Arwah Nurhazwani hamil 3 bulan, bukan lemas tapi pengsan tiba-tiba ketika mandi di kolam renang.
Tragedi menimpa seorang pensyarah, Nurhazwani Datuk Abdul Halim yang dilaporkan meninggal dunia di kolam renang sebuah hotel di Kuala Terengganu bukanlah disebabkan lemas sebaliknya kejadian duka itu terjadi bila mana arwah dilaporkan pengsan secara tiba-tiba ketika berada di dalam kolam renang.
Suami arwah yang turut mandi di dalam kolam renang telah bertindak pantas memberikan pertolongan cemas selepas insiden namun Allah lebih menyayangi.
Jenazah arwah yang bertugas di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Pahang telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Bangi (Sungai Tangkas).
Memperbetulkan salah faham komen-komen netizen yang banyak melukakan hati keluarga termasuk suami kepada arwah bahawa dakwaan arwah lemas ketika mandi di kolam renang, seorang individu yang mana isterinya merupakan kenalan kepada arwah Nurhazwani telah bertindak membetulkan salah faham yang terjadi.
Memetik perkongsian Dr Khalif Sidratul Muntaha di facebooknya, beliau yang turut hadir di pengebumian arwah memaklumkan, ketika mandi Nurhazwani tiba-tiba dilaporkan pengsan dan melihat keadaan isterinya, suami kepada arwah bertindak pantas melakukan pertolongan cemas (CPR) namun Tuhan lebih menyayangi.
“Rasa terpanggil untuk perbetulkan salah faham yang terjadi hingga menyebabkan suami difitnah netizen yang tak tahu cerita hujung pangkal. Khabar angin mengatakan bahawa isteri mati lemas ketika mandi bersama-sama suaminya di kolam hotel.
“Disebabkan itu, komen penuh dengan tuduhan suami sebagai punca dan suspek, tak puas hati kepada suami dan tak kurang juga yang pelik macam mana boleh mati lemas jika suami ada di sana.
“Jawapannya ada pada tajuk berita itu sendiri “Pensyarah Wanita Lemas Dalam Kolam Renang Hotel”, padahal yang sebenarnya beliau BUKAN mati kelemasan.
Memaklumkan dirinya antara yang hadir ke pengebumian rakan isterinya itu, Dr Khalif berkongsi kebenaran cerita yang keluar dari mulut suami arwah Nurhazwani.
“Arwah dan suami mandi kolam bersama-sama dan tidak timbul isu lemas kerana Nurhazwani pandai berenang. Ketika mandi, Nurhazwani tiba-tiba pengsan ketika berada di dalam kolam renang, bukannya lemas atau dilemaskan. Sudden loss of conscious. Boleh jadi koma. Boleh jadi syncopal attack. Boleh jadi sawan. Boleh jadi heart attack.
Tambah Dr Khalif lagi, suami kepada arwah Nurhazwani berada dalam emosi sedih saat membaca komen-komen dari netizen.
“Betapa sedihnya suami yang kehilangan isterinya secara tiba-tiba, dipersalahkan dan dituduh sebagai suspek hanya disebabkan kebodohan media dalam meletakkan tajuk yang misleading. Depan mata saya melihat betapa remuknya hati beliau.
“Inilah zaman paling senang fitnah dilahirkan, hanya perlu mula dengan setitik kebodohan dan syak wasangka.
Dirinya turut berkongsi arwah Nurhazwani turut mengandung tiga bulan dan dirinya pergi bersama anak syurganya.