnya lebih cenderung untuk menjadi gemuk. Ini adalah kerana sistem penghadaman mereka tidak mempunyai peluang untuk menghantar isyarat ke otak bahawa ia sudah penuh atau kenyang.
Ads
6 Sebab Anak Lebih Suka Menelan, Dari Mengunyah
Kanak-kanak dilihat lebih gemar menelan daripada mengunyah dengan betul makanan mereka kerana..
1. Tabiat
Ibu bapa mesti selalu aktif menunjukkan cara makan, termasuk mengunyah makanan dengan betul untuk diikuti oleh anak anak.
2. Kehadiran alat pendakap gigi
Apa yang di makan secara langsung mempunyai kesan kepada kesihatan, termasuk kesihatan gigi dan gusi. Di sebaliknya, alat pendakap gigi (dental braces) atau gigi yang bermasalah boleh memberi kesan kepada makanan yang diambil.
Jikalau alat pendakap gigi menjadi punca anak tidak mengunyah makanan dengan baik, Ibu bapa perlu mengubahsuai bentuk makanan supaya ianya lebih mudah untuk dikunyah dan ditelan
Ads
3. Tidak berupaya untuk mengunyah
Tidak berupaya untuk mengunyah boleh disebabkan oleh kehilangan gigi, penyakit gusi dan kerosakan gigi. Kanak-kanak yang mempunyai masalah ini perlu dibawa berjumpa doktor gigi untuk dirawat.
4. Mulut atau tekak kering
Mulut kering boleh menjadi tanda penyakit-penyakit tertentu atau boleh disebabkan oleh ubat-ubatan tertentu atau kesan sampingan rawatan perubatan.
Keadaan ini boleh dikurangkan dengan banyak minum air, mengulum gula-gula untuk merangsang lebih banyak liur dihasilkan oleh kelenjar air liur dan mengelakkan makanan pedas atau masin jika ia menyebabkan sakit di dalam mulut.
5. Ulser aphthous, luka-luka di mulut, biasanya pada pangkal gusi, di bibir dan dinding dalam mulut
Ibu bapa perlu mendapatkan rawatan doktor dengan segera untuk mengatasi masalah pada penyakit yang dialami anak-anak.
6. Gigi geraham rosak atau sakit.
Rawat kerosakan gigi anak dengan membawanya ke klinik pergigian bagi mengatasi masalah gigi geraham rosak atau sakit.
OLEH: PENGARAH DR AISHAH SOLUTION SDN BHD, DR AISHAH TUL RADZIAH L HUSSIN, MBBS UNIVERSTI MALAYA
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Lagi beberapa hari keputusan peperiksaan UPSR akan diumumkan. Sebelum ini, anak-anak yang menduduki peperiksaan SPRA pun sudah diketahui permarkahan mereka.
Ada anak-anak yang cemerlang keputusan peperiksaannya, ada anak sebaliknya yang dapat. Masing-masing bergantung pada rezeki mereka.
Dalam pada menerima keputusan anak-anak, mak ayahlah yang sebenarnya kena kawal emosi. Jangan keterlaluan sampai, buat anak yang tak mencapai jangkaan mak ayah rasa bersalah.
Ini pengalaman peribadi, Cikgu Ezatul Marini yang pernah berasa sedih dengan keputusan peperiksaan anaknya. Dan pengalaman itu akhirnya mematangkan diri.
Saya Minta Anak Sulung Cerdas Dalam Pelajaran, Tapi..
Minggu ini minggu terakhir sesi persekolahan bagi tahun 2018. Minggu ini juga anak-anak Tahun 6 akan menerima keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Saya percaya bukan hanya guru, ibu bapa lebih merasakan debaran menjelang pengumuman keputusan peperiksaan ini.
Saya pernah melalui keadaan ini. Kedua- dua pengalaman membawa cerita yang berbeza. Sebagai alumni sekolah berasrama penuh, saya menekan anak sulung agar cerdas dalam pelajaran. Saya menyimpan cita- cita andai tidak ke sekolah yang pernah menjadi “alma mater” saya, mungkin anak layak untuk dimasukkan ke sekolah kawalan.
