
Astro, Home of Drama, sekali lagi mengangkat semangat Ramadan dengan tema “kebangkitan wanita” melalui naskhah megahit Siti Rosmizah, Andai Itu Takdirnya 2, lakonan Hanna Delisha dan Shukri Yahaya. Kini kembali eksklusif di Astro One dan sooka, musim kedua hadir lebih lebih matang dan jauh lebih menggugat jiwa.
Musim ini menyelami perjalanan seorang wanita yang akhirnya memilih untuk bangkit demi dirinya sendiri. Aleya lakonan Hanna Delisha tidak lagi menjadi isteri yang menahan luka dalam diam selepas dikhianati, dia berdiri sebagai wanita bermaruah yang tidak mampu digoyahkan sesiapa, termasuk suaminya.
Konflik antara Azril dan Aleya menjadi nadi utama tema musim ini. Tertekan dengan masalah syarikat dan dipengaruhi Azreen, Azril nekad mahukan poligami atas alasan menyelamatkan perniagaan.
Dalam babak paling menyentak, dia menyimbah sup panas ke wajah Aleya selepas termakan fitnah. Ia bukan sekadar dramatik, tetapi simbol runtuhnya kepercayaan dalam perkahwinan. Lebih menyayat hati, Aleya ketika itu masih bergelut dengan kecacatan tangan akibat tragedi lalu.
Namun daripada terus menjadi mangsa, dia memilih untuk bangkit. Dalam satu detik penting, Aleya meminta cerai dengan tenang bukan kerana kalah, tetapi kerana dia tahu harga dirinya jauh lebih tinggi daripada hubungan yang tidak lagi menghargainya. Itulah detik sebenar kebangkitannya.
Keindahan dan kekuatan Andai Itu Takdirnya 2 terletak pada perjalanan emosi Aleya sebagai cerminan wanita moden.
Hannah Delisha memberikan watak ini kedalaman dan kematanganseorang wanita yang masih terluka, namun tidak lagi lemah. Dia tidak menangis di hadapan anak-anak, bukan kerana tidak sakit, tetapi kerana dia sedang membina keteguhan.
Di mata dunia, dia kuat; di ruang peribadi, dia tetap manusia. Ramai wanita akan melihat diri mereka dalam Aleya isteri yang bertahan demi keluarga namun dalam diam bertanya, sampai bila harus berkorban?
Drama ini tidak menjadikan wanita sebagai mangsa berpanjangan. Ia menggambarkan proses sedar diri, bahawa sabar ada batasnya dan setia tidak bermaksud membiarkan diri dipijak. Tema “bangkit demi diri” bukan sekadar slogan; ia perjalanan perlahan, menyakitkan dan realistik.
Dalam suasana Ramadan yang mengajak kita bermuhasabah, Andai Itu Takdirnya 2 hadir sebagai naskhah yang lebih daripada sekadar hiburan. Ia membuka ruang refleksi tentang nilai maruah dalam perkahwinan, batas kesabaran seorang wanita serta keberanian memilih diri sendiri walau berisiko kehilangan.
Drama terbitan SR One Sdn. Bhd ini dan karya terbaik Siti Rosmizah membuktikan bahawa kekuatan wanita bukan hanya terletak pada kemampuannya bertahan, tetapi pada keberaniannya membuat keputusan.
Ramadan ini, saksikan perjalanan Aleya dalam Andai Itu Takdirnya 2. Strim sekarang di Astro One dan Sooka.