Yang menjadi kerisauan saya adalah seandainya anak tidak dapat mencapai keputusan sasaran saya. Beliau saya gesa agar berusaha sehabis daya. Berbeza pula dengan Abahnya, anak saya langsung tidak mendapat sebarang tekanan untuk selalu cemerlang dalam peperiksaan.
Di hari keputusan UPSR diumumkan, saya tidak sanggup menjengah ke sekolah. Suami yang kebetulan mengajar di sekolah yang sama dengan anak, menawarkan diri untuk menemankan beliau semasa menerima keputusan.
“Bagaimana kalau keputusannya teruk? Pasti kaum keluarga akan sibuk bertanya!” Libang- libu perasaan saya sepanjang menanti keputusan diumumkan.
Akhirnya keputusan diterima dan nyata harapan saya bakal berkubur. Saya jemput mereka dari sekolah dengan linangan airmata. Tidak ada sepatah kata pun yang mampu saya keluarkan.
“Ummi, saya minta maaf ye. Saya tidak dapat keputusan yang baik.” saya hanya bungkam. Malas hendak berkata apa- apa.
Kecewa Sampai Tak Mampu Pandang Wajah Anak
Malamnya, saya seperti tidak mampu memandang wajah sang anak. Airmata laju menuruni pipi. Saya mogok. Makanan pun tidak mahu saya jamah.
Dalam hati perasaan kecewa, terkilan, sedih, kasihan dan marah bercampur-baur. Hilang sudah semua nasihat-nasihat dan kata-kata semangat yang pernah saya berikan kepada anak-anak saudara yang pernah juga diuji dengan keadaan yang sama.
Esoknya saya hamburkan rasa kepada seorang kawan. “Mahal rupanya redha itu kan? Mudahnya kita minta orang lain bersabar dan redha saat mereka teruji dan malangnya bila diri sendiri yang terkena, redha itu hilang entah ke mana” nasihat lembut yang diberikan sahabat itu seolah jentikan pertama yang saya terima pasca penerimaan keputusan peperiksaan sang anak.
Akhirnya, selepas beberapa hari suami bersuara. Beberapa soalan dilontarkan kepada saya, yang di antaranya:
i. Apa sebenarnya perasaan saya? ii. Perasaan itu sebenarnya berkenaan siapa? Anak? Diri sendiri? Keputusan yang diperolehinya? iii. Mengapa ada perasaan- perasaan berkenaan
Suami minta saya duduk dan fikirkan adakah adil bila saya mengambil keputusan untuk menghukum anak atas keputusan yang diterimanya.
Teralpa Dengan Qada Dan Qadar Tuhan
Sungguh, saya tersedar betapa kejam saya terhadap sang anak dek kerana tidak dapat menerima keputusan yang dibawanya pulang. Seperti yang saya terangkan berbagai perasaan bercampur- baur, marah dan terkilan kerana pada saya andai dia berusaha lebih gigih pasti keputusannya tidak sedemikian.
Malu kepada rakan- rakan dan kaum keluarga serta pandangan orang yang merasakan seharusnya sang anak cemerlang. Kecewa kerana harapan dan cita- cita yang saya angan- angankan terkubur di permulaan penjelajahan ilmunya.
Saya lupa bahawa seharusnya saya memberikan jaminan kepada beliau bahawa apa yang diperolehinya bukan penamat segala, ada banyak lagi peluang dan ruang untuk beliau betulkan apa sahaja kekurangan. Saya teralpa tentang qada dan qadar Tuhan serta konsep menerima apa sahaja ketentuan Allah dengan lapang dada.
Yang paling mengesankan bila suami menyudah perbincangan dengan lontaran kata, “atau awak ni sebenarnya bukanlah marah sangat dengan keputusan anak. Yang menjadi masalah awak sekarang, pandangan dan penilaian orang”
Itu cerita tahun 2009. Tahun 2016 kami sekali lagi mengadap situasi serupa. Tetapi kali ini, saya lebih bersedia dan lapang dada. Biarpun pencapaian anak kedua sangat sederhana, saya lebih positif dan tidak lagi seperti sebelumnya.
5 Tip Ini Bantu Mak Ayah Lebih Bertenang Terima Keputusan Peperiksaan Anak
Sekadar ingatan untuk kita bersama,
i. Di pagi hari keputusan diumumkan, cubalah terus- terusan tanamkan dalam hati untuk berlapang dada dengan apa sahaja yang bakal jadi keputusannya. Baik disyukuri, andai tidak begitu memberansangkan juga wajar dipanjatkan kesyukuran. Semuanya cerita dan perancangan Allah.
ii. Peluk anak, raikan mereka biar apa pun keputusan yang mereka terima. Mereka telah berusaha sehabis daya. Mereka telah mencuba dan pastinya tiada seorang anak pun yang tidak mahu gembirakan hati ibu bapa.
iii. Berikan mereka kata- kata semangat. Elakkan soalan kenapa? Mengapa? Dan jangan sekali- kali terhambur kata- kata yang boleh membunuh motivasi dan emosi mereka.
iv. Duduk dan rangkakan perancangan seterusnya. Andai cemerlang, halakan mereka ke institusi yang sesuai. Andai kurang, rangkakan juga pelan jangka panjang dan pendek untuk perbaiki keadaan.
v. Paling utama, itu anak kita, yang setiap masa kita doakan, kita asuh dan didik. Tidak cemerlang akademik tidak bermakna anak bakal corot akhlak dan agamanya. Jangan putus- putus doakan mereka.
Selamat melalui debaran yang sama pernah kami lalui tapi lalui detik itu dengan lebih tenang dan bersedia.
Suami culas beri nafkah pada isteri, punca perceraian banyak terjadi. Perceraian merupakan satu fenomena yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat masa kini.
Suami Culas Beri Nafkah Pada Isteri
Statistik menunjukkan peningkatan kes perceraian dari tahun ke tahun, dan salah satu faktor utama yang menyumbang kepada masalah ini adalah kegagalan suami dalam memenuhi tanggungjawab memberi nafkah kepada isteri.
Kepentingan Nafkah Dalam Perkahwinan
Dalam Islam, pemberian nafkah kepada isteri merupakan tanggungjawab wajib bagi suami. Nafkah meliputi keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, dan penjagaan kesihatan. Tanggungjawab ini bukan sahaja menunjukkan kasih sayang dan tanggungjawab seorang suami, tetapi juga memastikan kesejahteraan fizikal dan emosi keluarga.
Selain itu, nafkah memainkan peranan penting dalam memastikan hubungan suami isteri kekal harmonis. Apabila keperluan asas isteri dipenuhi, ia dapat membantu mengukuhkan hubungan dan mencegah rasa tidak puas hati yang boleh membawa kepada konflik dalam perkahwinan.
Punca Perceraian Banyak Terjadi
Memetik Kosmo, masalah kewangan merupakan antara punca utama pergaduhan dalam sesebuah institusi rumah tangga yang akhirnya membawa kepada perceraian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, masalah tersebut sering berpunca daripada suami atau bapa yang culas dalam memberikan nafkah kepada isteri dan anak-anak.
Beliau yang juga Mantan Ketua Pengarah merangkap Mantan Ketua Hakim Syarie di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia berkata, apabila perkara itu dibangkitkan oleh si isteri, pergaduhan akan disusuli dengan kes penderaan.
“Nafkah ni bukan sahaja makan, minum atau tempat tinggal. Tetapi nafkah kasih sayang juga. Banyak keadaan dimana isteri-isteri memfailkan tuntutan cerai sebab mereka tidak dapat nafkah langsung. Begitu juga dengan anak-anak.
“Tanggungjawab keluarga pula diserahkan kepada isteri. Ada kes dimana gaji isteri yang telah bekerja dengan teruk, setiap bulan diambil oleh suami.
“Bila isteri nasihat, timbul pula kemarahan suami yang akhirnya melakukan penderaan fizikal dan emosi,” katanya.
Kesan Kegagalan Memberi Nafkah
Kegagalan suami dalam memberi nafkah sering kali menjadi punca utama ketidakstabilan rumah tangga. Berikut adalah beberapa implikasi negatif:
Rasa Tidak Puas Hati Isteri
Apabila isteri merasa diabaikan atau tidak dihargai kerana suami gagal memberikan nafkah, ia boleh mencetuskan rasa kecewa dan tekanan emosi.
Tekanan Kewangan dalam Keluarga
Kegagalan memberi nafkah sering menyebabkan isteri terpaksa memikul tanggungjawab kewangan keluarga seorang diri. Hal ini boleh membawa kepada ketidakseimbangan dalam perkahwinan.
Konflik dan Ketegangan
Masalah kewangan yang berlarutan sering kali menjadi punca pergaduhan dalam rumah tangga, yang akhirnya boleh menyebabkan perceraian.
Kesan Terhadap Anak-anak
Anak-anak yang membesar dalam suasana rumah tangga yang bergolak akibat kegagalan nafkah mungkin terkesan dari segi emosi dan perkembangan sosial mereka.
Langkah-Langkah Mengatasi Masalah Ini
Pendidikan Pra-Perkahwinan
Kursus pra-perkahwinan perlu menekankan tanggungjawab suami dalam memberi nafkah. Pendidikan ini boleh membantu bakal suami memahami kepentingan tanggungjawab mereka dalam perkahwinan.
Penasihat dan Kaunseling
Kaunseling perkahwinan boleh menjadi medium untuk menyelesaikan masalah kewangan dalam rumah tangga sebelum ia menjadi lebih serius.
Penguatkuasaan Undang-Undang
Mahkamah Syariah memainkan peranan penting dalam memastikan hak isteri dilindungi. Isteri yang tidak menerima nafkah boleh membuat aduan bagi menuntut hak mereka.
Peningkatan Kesedaran Masyarakat
Kempen kesedaran mengenai tanggungjawab suami boleh membantu mengurangkan kes culas memberi nafkah.
Kesimpulannya, memberi nafkah kepada isteri adalah tanggungjawab asas seorang suami yang tidak boleh diabaikan. Kegagalan melaksanakan tanggungjawab ini bukan sahaja merosakkan keharmonian rumah tangga, tetapi juga memberi kesan buruk kepada isteri dan anak-anak.
Oleh itu, adalah penting bagi suami untuk memahami dan melaksanakan tanggungjawab mereka dengan sebaiknya demi kesejahteraan keluarga dan masyarakat. Masalah ini perlu ditangani dengan bijak melalui pendidikan, kaunseling, dan penguatkuasaan undang-undang agar institusi perkahwinan dapat dipelihara dengan baik.
“Mayat orang terendam nie bau dia dari jauh dah boleh hidu. Kulit mereka pun dah tertanggal. Biasa badan mereka licin, beza dengan kematian biasa.
“Satu petua bila bau mayat begini, pantangnya jangan ludah. Sebaiknya telan air liur dan insya Allah bau mayat akan hilang serta merta.
“Biasanya bagi pengurusan mandi jenazah begini, kita akan lapik kain putih dahulu dan baru letak jenazah atasnya. Jangan gosok kerana isi dah lerai.
Ambil sabun dan taburkan. Paip air kita bungkus atasnya dan jirus perlahan pada jenazah. Tak lama, biasa sekejap. Habis mandi, kulit-kulit tertanggal kita satukan sekali…
Ikuti kisah pengalaman tukang mandi jenazah, Puan Lasminah Dul Siraj yang berpengalaman berpuluh tahun dalam pengurusan jenazah di Lembah Klang.
Ikuti video penuh temubual bersama dirinya di YouTube Mingguan Wanita dan Facebook jam 8 malam ini. Jangan lupa subscribe YouTube Mingguan Wanita.
Lokasi temuramah :- Tanah Perkuburan Islam Kg Kerinchi, Bukit C2 Pantai Dalam.
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Catatan seorang bapa, Muhamad Ammar Kamilin (Ammar Kamilin) tentang anak sulungnya yang bakal mengambil keputusan peperiksaan UPSR boleh buat empang air mata ini pecah.
Terasa cukup dekat di hati. Andailah si manis Zulfa ini anak kita. Yang sudah berusaha sehabis baik, namun rezeki tidak memihak padanya. Apakah kekuatan mak ayah dapat salurkan agar anak itu tidak remuk hati.
Moga ada kisah pengajaran yang dapat dititip menerusi catatan tulus ikhlas seorang bapa ini.
Encik Ammar Tak Pergi Ambil Result Anak?
Saya terbaca sebaran poster kenyataan Dato Seri Mahdzir Khalid, Menteri Pendidikan Malaysia. Beliau berpesan supaya pada hari keputusan UPSR diumumkan, tidak perlu diadakan majlis khas meraikan pelajar cemerlang 6A sedang ratusan calon murid UPSR lain hanya memerhatikan dengan perasaan diri mereka tidak dihargai.
Betapa saya merasai pengalaman ‘getir’ itu sebelum ini. Bukan sebagai murid. Tetapi sebagai bapa.
Pada hari itu, subuh lagi isteri sudah berpesan, “Abang, nanti jangan lupa datang sekolah. Zulfa ambil UPSR hari ni.”
Saya hanya angguk dan senyum. Mana mungkin saya lupa. Kali pertama dalam hidup anak sulung menerima keputusan peperiksaan besar.
Pagi itu, saya ke pejabat dulu. Rakan sepejabat pelik melihat saya masih berlegar-legar di meja.
“Encik Ammar tak pergi ambil result anak?”
“Relakslah. Bukannya keputusan keluar terus. Menteri umum dulu, baru result boleh ambil.” Terus menyambung kerja-kerja yang sedang menunggu.
Henfon berpusing di meja diiringi deringan lagu lembut. “Abang, dah gerak dari ofis belum?”
“Belum. Baru nak gerak.” Sambil menolak kerusi merapat ke meja.
“Result dah boleh tengok online. Tapi Ryn tak berani nak tengok. Kalau abang nak tengok, tengoklah. Tapi jangan beritahu Ryn.”
Lif dari tingkat 7 turun ke B1 hari itu terasa sangat perlahan. Jantung berdegup lain dari biasa. Detak dan berombak seperti berlari.
Ya, saya gugup.
Zulfa Sederhana Saja Di Sekolah
Dari darjah 1 hingga 6, sering juga berpindah kelas. Pernah merasai kelas tertinggi semasa darjah 5, tetapi turun ke kelas kedua untuk menghadapi UPSR.
Tiada apa yang istimewa pada pencapaian. Jarang dia menerima anugerah akademik. Tetapi saya tidak boleh menyangkal seperkara. Dia anak rajin dan tak banyak soal. Diminta belajar, dia belajar. Diminta menolong kerja di rumah, dia menolong.
Walaupun akademik sederhana, tidak pernah saya rasa mahu memarahi Zulfa.
Dalam perjalanan balik dari sekolah selepas KAFA, dia akan tertidur kepenatan di dalam kereta.
Sampai saja di rumah, terus mandi dan menyelesaikan kerja-kerja sekolah tanpa disuruh.
Tiba maghrib, dia berhenti solat sendiri. Selepas makan malam, sambung semula menyiapkan kerja sekolah.
Ada hari, apabila tiada kerja sekolah, dia menilik jadual belajar di dinding dan terus membuat latihan dalam buku aktiviti. Tanpa suruh.
Ada masa, dia minta saya mengajar apa yang sukar dia fahami. Tanpa sedar, kadang-kadang saya tertidur atas katilnya. “Abah, Zulfa nak tidur.” Saya melihat jam dinding, pukul 12 malam.
Hari minggu, dia selalu memujuk rayu minta untuk belajar di rumah kawan. Jika tidak diizin, monyok sepanjang hari.
Bukan kami tak sokong, tetapi jarak rumah ke Putrajaya bukannya dekat. Rasanya, cukup setiap hari, abah mama berulang alik untuk kerja. Tidak betah rasanya hari minggu masih memandu jauh.
Tapi rajuknya sebentar. Sedang kami leka, dia sudah di dalam bilik, belajar sendiri.
Untuk anak yang begini, apa lagi mahu saya paksa.
Lalu, fahami saja jika saya gugup pagi itu.
Bagaimana Mahu Berhadapan Dengan Zulfa
Sebagai bapa, saya boleh menerima apa saja. Dengan usaha Zulfa, saya tidak menyesal apa-apa. Saya sudah melihat prosesnya. Hasilnya hanya bonus bagi saya.
Tetapi dia. Bagaimana dia?
Bukankah di mana-mana pun orang berkata, usaha tangga kejayaan. Mudah fahamnya, berusaha, pasti berjaya. Jika sudah usaha, tetapi tidak berjaya?
Saya tinggalkan soalan itu begitu saja. Kerana berjaya itu luas tafsirannya.
Lagipun, beberapa minggu sebelum itu, Zulfa pernah berbincang hati ke hati dengan saya. Dia sudah usaha, dia terima saja apa keputusannya. Ketika itu saya sudah lega. Harapnya apabila hari itu tiba, dia benar-benar kota apa dikata.
Ikon Google Chrome di henfon saya sentuh dan biarkan ‘loading’. Alamat url yang disebut isteri saya taipkan satu persatu. ‘Enter’. Paparan telah tersedia. Masukkan no. IC dan angka giliran, keputusan dipaparkan.
Lama saya duduk dalam kereta yang enjinnya telah dihidupkan. Sungguh saya tidak kecewa. Tidak. Saya sedang mencongak-congak bagaimana mahu berhadapan Zulfa. Apa yang saya lihat terpapar di skrin sudah saya redhakan. Sekarang ini, ayat apa mahu saya ucapkan nanti.
“Abang, guru besar belum balik dari pejabat PPD untuk ambil keputusan. Tapi Ryn dengar ‘result online’ dah keluar. Abang dah tengok?”
“Dah.” Perlahan dan bergetar. Isteri, dari intonasi saja sudah terbaca di hati apa yang saya cuba sampaikan dari getar itu.
“Allah bang…” Itu saja yang terungkap dari mulut isteri selepas saya didesak untuk memberitahu keputusannya. Aneh juga wanita bergelar ibu. Satu masa dia berpesan seperti tak mahu peduli. Tidak lama dia pula mendesak untuk mengetahui.
Ammar dan anak bongsunya, Zahraa.
Ya Allah, Teruji Sungguh Hati Ini
Ketika itu, saya seperti baru memahami apa perasaan seorang doktor yang sudah tahu pesakitnya menghidap kanser tahap 4 dan didiagnos sukar untuk diubati lagi. Perasaan mahu mengkhabarkan berita itu, seperti pedih menoreh dada.
Dari jauh, saya mendengar pengumuman nama anak-anak bertuah yang memperoleh 5A. Menaiki tangga menuju dataran sekolah, terhidang di hadapan saya deretan anak-anak yang sedang duduk beratur menunggu nama masing-masing dipanggil.
Saya mencari kelibat Zulfa dan menangkap dia sedang bergelak ketawa mengusik rakan-rakan dalam barisan yang berada sedikit ke tengah.
Dia sedang enak ketawa dan hati saya pula sedang mendung. Dia masih belum tahu keputusan, sedangkan saya masih gagal menemui kata terbaik mahu diungkapkan.
Zulfa terpaling ke arah saya, melambai-lambai dan menunjukkan ibu jari tanda bagus. Itu keyakinan dia ketika itu.
“Ya Allah, teruji sungguh hati ini hari ini.” Saya hanya mampu bersandar pada dinding.
Selepas menamatkan bercakap dengan ibu seorang pelajar, isteri datang merapati, “Bang, tengok Zulfa tu bang. Dia seronok lagi tu. Tak tahu apa. Kesiannya dia bang.” Mata isteri mula berair.
Saya memerhati Zulfa dari jauh. Kepalanya terdongak-dongak menanti namanya dipanggil. Sesekali dia bertanya kawan hadapan, nama siapa yang disebut apabila tidak dapat mendengar dengan jelas. Kawan sekeliling yang tadi ramai, sudah mula bangun seorang demi seorang meninggalkan dia. Yang dapat 4A sudah. Yang dapat 3A sudah. Sedang diumum mereka yang 2A. Dia mula gelisah.
“Allah, Allah, Allah…” Itu saja mampu saya dalam hati. Kau takkan mampu untuk pandang wajah dia yang sedang menanti itu.
Zulfa memandang saya dari tempat duduknya. Kali ini, pandangannya tidak seceria dan bercahaya seperti awal tadi. Dia seperti sudah mengagak sesuatu. Jika kau pernah lihat wajah anak yang sedang bersalah, itulah wajah Zulfa ketika itu. Cuma kali ini, dia tidak salah, dia tidak berbuat apa dosa pun. Dan itu yang menyebabkan airmata seorang ayah hampir tumpah.
Sebaik saja slip peperiksaan bertukar tangan, barulah wajah putih tadi mula merah. Saya membiarkan saja dia memilih bahu siapa yang mahu dipinjam. Ternyata bahu yang diperlukan adalah ibu. Berlaku drama airmata yang kehilangan skrip. Tiada sebarang kata-kata, hanya pelukan penuh emosi hiba.
Ku Selemah-lemah Manusia
Saya berjaya mengawal ‘ego’ seorang lelaki pada pagi itu hanya untuk menanti akhirnya airmata itu tumpah pada waktu berdoa selepas solat maghrib berjemaah.
“Ya Allah, kami bersyukur dengan apa yang telah engkau rezekikan kepada kami ya Allah. Selepas segala usaha, jika ini yang kau berikan pada kami, penuhkan hati kami dengan rasa cukup ya Allah. Tidak ada kuasa yang mampu memberi bahagia melainkan engkau ya Allah.
Tanpa dirancang, saya berpaling ke belakang dan menitipkan doa khusus untuk Zulfa ketika itu.
Ya Allah, Zulfa sudah berusaha sebaiknya ya Allah. Dia sudah redha dengan hasil yang diperolehi ya Allah. Kau kuatkanlah hatinya ya Allah. Jangan kau padamkan api semangatnya yang mahu terus menimba ilmu-Mu ya Allah.
Sesungguhnya, kami sangat LEMAH ya Allah…. ”
Sebut saja perkataan LEMAH, serentak itu juga, jatuh habis airmata yang dari pagi diempang. Saat itu, sebagai bapa, betapa saya sedar, sekalipun kau manusia boleh berusaha tanpa batas masa, menghimpun segala kepandaian manusia, merancang strategi ‘pasti berjaya’, apabila akhirnya Allah putuskan begitu, maka begitulah! Kau tidak akan berdaya. Kau selemah-lemah manusia.
Lama saya terhenti. Jelas ada esak tangis juga di belakang saya. Ya, ego manusia jatuh. Mana lagi mahu meminta pertolongan jika bukan dari-Nya.
Saya serahkan sepenuhnya urusan untung nasib persekolahan anak saya seterusnya pada Allah.
Ketika itu, baru terasa betapa nikmatnya hati yang bulat sepenuhnya, lillahi taala.
Selepas Setahun Ini Yang Jadi
Alhamdulillah… Selepas satu tahun, saya mula nampak mengapa Allah menyusun apa yang berlaku sedemikian rupa. Di sekolah menengah, Zulfa sangat berbeza dari dia yang saya kenal di sekolah rendah sebelum ini.
Potensinya dicungkil dalam pelbagai bidang. Mendapat rakan-rakan sekolah yang bagus akhlak. Dia seperti tidak terkesan langsung dengan apa yang berlaku tahun sebelumnya. Saya lega.
Cukuplah sekali itu. Saya memang berharap keputusan peperiksaan tidak lagi diumumkan sedemikian rupa. Serahkan saja keputusan peperiksaan mengikut nama kepada anak murid dan biarkan mereka membaca sendiri keputusan mereka.
Mana yang keputusannya cemerlang, sekolah boleh raikan dalam satu majlis khas buat mereka kemudian dari itu. Tidaklah murid lain yang menunggu terpinga-pinga.
Tidak mahu lagi ada bapa atau ibu lain yang merasai apa yang saya rasa.
Siapa rakan di KPM, sampaikan salam pada YB Menteri. Saranan beliau saya hargai.
Agar Tak Salah Faham
Saya bercakap dalam KONTEKS mengadakan majlis meraikan itu serentak ketika mengumumkan keputusan. Ini yang saya mohon ditiadakan.
Jika mahu diraikan selepas mendapat keputusan. Silakan. Saya sendiri selalu hadir menemani isteri yang menjadi AJK PIBG. Tiada secebis dengki pun.
Kami tumpang bangga dengan anak-anak berpotensi ini.
Sumber/Foto : Facebook Ammar Kamilin
Lubuk konten tentang inspirasi, rumah tangga dan macam-macam lagi, MINGGUAN WANITA kini di seeNI, download seeNI sekarang!
Pelajar tingkatan tiga jatuh asrama kritikal, ibu rayu doa orang ramai anak kembali pulih. Tiada yang lebih menyakitkan daripada melihat darah daging sendiri terbaring...